Pada 9 Mac baru-baru ini, Puteri Aishah bersama pengarah krew produksi dan pelakon lain drama Demi terbang ke Inverness, Scotland. Mereka kemudiannya memulakan sesi penggambaran sehari selepas tiba disana.
Menurut pengarah drama Demi, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro memaklumkan dia bersama kru seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Rahila juga terpaksa menghentikan penggambaran dan pulang selepas diarahkan berbuat sedemikian.
Iman Tang, pengurus kepada Puteri Aishah memuat naik posting mengenai artisnya itu di instagram rasminya @imantang75.
“Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakathu..Salam Maghrib. Dia (Puteri Aishah) telah disahkan positif Covid-19 sejam yang lalu. Mohon doakan dia kembali sembuh,”…
MW kemudian menghubungi Iman Tang dan bertanyakan status terkini Puteri Aishah.
“Puteri Aishah terbang ke Scotland pada 9 Mac lalu sebelum Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Dia ke sana bersama pengarah, krew produksi termasuk pelakon lain yang terlibat dalam drama Demi. Keesokkan harinya mereka memulakan sesi penggambaran.
“Mereka tak shoot outdoor, dan tukar lokasi shoot indoor. Sekitar 25 Mac, salah seorang jurukamera dilaporkan sudah empat hari demam. Pengarah juga muntah-muntah dan pelakon Puteri Rayyana Rayqa pun demam dua hari.
“Masing-masing risau dengan keadaan itu. Team produksi dan pelakon lain balik ke Malaysia dan tiba pada 31 Mac baru-baru ini. Sebaik tiba di Malaysia, mereka diminta untuk self-quarantine dan jangan balik ke rumah keluarga.
“Puteri Aishah tinggal sendirian dan menjalani tempoh kuarantin itu. Tetapi sebaik jurukamera dan empat krew produksi telah disahkan positif, saya nasihatkan Puteri segera melakukan ujian saringan Covid-19 drive thru di Hospital Pantai Cheras, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang, 6 April kelmarin. Jam 5.30 petang tadi, result dah keluar dan dia disahkan positif… Kami masih menunggu makluman lanjut dari KKM untuk langkah seterusnya. Doakan Puteri diberikan kesembuhan hendaknya,”terang Iman Tang ketika dihubungi sebentar tadi.
Selain Puteri Aishah, pelakon lain yang turut menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa. Drama Demi diadaptasi daripada novel yang diterbitkan 26 episod bagi siaran RTM.
MW mendoakan Puteri Aishah dan semua yang terlibat dalam penggambaran drama ini diberikan kesembuhan.
Sumber Iman Tang dan Puteri Aishah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Buat Kali Kedua, Aku Lamar Isteri Yang Ku Letak Di Kampung..
Isi Kandungan
ToggleSuami ini kecewa isteri bermain kayu tiga. Serabut fikirannya, mahu menceraikan isteri yang dihantar pulang ke kampung. Ketika hatinya terumbang ambing, lelaki ini bertemu seorang kupu-kupu malam.
Berbual panjang sehingga tersedar. Kesilapan isteri berpunca dari dirinya sendiri. Nasihat dan pesanan yang Kak Mira, kupu-kupu malam itu berikan buatnya mengerti mengapa isteri jadi sebegitu.
Baca Sini Untuk Cerita Sebelumnya : ‘Akulah Virus Rumah Tangga Itu’ Semalam Dengan Kupu Kupu Malam Temui Jawapan Siapa Dirinya Di Mata Isteri
Tak Guna Kau Kutip Betina Tu..
Pagi itu, sesudah aku berbual panjang dengan Kak Mira aku terus balik kampung, niat untuk menjemput isteri dan anak-anak. Aku ingin membetulkan segalanya dan memulakan hidup baru. Sebelum pergi ke rumah mertua, memandangkan kami sekampung, aku singgah di rumah orang tuaku dahulu.
“Tak guna kau kutip betina tu, kalau dah anjing makan bangkai, bawa masuk istana sekalipun tetap bangkai yang dicarinya.”
Ibuku mula hilang kepercayaan terhadap isteriku. Aku hanya membisu. Tidak berdaya untuk aku menerangkan situasi yang sebenar bahawa semuanya berpunca dari silapku. Aku yang gagal membentuk keluarga ku sendiri. Benar kata Kak Mira. Kita hanya mampu buka pekung di dada bila hanya bersama orang yang kita tidak kenali. Masih ego kah aku.
“Pergilah ambil dia, pergi jemput dia. Dia Amanah untuk kau jaga. Berdosa besar kalau kau tinggalkan dia macam tu sahaja.
“Kalau kau masih sayang dia kau ambil dia, jaga dia, ampuni dan maafkan dia. Kita ni manusia tak lepas dari melakukan kesilapan. Kalau dah tak sayang, lepaskan sahaja. Ajak berbincang. Aku kenal dia macam mana orangnya. Masa aku sakit, anak menantu lain pandang-pandang je aku ni. Dia…? Satu badan aku diurutnya. Tiap kali salam, dipeluk ciumnya aku ni. Aku sayang menantu aku tu… Ada silapnya dalam rumah tangga kau ni… Tuhan ketuk kau bagi kau ingat, bagi kau sedar, jangan kau alpa lagi….”
Ayah aku mencelah, muncul dari pintu depan. Baru balik surau barangkali. Ibu mencebik.
Apa Nak Jadi.. Jadilah!
30 minit aku duduk depan simpang rumah isteriku itu. Mencari kekuatan dan keihklasan. Masa tu pelbagai bisikan aku dengar. Ada yang suruh aku patah balik.
“Gantung jer tanpa tali, padan muka dia..”
Ada yang suruh aku teruskan.
“Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.”
Ada pula yang suruh aku ceraikan dia dan cari perempuan lain.
“Buat apa kau nak hadap lagi perempuan tu, bersepah perempuan lagi elok, lagi cantik, lagi bagus dari dia…”
Akhirnya aku menjerit sekuat hati bagi menghalang kata-kata dan bisikan-bisikan hati dari terus mengganggu. Nasib baik dalam kereta dan semua tertutup, tiada orang yang dapat mendengar. Aku laungkan azan sekuat hati. Aku teruskan niat ku, apa nak jadi, jadilah!
Kau Ingat Anak Aku Ni Siapa?
Setibanya aku di muka pintu rumah, aku lihat Jannah sedang menyuapkan anak sulungku makan. Ya aku namakan isteriku Jannah. Memang aku suka panggil dia Jannah sejak zaman sekolah lagi walaupun jauh dari nama dia sebenar. Dia bangun, ada sedikit kehairanan dari raut wajahnya. Aku salami dia walaupun dia agak kaku. Rindu betul aku kepadanya dan anak-anak. Anak-anak menerpa ke arahku dan memeluk aku.
“Mari balik sayang, abang nak jemput Jannah balik.”
Aku mengusap ubun-ubunnya dengan lembut.
”Eh eh… Kau ingat anak aku ni apa.. Senang-senang nak buang, senang-senang nak kutip.”
Sudah, mertua aku pulak melarang.
“Mak… Saya tak buang dia. Saya cuma tinggalkan dia untuk saya berfikir. Cari di mana silapnya….”
“Ewah.. ewah.. senang jer kau cakap kan? 2 minggu kau tinggal anak bini, telefon takda, tanya khabar takda. Cari silap konon, dah jumpa silap sendiri, datang la ambil… Kalau anak aku yang salah, mesti kau campak macam tu jer kan…”
Mertua mencelah sebelum sempat aku habis berkata-kata. Suara mertua aku semakin tinggi. Aku lihat Jannah hanya tunduk membisu. Ada kemerah-merahan diraut wajahnya menandakan dia sedang menahan tangis. Aku melutut di kakinya. Aku minta ampun, minta maaf di atas segala dosa-dosa aku. Mertua aku pandang dengan hanya hujung-hujung mata. Biarlah jiran-jiran tengok. Aku tak kisah lagi. Aku nak Jannah ikut aku balik.
Jangan Berani Sentuh Anak Aku
“Kau nak bawa, kau bawa anak-anak kau balik. Anak aku jangan berani kau sentuh.”
Marah benar mertua aku. Aku dah hilang arah. Jannah still membisu. Aku tak faham kenapa tiada kata-kata keluar dari bibir kecil itu. Adakah Jannah juga mahu aku menceraikan dia. Tidakkah ada lagi perasaan sayang Jannah terhadap aku.
“Saya nak tinggal di sini lagi. Saya masih belum bersedia untuk balik lagi ikut abang.”
Akhirnya dia bersuara. Kering air mata aku tunggu dia bercakap. Kerasnya hati isteriku ini. Setitis air mata aku tak nampak mengalir di pipinya. Aku buntu, aku yakin jika dia masih stay di sini, pasti aku akan kehilangan dia. Sebab itu, aku mesti berusaha memujuk isteriku balik bersamaku. Aku kenal isteriku, dia tidak suka dipaksa.
“Tak apa lah kalau itu keputusan sayang… Cuma abang nak bawa anak-anak jalan-jalan sekejap. Kalau sayang nak ikut, jom lah….”
Bawa Isteri Jalan-jalan Tempat Kenangan
Aku mula memasang jerat. Jannah dah serba salah kerana dia terlalu sayangkan anak-anak. Akhirnya dia bersetuju untuk mengikut aku membawa anak-anak keluar berjalan-jalan. Sepanjang dalam kereta, aku menggenggam tangannya erat walaupun dia hanya membatu. Aku cium tangannya bertubi-tubi. Letak di dada dan mengatakan aku sayangkan dia.
Aku bawa dia dan anak-anak ke tempat-tempat kenangan. Aku tunjukkan anak-anak sekolah kami dulu-dulu. Tempat mulanya kami kenal, berkawan dan akhirnya bercinta walaupun anak-anak ku itu masih belum mengerti apa-apa.
Aku nak bangkitkan kembali rasa kasih dan sayang Jannah terhadapku. Last sekali, aku bawa Jannah ke tepi pantai. Tempat aku melamar dia jadi isteri aku. Waktu tu matahari dah nak tenggelam. Ikhtiar aku kali terakhir bila Jannah still juga membisu. Suasana petang tu memang romantik gila.
Ku Lamar Isteri Untuk Kali Kedua
“……… binti ……. sudikah awak jadi isteri saya sekali lagi dan saya berjanji jika diberi perluang kedua. Saya akan bahagiakan hidup awak dan mengubah setiap kekurangan menjadi satu kesempurnaan…”
Tiba-tiba Jannah meraung, menangis dan menjerit sekuat hati ibarat orang terkena sampuk. Anak-anak yang sedang leka mengorek tanah berlari mendapatkan kami. Aku cuak lalu memeluk Jannah yang sedang meronta-ronta itu seeratnya kerana aku tidak pernah lihat dia dalam keadaan begini.
Jannah menangis… Meraung sekuat hati. Ada juga mata memandang. Tak kurang yang datang bertanya. Ada yang hulurkan air minuman yang dijampi supaya Jannah tenang. Akhirnya Jannah layu kelesuan dalam dakapanku. Aku bawa Jannah dan anak-anak menginap di hotel.
Mertua dan ibu ayah aku call berkali-kali. Aku biarkan aje. Malam tu aku tidur dengan Jannah berpelukan. Sesaat pun aku tak lepas. Ibarat pengantin baru. Betul-betul aku lepaskan rindu kesumat, dua minggu terpisah.
Hasilnya…hehehe… Kami menerima kehadiran cahaya mata yang ke-4. Doakan kami yer. Tentang mertua dan ibu ayah aku. Nanti lah aku ceritakan yang penting, kalian tahu keluarga kami kembali bersatu.
Sumber penulis asal : Cik Puan Ammy (Berdasarkan kisah benar yang terjadi)
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Pakar Kongsi 7 Tip Cegah Koyakan Besar Masa Bersalin Dan Cara Betul Rawat Jahitan Ikut Tahap Kecederaan
Isi Kandungan
ToggleSatu hal yang paling menggerunkan mana-mana ibu hamil secara normal, tentulah melalui saat melahirkan dalam bilik bersalin. Paling dibimbangi tentulah menghadapi koyakan besar atau sebaliknya pada bahagian perineum atau digunting (episiotomi) semasa bersalin.
Masa nak dekat-dekat bersalin itu dah macam-macam terbayang dalam fikiran mak-mak. Besar mana koyakan, banyak mana jahitan dan tentunya semua itu merungsingkan perasaan.
Bagi yang pertama kali melalui proses kelahiran, koyakan pada vagina mungkin sesuatu yang agak asing untuk anda. Namun jika anda ada mengikuti kelas persediaan sebelum kelahiran pastinya terma tersebut telah anda ketahui.
Menurut Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, FPSK, UPM dan juga Pakar Perunding (Jemputan) Perubatan Reproduktif & Infertiliti, Hospital Pakar An-Nur,
“Perineum di dalam bahasa Yunani disebut Perineos; adalah bahagian di antara kedua belah paha, yang dibatasi oleh vulva dan anus, dengan tulang simpisis pubis di bahagian atas, dan tulang koksigeus di bahagian belakang.
“Perineum terdiri dari otot dan fasia urogenitalis serta diafragma pelvis. Perineum merupakan bahagian yang sangat penting bukan sahaja dalam hubungan intim.
“Malah terlibat secara langsung dengan proses kelahiran bayi, juga bertindak sebagai bahagian yang penting untuk mengawal proses pembuangan air kencing dan najis.
Sebenarnya, mak-mak yang bakal melahirkan boleh mengurangkan koyakan besar pada bahagian perineum jika tahu caranya. Lakukan sebelum tibanya tarikh melahirkan. Ketahui 7 tip pencegahan yang dikongsikan Dr Maiza ini.
7 Tip Pencegahan Koyakan Besar Pada Perineum
1. Jangan Panik! Bersedia dengan ilmu kelahiran menjadikan bakal ibu lebih tenang dan tidak panik ketika proses kelahiran.
2. Senaman Kegel : Kemutkan otot pelvis / vagina seperti anda sedang menahan kencing, tahan selama 10 saat, lepaskan perlahan-lahan dan ulang 25 kali setiap satu sesi, lakukan tiga kali sehari sepanjang tempoh kehamilan.
3. Urutan perineum beberapa minggu sebelum kelahiran berpotensi untuk menjadikan otot pada bahagian vagina lebih anjal dan mengurangkan risiko koyakan vagina yang teruk.
4. Meneran dengan betul! Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah.
5. Jangan teran terlalu awal! Meneran terlalu awal ketika kepala bayi masih tinggi menyebabkan vagina membengkak dan mudah koyak.
6. Posisi yang betul! Rapatkan dagu ke dada, anda berkeadaan sama seperti udang membengkok, pegang pergelangan kaki, dan jangan sesekali mengangkat punggung!
7. Dengar arahan doktor dan amalkan berzikir dan doa sepanjang proses kelahiran.
Rawat Kecederaan Perineum (Koyakan)
Koyakan tahap pertama dan kedua adalah koyakan yang boleh dijahit secara langsung tanpa memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke dewan bedah. Rawatan susulan juga agak ringkas dan tidak memerlukan rawatan susulan yang kerap.
Koyakan tahap ketiga dan keempat diklasifikasikan sebagai kecederaan perineum yang kompleks di mana pesakit perlu melalui pembedahan di bilik bedah untuk menjahit bahagian yang koyak.
Bergantung kepada tahap kesukaran untuk merawat koyakan tersebut, pesakit mungkin memerlukan perawatan dan pemantauan kombinasi daripada pakar bedah kolorektal dan uroginekologi.
10 Cara Pulihkan Kesan Jahitan Dengan Panduan Doktor
1. Lazimnya ibu akan dibekalkan dengan ubat untuk melembutkan najis bagi membantu melawaskan proses pembuangan najis.
2. Jahitan pada vagina tidak perlu dibuka, benang yang digunakan merupakan benang mudah-serap.
3. Proses penyembuhan bergantung kepada tahap koyakan vagina. Bagi yang mengalami tahap koyakan pertama dan kedua, lazimnya luka akan sembuh sepenuhnya dalam tempoh 2-3 minggu bergantung kepada tahap kesihatan dan imuniti badan.
4. Ibu hendaklah sentiasa memastikan bahagian sulit sentiasa bersih dan kering terutama selepas mencuci bahagian kemaluan mahupun selepas mandi.
5. Dinasihatkan tidak menyapu sebarang bahan pada bahagian luka tanpa nasihat doktor.
6. Pemakanan yang seimbang dengan nutrisi yang lengkap dan minum air secukupnya menggalakkan penyembuhan yang pantas.
7. Bagi kelahiran yang dimaklumkan kepada klinik kesihatan, Jururawat desa akan memeriksa luka dalam tempoh seminggu selepas kelahiran.
8. Tanda luka telah sembuh adalah apabila ibu tidak lagi merasa pedih pada bahagian luka ketika mencuci bahagian sulit.
9. Bagi ibu yang mengalami jangkitan pada luka, atau luka yang lambat sembuh atau sentiasa berair adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor untuk rawatan selanjutnya.
10. Manakala, bagi ibu yang mengalami koyakan tahap 3 dan 4, lazimnya rawatan susulan di hospital pakar adalah dalam tempoh 2 hingga sebulan selepas kelahiran. Tanda luka perineum tidak mengalami komplikasi adalah apabila ibu masih mampu menahan kentut & pembuangan air besar.
Kecederaan Perineum (Koyakan) Ketika Proses Kelahiran
Statistik menunjukkan bahawa sekitar 90% wanita mengalami kecederaan perineum semasa bersalin; manakala segelintir wanita boleh mengalami kecederaan perineum yang lebih teruk yang boleh merosakkan otot dubur dan fungsi seksual.
Statistik yang dilaporkan oleh British Journal of Obstetrics & Ginekology yang menganalisis trend kecederaan perineum di semua hospital NHS di England menonjolkan kenaikan tiga kali ganda koyakan perineum tahap ketiga atau keempat, dengan kadar peningkatan dari 1.8% pada tahun 2000 kepada 5.9% pada tahun 2011 di kalangan ibu yang pertama kali melahirkan.
American Journal of Obstetrics and Gynecology, melaporkan wanita Asia lebih cenderung mengalami kecederaan perineum, dengan 2.5% daripadanya mengalami koyakan perineum tahap ketiga atau keempat
Malangnya, adalah sukar untuk meramal dan menghalang kemungkinan berlakunya kecederaan perineum kepada bakal ibu yang sedang melalui proses kelahiran.
Walau bagaimanapun, doktor perbidanan akan menimbangkan faktor risiko tertentu untuk menjangkakan kemungkinan berlakunya kecederaan perineum dan langkah-langkah merawat yang sewajarnya dapat di laksanakan.
Faktor/risiko tersebut termasuk sejarah mengalami koyakan vagina yang teruk, distosia bahu, ibu mengalami proses kelahiran pada fasa yang panjang, kelahiran pertama, jangkaan bayi dalam kandungan yang besar, kelahiran yang perlu dipaksa dengan ubat atas faktor kesihatan dan kelahiran secara vakum atau forsep.
Betul Ke Semua Ibu Mengandung Perlukan Episiotomi?
Episiotomi adalah kaedah memotong sedikit bahagian di antara faraj dan lubang dubur ketika kepala bayi mula keluar dari faraj.
Ia bagi mengurangkan risiko koyakan yang tidak terkawal pada faraj ketika bersalin. Kaedah menggunting atau memotong sedikit pada faraj ini dapat memudahkan laluan bayi.
Hospital kerajaan dan kebanyakan hospital swasta mengamalkan polisi ‘selective episiotomy’ atau ‘episiotomi selektif’ di mana hanya ibu yang mempunyai risiko seperti kelahiran songsang, kelahiran vakum atau forceps.
Namun, teknik ini bukanlah menjadi kemestian atau rutin setiap kali menyambut kelahiran bayi melainkan sebagai pilihan terakhir semata-mata.
Kenali Tahap Kecederaan Perineum Mak Bersalin
Koyakan tahap pertama : Koyakan melibatkan lapisan kulit sekitar vagina sahaja, atau lapisan luar perineum.
Koyakan tahap kedua : Koyakan melibatkan kulit sehingga lapisan mukosa vagina dan otot perineum.
Koyakan tahap ketiga : Melibat otot di bahagian dubur, ia perlu dijahit lapisan demi lapisan dan sekiranya tidak dijahit dengan sempurna, akan mendatangkan komplikasi yang serius
Terbahagi kepada koyakan tahap ketiga iaitu:
3a: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan kurang daripada 50%.
3b: Koyakan sebahagian daripada sfinkter luar dubur yang melibatkan ketebalan lebih daripada 50%.
3c: Koyakan yang melibatkan sfinkter dalam dubur.
Koyakan tahap keempat : Melibatkan koyakan terus dari kulit perineum, mukosa vagina, otot, sfinkter dubur, sehingga ke mukosa rektum.
Rujukan : American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) & RCOG
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Paling Susah Nak Buat Di Alam Semesta Ini ‘Pujuk Isteri Merajuk’, Lelaki Ini Kongsi Tip
Isi Kandungan
ToggleKata suami ini, isteri bila dah merajuk nak memujuknya bukan senang. Haa.. diumpamakan sebagai perkara paling susah nak buat di alam semesta ini. Lucu bunyinya. Tapi inilah rupanya luahan tulus dari seorang suami.
Lud Ibrahim memanggil isterinya, Hamizah Zakaria dengan panggilan manja Ratu di facebook. Inilah yang dikongsi tentang petua bagaimana mahu memujuk isteri yang merajuk.
Petua Untuk Suami, Pujuk Isteri Merajuk
Kebiasaan waktu saya cuti, ratu memang suka sediakan makan untuk suami dia yang montel kacak ni. Sehari tu, datang ratu punya kerajinan. Tak tahu mana datangnya kerajinan superb dekat ratu. Ratu masak sup ayam seekor untuk makan tengah hari. Dua orang punya makan tengah hari.
Saya pun dengan selamba kacak nya tanya “Siapa nak makan sup ayam banyak banyak ni?” Tak sampai sesaat, berubah muka ratu. Bekerut seribu. Ratu diam. Ratu capai enfon, duduk dekat sofa ruang tamu. Merajuk ler tuh.
Salah satu perkara yang paling susah nak buat di alam semesta ialah pujuk hati isteri merajuk. Bukan senang tau nak pujuk hati isteri. Sebagai suami, kalau hati tu macam padang pasir, cepat cepat tukar jadi taman bunga lavender. Supaya senang nak pujuk isteri nanti.
Jujur saya katakan, tak mudah sebenarnya nak pujuk isteri. Faham faham la kalau isteri dah merajuk. Satu perkataan pun tak cakap. Muka kau pun dia tak hingin nak tengok. Walaupun kau kacak.
Tapii, biasa lah perempuan, dah memang sinonim dengan merajuk. Kekadang tu dah la merajuk, jual mahal pulak tuh. Huh.
Cara Paling Gentle Suami Boleh Cuba Bila Isteri Merajuk
Pegang Tangan Isteri, Tenung Mukanya Penuh kasih
Ambil tangan isteri pegang dengan lembut. Tenung muka dia dengan penuh kasih sayang. Tinggalkan dulu ego tu dalam lemari. Sapu air mata yang mengalir di pipi dia. Cakaplah paling tidak pun “I Love you”. InsyaAllah, hatinya akan lembut dan dia akan sandarkan kepalanya atas bahu.
Tapiii, kalian harus tahu, ia nya takkan berakhir dengan begitu sahaja. Kena pulak isteri tu merajuk atas sebab kesalahan si suami. Harus kalian teruskan lagi proses memujuk. Kah!
Sejambak Bunga Dan Barangan Yang Isteri Suka
Belikan sejambak bunga untuk isteri. Pastikan bunga tu bunga hidup. Bukan bunga plastik. Perempuan mana yang tak suka kalau dapat hadiah bunga dari tercinta. Kalau dah biasa sangat bagi bunga jambak jambak ni, tukar sikit skillnya. Cabut kelopak kelopak bunga tu dan tabur atas katil, bawah selimut, atau masukkan dalam sarung bantal.
Kalau isteri tak suka juga dengan bunga. Bagi lah apa yang isteri suka. Kalau dia suka cekelat, bagi cekelat. Kalau dia suka kucing, bagi kucing. Kalau dia suka kain batik, bagi kain batik. Begitulah.
Minta Maaf Tu Bukan Perkara Memalukan
Sebagai suami, jangan malu untuk menyatakan kemaafan kepada isteri. Tak sikit pun hilang kejantaan tu. Tulis rasa maaf pada isteri, luahkan rasa cinta. Cinta sepenuh hati kepada isteri. Berjanji tak akan buat isteri menangis lagi. Jika suami ingkar, haruslah kalian bertaubat!
Sabar & Tenang.. Itu Tanda Anda Suami Matang
Suami, harus nampakkan kematangannya sebagai seorang lelaki. Dah nampak isteri tu merajuk, jangan la pula suami sama naik. Di tambah lagi perisa. Marah marah tak tentu pasal. Harus kalian lebih sabar. Harus tenang. Buat tindakan yang matang. Fikir dengan waras segala tindakan. Bertenang. Semua tu syaiton punya permainan. Menyesal tak sudah nanti kalau terus dilayan.
Sama-sama Solat Berjemaah Agar Lebih Cinta
Selepas kesemua diatas kalian sudah lakukan. Ajaklah isteri untuk solat berjemaah. Kalau bukan masa nya waktu solat. Cukup sekadar solat sunat dua rakaat. Paling penting sekali, minta sungguh sungguh kepada Allah. Yang Maha Membolak balik hati. Yang menyemarakkan rasa cinta. Yang menghantar rasa kasih dan rindu.
Kena ingat, Allah redha suami isteri yang berkasih sayang. Rezeki melimpah limpah Allah turunkan. InsyaAllah.
Jadiii, suami kalau isteri tu dah masak. Dah siapkan sesuatu untuk suami. Santuni lah dengan baik. Jangan banyak soal. Nasib baik sebelum malam dah reda rajuk isteri. Kalau tak, tidur luar lah kalian malam nanti. Padan muka.
Apa lagi? Pergi bagi bunga dekat isteri.
Suami Pegang Pesanan Ini
“Dengar dan peluklah isteri, insyaallah dia akan jadi isteri yang solehah dan ibu yang mithali”
-LelakiBurqa-
Sumber/Foto : Lud Ibrahim (Lelaki kacak beristeri satu).
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI