Memang benar, saiz tubuh Zulin Aziz kurus dan jauh berbeza daripada sebelumnya. Namun menurut Zulin, beratnya mungkin sudah bertambah sedikit memandangkan ketika itu baru saja menyambut Syawal. Suasana bertambah ceria dengan sikapnya yang gemar berjenaka dan selamba.
Boleh berlakon, melawak, mengacara dan kini menjadi penyampai radio (DJ). Pada awal kemunculannya dahulu, artis cantik manis ini memiliki saiz badan yang besar. Tetapi kini, ramai yang terperanjat apabila pada tahun lepas, dia muncul dengan tubuh yang jauh lebih langsing dalam satu program TV. Sejak itu, ramai yang tertanya-tanya, apa rahsia dan apa yang mendorong dirinya semakin langsing dan cantik? Zulin sedar pasti ramai peminat yang ingin tahu apakah yang telah dilakukannya sehingga pernah mencatatkan penurunan sehingga 10kg dalam tempoh sebulan.
Menurut Zulin, sebagai wanita dan lebih-lebih lagi bergelar selebriti, tentunya dia ingin tampil lebih menarik di khalayak ramai. “ Niat untuk kurus itu datang daripada diri saya sendiri. Saya terfikir, kalau saya tak bermula sekarang, nak tunggu sampai bila lagi? Semakin tua usia kita, semakin susah nak kuruskan badan. Jadi saya ambil langkah untuk mula diet secara sihat.
“Selain itu, saya seorang yang gemar bergaya dan suka beli pakaian yang ‘fashionable’. Tapi kadangkala pakaian yang saya beli itu saya tak boleh pakai. Nak cari penaja pakaian juga susah. Jadi, itu yang menguatkan lagi tekad saya untuk menguruskan badan. Badan saya pula jenis ‘gemuk air’ kata orang. Cepat naik dan cepat turun. Jadi kalau makan banyak dalam sehari pun berat saya boleh naik. Itu yang saya perlu berhati-hati. “ Ujar Zulin memulakan perbualan.
Setiap orang ada cara untuk menurunkan berat badan, sama ada dengan mengambil ubatan tertentu, bersenam dan sebagainya. Zulin juga ada cara tersendiri. “ Saya berjaya menurunkan berat badan menerusi kaedah konvensional iaitu bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat, setelah tidak lagi mempercayai produk pelangsing badan. Terus terang, sebelum ini saya pernah ambil produk-produk untuk kuruskan badan. Macam-macam produk kurus yang telah saya cuba. Memang berkesan pada mulanya namun saya kecewa apabila berat badan kembali meningkat secara mendadak apabila berhenti mengambilnya. Lebih teruk, berat badan saya bertambah berganda-ganda daripada berat asal. Tentulah saya rasa kecewa. Lagi pun, bagi saya tidak ada jalan mudah di dunia ini apabila kita hendak mencapai sesuatu. Perlu ada usaha berterusan, termasuklah dalam soal menurunkan berat badan.
“Pengambilan pil pelangsing bukan jalan terbaik untuk kurus kerana ia hanya memberi kesan sementara sahaja dan sebab itu saya cekalkan hati untuk melakukan kaedah sebenar dan lebih selamat iaitu bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat. Ia juga boleh mendatangkan risiko terhadap kesihatan jika tersilap memilih ubat seperti kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Saya juga tidak berani membuat pembedahan seperti sedut lemak. Bagi saya, kaedah perawatan itu ada risikonya. Mungkin tidak sekarang tapi di kemudian hari. Lebih elok pilih cara selamat. Memang perlu usaha lebih tapi kesannya berkekalan,” tambah Zulin yang tidak lokek berkongsi rahsia dia lebih langsing.
Menurut Zulin lagi, cara terbaik adalah dengan mendapatkan khidmat nasihat jurulatih peribadi yang boleh membantu seseorang itu untuk melakukan rutin senaman yang lebih berkesan. “Semua orang boleh bersenam sendiri. Tapi biasalah. Kalau tanpa jurulatih, kita akan bersenam ikut kehendak kita sendiri. Bila bersenam dan penat, kita terus berhenti. Sebaliknya, jika menggunakan khidmat jurulatih peribadi, kita kena ikut arahan mereka. Saya masih ingat lagi, pada awal dahulu, saya sampai menangis kerana ‘dipaksa’ bersenam oleh jurulatih. Bila saya cakap saya tak boleh dan tak mampu, dia tetap paksa saya dan yakinkan saya bahawa saya boleh tapi kena kuat semangat. Lama kelamaan, saya makin terbiasa dengan rutin senaman tersebut.
“Apabila kita menggunakan khidmat jurulatih, ia akan menjadi satu cetusan semangat untuk kita kerana ada orang yang akan sentiasa ‘awasi’ senaman dan pemakanan seharian kita. Jadi, saya sarankan jika mampu dan ingin hasilkan terbaik, dapatkan khidmat jurulatih peribadi. Bukan tak boleh bersenam sendiri, tapi disiplin diri kena tinggi dan semangat kena cekal. Jangan penat, terus berhenti.
“Joging juga bentuk senaman yang boleh membantu kita menguruskan badan. Tapi seperti yang saya cakap tadi. Kena konsisten dan cekal. Jangan hari ini joging, tapi esok lusa dah malas. Dengan bersenam, kita dapat membuatkan badan kita ‘fit’ dan tidak lembek. Kulit juga akan menjadi lebih cantik. Itu bezanya jika kita kurus tanpa melakukan senaman. Tubuh akan nampak ‘mengeleber’ dan tak cantik.” Tambah Zulin lagi.
“Satu lagi aspek penting adalah menjaga pemakanan seharian kita. Sebenarnya salah tanggapan jika kita nak diet, kita tak perlu makan. Sebenarnya kita tetap kena makan tapi mesti jaga pemakanan kita. Macam saya, memang saya kawal pengambilan nasi dan gula. Saya banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Gula hanya daripada buah-buahan yang saya ambil. Pendek kata, jangan ambil makanan yang menggemukkan. Apabila kita jaga pemakanan kita, disertai dengan senaman, insya-Allah berat badan kita boleh diturunkan. Tapi bukan mudah nak kawal makan. Kita kena sentiasa katakan pada diri, kita boleh dan kalau kita kurangkan makan, kita tetap boleh hidup. Tak ada orang mati sebab kurang makan.” Ungkap Zulin lagi.
Wanita ini antara artis muda yang berbakat besar di negara ini. Pemilik nama sebenar, Farah Azleenda Abd Aziz, 28, atau lebih dikenali sebagai Zulin Aziz orangnya ceria dan ‘happy go lucky’. Bahkan cukup mudah bila berurusan dengannya.