Punyalah Untung Kalau Ada Anak Perempuan Ramai…

Share

“Hamil anak perempuan lagi? Bila pula peluang nak dapat anak lelaki? Malang ke kalau dapat anak perempuan 3 orang berturut-turut? Dan macam mana penerimaan suami nanti?”

Itulah soalan-soalan yang selalu menyerang bila mak-mak beranak anak perempuan berturut-turut.

Ibu, jangan risau dengan situasi ini. Sebenarnya anda cukup bertuah punya anak perempuan yang ramai.

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka akan menjadi pelindung baginya daripada api neraka” (hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidz).

Secara zahirnya, hadis ini memberitahu kita bahawa mendidik anak perempuan bukanlah suatu perkara yang mudah, jika kita dapat melakukannya dengan baik dan penuh kesabaran, maka mereka ini akan menjadi asbab kepada kita untuk masuk ke dalam syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan.

Mengapa anak perempuan dinyatakan secara spesifik di dalam hadis ini, hakikatnya melambangkan betapa besarnya anugerah bagi sesebuah keluarga yang memiliki anak perempuan di dalamnya.

Penganugerahan ini, hadir bersamanya amanah dan tanggungjawab yang berat juga untuk mendidik dan menjaga mereka daripada kerakusan dunia dan makmur menuju ke jannatul firdaus yang tertinggi. Begitulah kedudukan anak perempuan di sisi Islam. Sejarahnya, anak-anak perempuan sering kali dilihat menjadi beban dan membawa sial dalam kehidupan masyarakat jahiliyyah. Namun, perkara ini dinafikan dengan kedatangan Islam. Peranan wanita melahirkan umat Islam dipandang tinggi dan mulia malah sejak wanita-wanita ini masih lagi bayi.

Sejenak melihat kepada kejadian wanita yang amat unik menunjukkan bahawa Maha Hebat Allah yang menjadikan wanita memiliki jiwa yang lembut, sarat dengan kasih sayang dan pengertian. Setiap mereka itu memiliki keayuan tersendiri yang bisa mencuri perhatian.

Mutiara inilah yang diamanahkan oleh kita sebagai ibu bapa dan penjaga untuk menjaga dengan baik sehingga sirnanya mampu bertahan sehingga ke syurga. Penjagaan dan didikan yang sempurna untuk anak-anak perempuan ini harus diberikan dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Perhatian harus lebih, agar lembut hatinya tetap lunak dan tidak membatu.

PERANAN AYAH

Sebagai seorang ayah, peluk ciumlah anak perempuanmu selalu agar dia kelak tidak luak dengan tipu daya persekitaran luar yang mengganas. Sentiasa berkata dengannya dengan intonasi yang mendamaikan perasaan dan jiwa raganya. Ketahuilah, kejadian anak perempuanmu yang lembut dan tidak tahan dengan kekerasan.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud:

“Takutlah kamu kepada Allah s.w.t dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita.”

Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan mereka dan juga isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah s.w.

Namun, yang paling penting adalah dengan memberikan gambaran kehidupan yang hakiki kepada dirinya. Ajarkan dia apa yang Allah dan Rasul inginkan kerana kita semua adalah hamba Allah. Pengajaran fardu ain harus didahulukan. Layani persoalan dan kerenah mereka dengan penuh kesabaran. Ini kerana Allah sedang mengujimu, adakah kita mampu diberikan gelaran penjaga mutiara Allah yang terbaik atau pun tewas.

Rakan penjaga yang dihormati, rencam dunia dan sistem kehidupan kini menjadikan proses mendidik anak-anak terutamanya anak perempuan begitu mencabar. Jadi kita harus komited untuk mewujudkan ruang dan peluang untuk mereka dalam kehidupan kita. Ini kerana, hanya dengan ruang dan peluang ini kita dapat melihat dan meneliti setiap langkah mereka. Usah melihat mendidik anak sebagai salah satu rutin kehidupan kerana ia lebih daripada itu.

Anak-anak adalah amanah Allah kepada kita. Berjaya atau tidak kita dalam proses dan usaha mendidik mereka akan diberitahu di dalam mahkamah Allah kelak. Oleh yang demikian, peganglah amanah ini dengan baik.

Tukar persepsi menjaga anak hanya dengan memberikan pelajaran, makan, minum dan mainan. Didik anak adalah proses memberikan pengetahuan kepadanya tentang hakikat dirinya sebagai hamba Allah dan khalifahNya. Jadi, berikan hak itu kepada dirinya.

Tip Jaga Anak Perempuan

1. Ajar anak solat. Ini asas dan tiang didikan anak-anak.

2. Peluk anak setiap hari, mudahnya nak cas aura positif. Biar anak tahu anda sayang dia.

3. Marah pun, kena penuh dengan kasih sayang. Tiap kali dia buat salah, nyatakan kenapa anda marah.

4. Mak Ayah kena rajin puji anak. Ini satu jalan untuk tanam sikap confident dalam diri anak.

5. Utamakan anak, tiap kali anak panggil atau tanya, jawab.

6. Jangan sesekali maki anak sendiri atau panggil dengan panggilan buruk.

7. Dengar bila anak sedang bercerita.

8. Kadang nak pabik dan takut. Waktu ini, tolonglah tenangkan anak dengan penuh kasih sayang.

8. Andai anak bergaduh, leraikan dengan cara yang lembut. Jangan guna cara kasar seperti tengking anak!

9. Jangan rotan anak dari lutut ke atas. Ini boleh menyebabkan anak jadi degil dan melawan.

10. Tinggalkan kerja di pejabat. Fokus layan karenah anak.

11. Hargailah permainan anak, mak ayah boleh duduk bersama sambil bermain dengan anak.

12. Terima anak seadanya, jangan pula bandingkan anak dengan orang lain.

13. Jangan biarkan anak tidur tanpa ciuman dari anda.

14. Banyakkan aktiviti bersama anak.

15. Mak ayah kena mendengar masalah anak jika tengok sikap anak ke arah murung. Terutama kaum ayah, anak cukup perlukan kasih sayang seorang ayah.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi karenah mereka Allah Taala dan RasulNya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Hargailah anak-anak perempuan yang anda miliki. Jaga dan didik mereka untuk kenal Allah dan Rasul, tahu tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah dan Khalifatullah.

Insya-Allah kita tidak akan pernah menyesal menahan kesabaran, memperuntukkan waktu dan keletihan kerana, janji Allah dan RasulNya mereka ini kelak akan menjadi benteng kepada kita daripada api neraka Allah..Allahua’lam.

Published by
Nadia