Isi Kandungan
TogglePuteri Sarah Nekad Bercerai, Tak Mahu Berdamai. Itulah keputusan yang dinyatakan oleh pelakon Puteri Sarah Liyana kepada media.
Sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang membabitkan Puteri Sarah dan suaminya, Syamsul Yusof di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), hari ini gagal mencari jalan penyelesaian.
Puteri Sarah menyatakan dia nekad dengan keputusan untuk bercerai.
Puteri Sarah Nekad Bercerai,Tak Mahu Berdamai
Seperti mana dipetik menerusi portal Berita Harian Puteri Sarah yang diwakili adiknya, Dr Puteri Sofea nekad dengan keputusan untuk bercerai dengan Syamsul.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga menyerahkan perkara itu pada sesi sebutan kedua di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 10 April ini.
“Saya masih dengan keputusan untuk bercerai dan tidak mahu berdamai. Cukup-cukuplah saya sudah penat. Lepaskan saya saja,” ulasnya.
“Saya memilih untuk tidak berjumpa dan sebilik dengan Syamsul, hari ini. Jadi, saya dan adik hanya berjumpa dengan pegawai yang dilantik dan menceritakan segala-galanya mengenai konflik rumah tangga kami serta bukti.
“Bagi saya, pegawai Jawi perlu tahu apa yang berlaku supaya ada jalan penyelesaian atau sebaliknya. Saya tegaskan kepada pegawai berkenaan saya memang tidak mahu bersama kerana sudah penat dengan masalah yang ditanggung selama beberapa tahun ini.
“Selepas ini kami akan bertemu di mahkamah untuk hakim mendengar keputusan yang gagal dicapai pada sesi JKP ini. Saya harap saya cepat-cepat ‘dilepaskan’ dan sekiranya dia enggan menceraikan proses seterusnya adalah melantik hakam bagi permohonan perceraian ini,” sambungnya.
Enggan Kembali Ke Pangkuan Syamsul
Menegaskan dirinya hanya mahu dilepaskan.
“Tidak. Saya tak nak berbaik atau kembali ke pengakuannya. Saya hanya mahu bercerai.
“Malah, sepanjang prosiding perceraian ini, dia memang tidak bertemu saya atau anak-anak.
“Saya ingin tegaskan juga dia hanya ajak berjumpa ketika saya beritahu dia sekat WhatsApp saya sebelum ini.
“Tapi yang terbaharu ini memang tiada. Jangan cerita benda yang dah lama,” luahnya.
Baca Disini : ‘Mentua Prihatin’ Kediaman Datuk Yusof Haslam Ubah Jadi Mini Studio DEMI Puteri Sarah, Cucunya
Sumber : Harian Metro
Sumber Foto : Instagram Puteri Sarah Liyana
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Daphe Iking rancang semuanya terlebih dahulu supaya senang untuk jaga rambut! Betul juga ya, mak-mak yang sering masak tu mesti hilang selera untuk makan kan?
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tanam Pokok Cili Nampak Mudah, Tapi Eloklah Pekebun Di Rumah Ambil Tahu 5 Masalah Normal Yang Anda Akan Hadap
Isi Kandungan
ToggleSiapa kata tanam pokok cili ini semudah ABC? Haaaa… kalau tangan anda jenis sejuk pun, anda patut berhati-hati dengan masalah normal yang anda akan hadapi ini. Untuk lebih faham mengenai masalah tanam pokok cili, baca penjelasan penuh daripada Izham Alias yang ditulis di laman KEBUN BANDAR ini…
Pokok cili adalah antara pokok yang banyak cabarannya. Ia bukanlah tanaman yang mudah ditanam seperti kangkung, bayam dan sawi.
Cabarannya bermula dari semaian sehinggalah menuai. Kalau nasib baik, dapatlah kita gunakan cili itu dalam masakan. Kalau tidak, kecewa tak berlagu.
Sesiapa yang pernah menanamnya pasti akan mengalami lma masalah lazim yang saya nyatakan ini. Saya berharap panduan mengenalpasti masalah dan cara penyelesaian ini dapat membantu anda sepanjang menanam pokok cili.
1. Buah busuk dan gugur
Kita melihat buah cili merimbun, hati kita trut berbunga ingin menuai cili bila tiba masanya. Apa bila tiba harinya untuk kita mengutip hasil, kita terkejut. Banyak buah gugur dan busuk. Oh, kecewanya hati!
Punca:
Cuba perhatikan pada buah cili, koyak dan lihat isi dalamnya. Adakah ada ulat di dalamnya? Jika ya, itu tandanya pokok cili anda telah diserang LALAT BUAH!
Lalat buah atau Batrocera latifrons menyerang mana-mana pokok berbuah yang ada. Ia akan menyuntik telurnya pada buah. Apa yang menarik, telur lalat buah ini akan menetas tepat pada masa buah mula meranum masak.
Cara Penyelesaiannya:
1. Gunakan pelekat kuning. Pelekat kuning ini akan menarik dan memerangkap lalat buah.
2. Sembur racun organik pada awal pagi sepanjang pokok cili berbuah.
3. Balut buah cili sebaik sahaja putik buah kelihatan.
4. Buang dan bakar cili yang telah busuk itu.
5. Pastikan keadaan sekeliling kebun atau rumah kita bebas daripada buah busuk. Ini tidak kiralah pokok buah-buahan yang lain.
2. Bunga luruh
Normal untuk pokok cili gugur bunganya pada kali pertama berbunga tetapi anda patut risau kalau berlaku lebih daripada 3 kali.
Bunga cili boleh gugur akibat kekurangan atau terlebih siraman. Oleh itu pastikan air secukupnya sahaja. Gunakan medium tanah yang sesuai seperti campuran tanah 3:2:1 jika bercucuk tanam di dalam pasu.
Baja merupakan unsur penting agar pokok berbunga dengan banyak. Apabila pokok kekurangan nutrien, maka perkara pertama yang akan pokok buat adalah menggugurkan bunga.
Jadi pastikan anda telah membaja dengan cukup pada pokok cili.
3. Daun kerinting dan luruh
Apabila daun kering kerinting dan luruh, perkara pertama yang biasa saya buat adalah melihat di bawah daun pokok cili terutama daun tua di bahagian bawah pokok.
Jika dilihat dengan teliti anda akan nampak bintil-bintil hitam dan warna putih seakan tepung melekat di bawah daun. Itu adalah afid dan lalat putih.
Kedua-dua serangga ini cukup suka hinggap pada pokok cili. Mereka akan menghisap pokok dan seterusnya membuatkan pokok diserang penyakit.
Kehadiran serangga perosak ini membuatkan pokok mula tidak sihat. Kita dapat lihat daun mula kerinting dan gugur. Akhirnya tinggal rangka sahaja tanpa sebarang daun.
Penyelesaian:
Anda cuma perlu sembur racun organik di bahagian bawah daun seawal pagi selepas subuh atau lewat petang sebelum maghrib. Kekerapan semburan sebolehnya 3 kali seminggu sehingga serangga hilang.
4. Ada semut hitam pada pucuk, bunga, buah dan daun
Semut adalah kawan baik kepada kutu daun atau afid. Apabila saya melihat semut pada sekitar pokok cili, saya tahu itu adalah tanda pokok telah dihinggap kutu daun.
Jadi anda perlu rujuk kembali poit no.3.
5. Pokok mati setelah mula berbunga atau buah
Soalan pertama saya adalah biji benih diambil dari mana? Jika dijawab dari dapur tentunya saya akan terus dapat jawapan yang pokok anda tanam akan mudah mati.
Buah cili yang kita beli itu adalah buah daripada pokok cili generasi FF1, jadi benihnya akan tumbuh sebagai generasi F2.
Kelemahan uatama generasi F2 adalah mudah diserang penyakit dan perosak. Sebab itulah pokok itu mati akibat daripada serangan bakteria pada akar.
Untuk atasi masalah ini, lebih baik anda gunakan biji benih berkualiti yang jenamanya telah dipilih dengan teliti oleh pengeluar biji benih agar pokok tumbuh dengan sihat!
Itulah 5 panduan ringkas yang dapatsaya berikan berkaitan masalah-masalah yang sering pekebun rumah hadapi sepanjang menanam pokok cili.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hilang Kerja? Bekas Wartawan Ini Ada Cara Redakan Kusut & Singkirkan Tekanan
Diuji dengan kehilangan karier secara tiba-tiba, mantan Pengarang Hiburan akhbar Kosmo! ; Tengku Suzana Raja Hamat ini menjadikan lapangan baru ini sebagai medium merawat jiwa dan emosinya. Terbiasa dengan rutin kerja yang sibuk, selaku orang media lebih sedekad lamanya membuatkan Suzanna seperti lompong apabila diuji dengan kehilangan karier.
Foto wajah sugulnya juga pernah menjadi sebahagian bahan berita di blog tempatan dan laman sosial saat syarikatnya diumumkan menamatkan operasi Oktober lalu. Siapa pernah menduga, setelah berlama-lama menabur keringat dan bakti…tiada lagi rezekinya membina karier dalam dunia media. Hanya dengan sekeping memo, kehidupannya berubah 360 darjah.
Ketika dipelawa untuk ditemubual, ibu kepada tiga cahaya mata ini memohon diberikan ruang waktu. Selaku ‘beginner’ dalam dunia pendakian, menurutnya masih banyak lagi ilmu yang perlu digali dan dalami. Ikuti transisi baru yang dilalui Tengku Suzana menerusi komentar yang dititipkannya menerusi e-mel tempoh hari.
“Dalam fasa kehidupan saya sekarang, hilang pekerjaan ketika sedang berada di puncak karier, merupakan satu ujian yang amat dahsyat. Bagi saya situasi ini persis sebuah kematian kecil yang seperti merentap akar jantung saya. Sejujurnya seperti orang lain, saya juga menangis kerana saya lemah.
“Tetapi kata-kata seorang sahabat kembali mengingatkan saya, katanya; “Suzana, kau dah terlebih dahulu bersedia dengan situasi getir ini, Tuhan dah bagi kesempatan untuk kau belajar jadi kuat masa kau mendaki selama ini dan aku tahu kau kuat. Ini survival dan kau akan survive… saya cuba hadam segala dan situasi baru ini.
“Bercerita mengenai penglibatan saya kembali dalam bidang ini, sebenarnya saya seorang gemarkan aktiviti lasak. Dari zaman belajar sekitar tahun 1997 dan 1998, saya pernah mendaki Gunung Ledang dan Gunung Datuk. Namun aktiviti lasak saya terhenti tak terpeduli, sibuk dengan kerja dan mungkin juga tidak berada dalam kelompok hikers menjadikan aktiviti ini agak canggung buat saya.
“Sehinggalah pada awal April 2018, saya terlibat dengan aktiviti riadah anjuran Kosmo! ke Gunung Angsi. Dari situ minat hiking kembali bercambah. Tambahan pula baru saya tahu ramai dalam kalangan teman sepejabat aktif dalam aktiviti kecergasan sebegini.
“Tak lama kemudian kami tubuhkan kumpulan kecil atas nama Kosmo! Hikers, yang mana penyertaannya terdiri dari kelompok teman sepejabat dan kawan-kawan serta siapa sahaja yang sealiran minat. Kami juga membuka sebuah akaun media sosial khas menerusi instagram @kosmohikers dan juga ada page FB Kosmo Hikerss sebagai platform perkongsian minat. Kelab ini umpama rumah kedua kami bersilaturrahim, tanpa ‘garis mati’ biarpun Kosmo! Sudah bubar, tapi semangat kami takkan pernah pudar,”curahnya mengenai obsesi barunya.
Ketagihan yang sukar digambarkan
Kemahirannya dalam mengarang masih belum pudar. Antara bait-bait kata terzahir dalam artikel ini juga sentuhan asal darinya. Menurut anak Terengganu ini lagi dunia hiking ini membuatkan dirinya mencari sisi baru dalam kehidupan. Mengakui dirinya masih lagi hijau bak budak baru yang masih tak punya banyak pengalaman, beliau mengharapkan minat baharunya ini datang bersama manfaat dan rezeki baru buatnya.
“Buat masa ini, belum terbit lagi istilah serik, bagi saya setiap pendakian memberikan satu makna dalam pencarian perjalanan hidup saya. Ia juga satu catatan juang yang tidak pernah saya sesali. Tetapi pernah juga bila diri dibalut dengan kepenatan teramat sangat, mulalah ayat-ayat seperti kalau tahu macam ini punya seksanya baik tidur lagi bagus! Situasi jadi berbeza bila dah balik rumah, lepas seminggu dah rindu nak mendaki lagi, macam ketagih pun ada.
“Sepanjang pendakian paling teruk yang pernah saya alami antaranya kekejangan dari paras pinggang sampai hujung kaki. Sakit akibat kejang itu luar biasa seksanya. Kaki tak boleh digerakkan, bongkok atau dibengkokkan. Kejadian menyakitkan itu berlaku selepas saya melepasi kawasan yang dipanggil Batu Hampar di Gunung Ledang,Johor.
“Saya dapat rasakan tenaga saya habis semasa melalui laluan bertali mendaki batu yang terhampar setinggi sekitar tiga tingkat, sesungguhnya saya menangis apabila melepasi laluan getir tersebut.Cabarannya sangat taktikal, saya pula tak pernah sampai situ, takut dan perasaan letih menguasi. Ditambah pula rasa lapar yang tak dapat dibendung menyebabkan saya mengalami kejang menyakitkan.
ABC & EBC yang diidamkan
Cerita Tengku Suzana lagi, setakat ini dirinya pernah menjejakkan kaki ke Gunung Datuk, Gunung Angsi, Gunung Nuang, Gunung Ledang, Gunung Gap, Gunung Ulu Semangkuk, Gunung Baling, Puncak Wang Gunung dan beberapa bukit antaranya Bukit Batu Kumbang, Bukit Cenuang, Bukit Botak, Bukit Cerakah, Bukit Batu Putih, Pine Tree Hills Twin Peak.
“Hajat dihati kalau boleh nak heret suami dan tiga anak-anak sama-sama mendaki. Walau bagaimanapun komitmen kerja suami sebagai seorang anggota keselamatan menyukarkannya menyertai saya. Saya bersyukur kerana dia sentiasa memberi dorongan dan merestui minat lasak isterinya.
“Saya ada satu perasaan di mana saya rasakan diri ini lemah, tak kuat dan lembik. Tetapi selepas hampir setahun berjinak-jinak dalam bidang ini, saya berjaya menawan puncak Kinabalu sekitar April lalu. Ia merupakan pencapaian peribadi yang membanggakan buat diri ini.
“Setibanya di puncak itu sekitar jam 8 pagi, empangan air mata ini tak dapat ditahan lagi. Saya menangis kegembiraan. Mungkin pada orang lain,
alah Kinabalu, trek mudah! tapi nak sampai ke situ punyalah mental! Tuhan sahaja yang tahu betapa beratnya nak melangkah naik tangga-tangga yang tiada kesudahan ibaratnya nak ke puncak dari Laban Rata ke Sayat-Sayat sebelum sampai ke puncak Kinabalu.
“Di masa depan, saya pun memasang impian untuk menawan Annapurna Base Camp (ABC) dan Everest Base Camp (EBC). Tanyalah mana-mana hikers, itulah dua puncak yang sering diidamkan untuk ditawan. Sebelum ke ABC atau EBC, sasaran saya menawan beberapa puncak tertinggi di Indonesia terlebih dahulu. Penutup tahun 2019, kami akan akhirnya dengan penjelajahan kembali ke Gunung Kinabalu, rindu datang kembali dan bersama Kosmo! Hikers kami ke pangkuannya,”zahir wanita ini mengenai kecintaan yang menjadi kecanduan terbaharu sebaik meninggalkan dunia kariernya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Selepas Dengar Pengumuman Anak Hilang Di Pasaraya, Isteri Jatuh Cerai Talak Tiga
Isi Kandungan
ToggleAllahu.. hanya kerana tak pandai jaga mulut, rumahtangga yang dibina bertahun-tahun musnah dalam sekelip mata. Cerai talak tiga dilafazkan tanpa sengaja.
Berdasarkan kisah benar seseorang yang dikongsikan semula dalam bentuk penceritaan oleh Cik Puan Ammy. Semoga jadi pengajaran, agar lebih berhati-hati dengan perkataan ‘talak’.
Assalammualaikum dan salam sejahtera semua…
Aku tidak tahu nak luahkan di mana perasaanku. Ibarat nk ditelan mati mak nak diluah mati bapak. Begitulah sakit dan terseksanya aku sekarang.
Aku isteri kepada Am (bukan nama sebenar). Am seorang yang penyayang, pemurah dan baik hati. Aku bahagia bersuamikan Am, aku dikurniakan anak-anak yang baik dan pintar. Am seorang jurulukis di sebuah syarikat pembinaan. Manakala aku seorang guru tuisyen Matematik dan Sains, hanya mengajar di rumah.
Bohong la jika aku mengatakan bahawa rumah tangga aku sentiasa aman dan damai tanpa ada masalah, ada masanya pergaduhan kecil juga berlaku. Jika aku dan Am berselisihan faham dan pendapat, biasanya ianya hanyalah tentang anak-anak.
Am paling pantang jika dia balik kerja, melihat anak-anak dalam keadaan yang comot dan tidak terurus. Rumah bersepah atau tiada makanan di atas meja, Am masih boleh terima malah akan membantuku untuk menguruskannya bersama. Tetapi jika berlaku sesuatu kepada anak-anak di atas kecuaian aku, Am pasti akan marah tetapi bukan di hadapan anak-anak.
Memang sudah menjadi pegangan kami untuk tidak melibatkan anak-anak ataupun keluarga lain. Jika kami bertengkar, kami akan keluar rumah berdua. Bila temui jalan penyelesaian baru kami akan pulang dan akan berlagak seperti tiada apa yang berlaku.
Aku faham kenapa Am begitu. Masa kecilnya, Am diabaikan oleh orang tuanya. Dia dibesarkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan. Mental dan fizikal Am didera, parutnya masih ada sehingga kini jelas kelihatan jika Am tidak berbaju. Sebab itu, Am tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib yang sama.
Mimpi Ngeri Buat Suami Isteri
Januari 2019, hari itu ibarat mimpi ngeri bagi kami berdua.
Petang itu, anakku yang sulung mengadu, kelengkapan asramanya tidak lengkap. Aku mengajak Am untuk keluar ke bandar. Memandangkan aku membawa ibuku yang lumpuh separuh badan itu bersama, Am tidak menemaniku dan anak-anak masuk ke ‘mall’. Dia menemani ibu di dalam kereta.
Maka aku memimpin si adik yang ku panggil Baby berusia 2 tahun. Anak keduaku pula yang berusia 7 tahun dipimpin oleh Along yang berusia 15 tahun. Selesai membeli barang keperluan asrama Along, si abang merengek meminta untuk dibelikan KFC.
Aku melihat duit di dalam beg hanya ada dua keping note 50 dan aku meminta Along menjaga adik-adiknya sementara aku pergi ke ATM yang berada tidak jauh daripada kerusi anak-anakku duduk untuk mengeluarkan duit. Ia berlaku agak pantas sekali, tiba-tiba along datang sambil berlari memimpin si abang dalam keadaan menangis ke arah aku yang masih beratur panjang.
“Ummi baby hilang… Tadi ada, pastu dah tak da… Along dah cari… Tak jumpa…”
Aku terdiam kaku. Rasanya kaki sudah tidak pijak ke bumi, baru beberapa minit tadi aku memegang tangan si kecil itu dan kini dia telah hilang…! Namun aku gagahi juga berjalan. Betapa lekanya aku, cuainya aku dalam menjaga anak-anak.
Pengumuman Anak Hilang
Aku terus menghubungi Am namun tidak dijawab. Aku nekad tidak akan keluar daripada pusat membeli belah itu selagi tidak temui anak perempuanku yang bongsu itu. Setitis air mataku tidak mengalir bimbang jika tiba-tiba aku lemah. Aku cuba lagi menghubungi Am namun hampa… Masih tidak dijawab.
Tingkat demi tingkat aku pergi namun tidak juga ku temui anakku itu.. Nama anakku bergema di setiap sudut. Aku menjerit memanggil seperti hilang akal dengan harapan si anak menyahut. Tiba-tiba, 30 minit kemudian aku mendengar pengumuman ada kanak-kanak dalam lingkungan 4 tahun ditemui memakai gaun biru bunga-bunga.
Ya… itu anakku, berkali kali pengumuman itu bergema dan aku yakin itu adalah anakku. Mungkin anakku itu tinggi dan montel disangkanya berusia 4 tahun. Sedangkan dia baru mencecah ke usia 2 tahun pada Julai 2018 yang lepas.
Setibanya di bahagian pengurusan, aku terus bersujud syukur kerana benar, itu adalah anakku.
Setelah mengucapkan ribuan terima kasih, aku segera ke kereta. Rupanya Am berada di luar kereta kerana merokok. Patut lah telefon tidak berangkat. Sesampainya di sisi si ayah, tiba-tiba anak ku yang kedua menjerit.
“Walid… Tadi baby hilang, nasib baik jumpa kat pejabat…”
Kerana Tak Tahan Dengar ‘Kecuaian’ Suami Terlafaz Talak Tiga
Aku lihat wajah gembira suamiku melihat aku dan anak-anak keluar dari pintu lif bertukar menjadi pucat dan tidak bermaya. Dia terduduk sambil meraup wajahnya. Aku menyuruh Along membawa adik-adik masuk kereta. Dan aku ingin menjelaskan perkara sebenar dan ingin memohon maaf. Aku tahu aku bakal dimarahi dengan teruk tetapi aku sudah bersedia memandangkan itu adalah berpunca daripada kecuaianku.
“Sayang… Betul kah yang diumumkan tadi anak kita…?”
Tanya Am perlahan. Aku mengangguk dan memegang tangannya untuk memohon ampun kerana cuai. Am menarik pantas tangannya. Aku tergamam…
Am merenung mataku sedalam-dalamnya. Aku tidak dapat menangkap apa yang cuba Am sampaikan.
“Tadi… Waktu pengumuman itu diumumkan… Berkali-kali… Abang jadi marah sebab kes kecuaian ibu bapa. Sayang tahu kan abang paling pantang kalau dalam bab-bab kecuaian ibu bapa melibatkan anak-anak…?”
Am terhenti di situ bagi menelan air liurnya seolah-olah apa yang bakal diluahkan ini amat payah dan perit.
“Abang terlafaz talaq…!”
Aku tergamam…
“Abang kata… ‘kalau lah bini aku tu, talak tiga aku bagi… Sibuk nak shopping sampai anak pun tak terjaga’. Pengumuman kata kanak-kanak berusia 4 tahun sedangkan baby baru 2 tahun… Ya Allah…”
Dengan berat hati Am menghabiskan kata-katanya.
“Mudahnya abang menghukum tanpa mendengar penjelasan saya…”
Sampai Hari Ini.. Anak-anak Dan Ibu Tidak Tahu Kami Dah Bercerai
Aku merenung wajah Am yang penuh penyesalan. Tapi apakah daya, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan badan menanggung. Aku mengajak Am pulang walaupun hatiku remuk seribu. Ya, aku lihat air jernih bertakung di kelopak mata Am walaupun dia cuba untuk sembunyikannya dan aku, semampunya cuba untuk menahan tangisan walaupun hatiku telah merintih dan meraung. Aku tidak mahu anak-anak dan ibu tahu aku dan Am tidak boleh bersama lagi.
Aku mengajak Am ke Jabatan Agama Islam untuk bertanya kepada yang lebih arif dan jika itu lah takdirnya aku redha. Namun Am menolak, dia belum bersedia untuk melepaskan aku dan minta supaya aku bersabar sehingga along habis PT3. Demi kebaikkan bersama aku bersetuju. Bimbang nanti Along pasti akan tertekan jika dia tahu punca penceraian ummi dan walidnya adalah kecuaian dia…
Sejak peristiwa itu, Along tidak pernah berhenti memohon ampun dari aku. Dia mengaku dia cuai kerana membalas whatsapp kawan dia sehingga terlepas pandang adiknya. Berkali-kali aku nyatakan bahawa dia tidak bersalah dan itu hanyalah ujian daripada Allah SWT ke atas hambaNya.
Suami Cuma Mampu Memandang Dari Kejauhan
Hampir 4 bulan aku dan Am tidak sebumbung. Jika anak-anak bertanya, aku akan mereka pelbagai alasan dan cerita kenapa walid tidak tidur dengan ummi dan kenapa walid tidak berada di rumah bila waktu malam. Rahsia ini tiada siapa yang tahu… Aku pendam sehingga tiba waktunya.
Dan aku tidak pasti adakah aku kuat atau tidak untuk terima hakikat bahawa aku akan kehilangan satu-satunya lelaki yang selama ini amat menyayangi dan mencintaiku. Aku juga harap dia tabah dan bersedia bila tiba masanya nanti. Aku tahu dia juga seperti aku, bertahun kami harungi suka duka bersama. Dari sekolah menengah hingga ke menara gading didaki berdua.
Di saat aku menulis luahan hatiku ini, aku sedang sakit, tidak berdaya.. Am hanya mampu memandang dari jauh, tidak mampu menyentuhku seperti waktu-waktu dahulu.. Tidak lagi mampu menjirus aku mandi seperti masa-masa lalu. Menjaga aku sewaktu aku berpantang anak-anakku dari Along hinggalah Baby… Tidak lagi boleh memicit kepalaku dan mengurut badanku… Aku tahu Along hairan, tapi apa yang mampu aku buat. Ibu ada bertanya, kenapa suamiku tidak seperti dahulu layanan padaku… Aku cuma mampu berkata…
“Dia penat buuu…”
Ibu diam namun aku tahu jauh di sudut hati tuanya, dia masih belum berpuas hati…. Allah… Talak 3… Kenapa tidak satu atau dua yang suamiku ucapkan. Kenapa Allah… Ujian apakah ini, Am adalah yang terbaik untukku. Cukup sempurna sekali pemberianMu untukku. Kenapa begini pengakhiran kami? Kenapa bukan ajal yang memisahkan kami? Allahu Akbar…
Sumber penulisan asal : Cik Puan Ammy
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI