Foto: BERNAMA

Usianya masih muda, baru berusia 19 tahun namun suara merdunya bisa menggetarkan jiwa, memikat hati para juri ketika mengalunkan bacaan suci Al Quran serta membawa namanya ke peringkat antarabangsa!

Sekalung tahniah buat adik Nor Farhatul Fairuzah Panut yang memenangi Johan tilawah (wanita) Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 baru-baru ini. Sekaligus menjadi sebagai Qariah Termuda yang memenangi pertandingan antarabangsa ini.

Hasrat Bawa Ibu Tunai Umrah

Mengiringi kejayaan itu, Nur Farhatul yang memperoleh 87.05 peratus markah menerima membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Gadis muda berasal dari Sepang ini juga berhasrat untuk membawa ibunya menunaikan umrah dengan duit kemenangan yang diperolehi.

“Saya mahu bawa ibu mengerjakan umrah sebagai membalas jasa dan pengorbanannya sehingga saya berjaya meraih kejayaan dalam pertandingan musabaqah ini.”

Katanya, beberapa tahun lalu ibunya, Jaliah Simin, 63, sudah pernah melakukan umrah tetapi kali ini dia mahu membawa wanita istimewa di hatinya itu ke Tanah Suci mengguna wangnya sendiri.

Qariah Termuda (MTHQA) Nor Farhatul Fairuzah Nak Bawa Ibu Tunai Umrah

Simpan Wang Kemenangan Untuk Lanjutkan Pengajian

Qariah muda itu adalah pelajar Tingkatan Enam dalam bidang syariah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu.

Ads

“Ibu adalah insan yang tidak pernah jemu menyokong cita-cita dan minat saya selain arwah ayah, Panut Markom yang meninggal dunia pada tahun 2017.

“Wang yang selebihnya, saya mahu menyimpan untuk digunakan bagi melanjutkan pengajian pada masa depan,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pemenang MTHQA61 disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur.

Qariah Termuda (MTHQA) Nor Farhatul Fairuzah Nak Bawa Ibu Tunai Umrah

Latihan Pertandingan

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, seperti peserta lain dia banyak melakukan latihan untuk menghadapi pertandingan berkenaan dan lazimnya setiap kali selepas solat lima waktu.

Ads

“Saya amalkan membaca al-Quran 15 minit selepas solat, waktu paling sesuai selepas solat Subuh untuk ‘memecahkan suara’.

“Saya juga tidak mengambil minuman berais bagi menjaga suara,” katanya.

Nur Farhatul Fairuzah juga merancang untuk meyambung pengajian dalam bidang al-Quran dan syariah.Ditanya mengenai penglibatannya dalam tilawah al-Quran,gadis memberitahu, dia bermula pada usia lima tahun dan cita-citanya untuk menjadi pensyarah dalam bidang al-Quran.

Qariah Termuda (MTHQA) Nor Farhatul Fairuzah Nak Bawa Ibu Tunai Umrah
Qari dan Qariah Malaysia yang merangkul Johan Kategori Tilawah, bersama trofi yang dimenangi pada Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61. – Foto BERNAMA

Niat Bawa Isteri Pergi Haji

Sementara itu, bagi qari dari Malaysia, Abdul Khair Jalil, 40, yang memenangi kategori tilawah (lelaki) MTHQA61, dia mahu membawa isterinya, Halimatun Samsori untuk mengerjakan ibadat haji menggunakan hadiah yang jumlahnya sama seperti dimenangi Nor Farhatul Fairuzah.

Ads

“Insha-Allah saya hendak membawa isteri menunaikan haji, itu harapan dan niat yang sudah saya pasang sebelum ini.

“Syukur saya mampu menjadi johan walaupun berdepan cabaran hebat daripada peserta lain, ada juga perasaan tertekan memandangkan Malaysia adalah tuan rumah,” kata pensyarah dalam bidang pengajian al-Quran di Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).

Bagi kategori hafazan lelaki, peserta dari Sweden, Mohamed Abdi dinobatkan sebagai juara manakala untuk kategori wanita, ia dimenangi peserta dari Nigeria, Fatouma Ousseni Moussa.

Seramai 74 peserta dari 41 negara menyertai MTHQA61 termasuk tujuh negara yang kali pertama menghantar wakil iaitu Azerbajian, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.

Qariah Juara Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-61

Hebatnya adik Nor Farhatul Fairuzah Panut! muda-muda dah pandai dan lunak sungguh suaranya bertarannum. Jarang anak gadis seusianya yang nak sertai pertandingan seperti ini. Yang paling penting suara masyallah! meremang bulu roma kalau dengar. Apa-apa pun diucapkan tahniah kepada Adik Nor Farhatul kerana berjaya merangkul gelaran juara Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa kali yang ke-61. Selamat Maju Jaya di Ucapkan dari Team Mingguan Wanita!www.mingguanwanita.my.mwtv

Posted by Mingguan Wanita on Sunday, 21 April 2019

MW: Alhamdulillah. Tahniah buat para Qari dan Qariah dari Malaysia berjaya menyandang Johan kategori tilawah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61 baru-baru ini. Semoga kejayaan adik Nor Farhatul Fairuzah Panut mampu menjadi inspirasi buat anak remaja, mendalami bacaan ayat Quran dengan sempurna.

Sumber: Hmetro, Bharian

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI