Putera Mateen bergelar suami dengan sekali lafaz. Sah bergelar suami isteri! Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini.
Majlis akad nikah yang diadakan di masjid berkubah emas di ibu negara Brunei itu turut disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang turut berkenan menyaksikan majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat diraja.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), dengan Putera Mateen, mengenakan busana serba putih.
Pada majlis akad nikah, kelihatan bapa pengantin diraja perempuan, Awang Adam Abdullah meminta Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Seri Paduka Setia Awang Salim menikahkan Dayang Anisha bersama pasangannya dengan mahar sebanyak $1,000 dolar Brunei (RM3,498).
Istiadat bersejarah itu dimulakan dengan awang-awang menyalakan Dian Empat sebagai lambang keunikan adat Istiadat Diraja Brunei.
Sebaik sahaja lafaz kabul disahkan, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.
Media melaporkan istiadat perkahwinan pasangan diraja itu akan berlangsung selama 10 hari, di mana ia telah dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lalu.
Acara kemuncak iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari. Pasangan pengantin diraja kemudian akan menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, manakala Majlis Persantapan Diraja dijadualkan pada 15 Januari ini.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Biar Bercerai, Baby Musa Jadi Pengikat Kasih Noh – Mizz Nina. Bergilir Jaga Anak
Mizz Nina & Diana Amir Korbankan Glamor Demi Kerja Amal
“Hijab Adalah Pilihan Saya, Luahan Rasa Cinta Pada Tuhan..”, Mizz Nina
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.