Emak kita waima orang rumah kita, takkan kongsi penatnya dia uruskan hal rumah tangga dengan suami selagi kudrat mereka terdaya. Sebab dia tahu susahnya macam mana suami cari rezeki untuknya dan anak-anak. Dua-dua wanita ini lebih rela pendam perasaan.
Lagipun tahu dan sedar diri, soal mengurus rumah adalah tanggungjawabnya. Dan hal-hal remeh sebegitu cuma akan dikongsi apabila ditanya.
Jika tidak, lebih baiklah diam dan redha saja terima apa yang suami dah sediakan. Beruntunglah pada anak lelaki mahupun suami yang berusaha nak ambil tahu penat orang perempuan.
Begitulah kisah harian yang berlaku pada Dr Taufiq Razif ketika bertanyakan tentang perihal kepenatan ibunya yang menyidai pakaian setiap hari.
Keluhan Mak Di Kampung
“Mak letih tak sidai kain tiap hari?”
Bila saja saya tanya soalan ini dekat mak, masa call mak kelmarin. Terus keluar segala keluhan mak di kampung.
Baju bertimbun.
Kena sidai setiap hari.
Buat kerja berat tak berhenti.
Rutin yang nampak simple tapi memeras kudrat dan keringat.
Semua keluhan tu mak saya pendam di lubuk hati paling dalam rupanya. Bila saya tanya, baru la mak mula cerita. Kenapa? Sebab sebolehnya mak kita tu tak nak susahkan kita.
Ya Allah. Berdosanya saya. Kenapa dah hampir umur 30 tahun ni saya baru sedar?
“Mak, saya belikan Mak dryer ye?”
“Apa tu dryer?”
“Alah, yang macam kat dobi tu. Mesin pengering baju. Dah spin baju terus je masukkan dalam dryer ni mak. Kejap je dah kering. Mak tak perlu fikir dah nak sidai baju lepas ni.”
Daripada nada suara mak di handphone. Saya dapat rasakan mak saya tengah sebak. Rupanya ini la ‘most painful point’ mak saya.
Derita Isteri Dan Mak Saya Sama
Saya lupa, kalau kita nak bahagiakan orang lain tak semestinya kena tabur kemewahan. Cukup cari kat mana titik yang mana membuatkan si dia paling menderita dan kita angkat derita si dia tu.
Derita isteri dan mak saya sama. Mereka tak larat nak sidai baju yang bertambun. Kedua masalah mereka ni saya angkat dan selesaikan dengan DRYER ni. Punya la sebak dan terharu mak dan isteri saya dapat benda ni. Dah macam dapat banglo sebijik dah!
Betullah Kata Kajian Ini..
Ikut kajian wanita lebih bahagia dengan komitmen kita yang kecil tetapi berterusan daripada kita bagi dia hadiah mahal-mahal dan mewah tapi tapi kadang-kadang je.
P/S : Harga dryer ni RM1k lebih je.
Dr. Taufiq juga banyak berkongsi ilmu keibubapaan Di Sini
Sumber/Foto : Taufiq Razif
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pilih Warna Yang Betul, Kalau Mahu Rumah Tangga Ceria & Harmoni
Sebut sahaja warna, maasing-masing tentu ada warna kegemaran dan kadang-kadang warna inilah yang akan digunakan untuk menghias rumah. Tahukah anda, warna ini sangat penting dalam menentukan keceriaan dan keharmonian rumah tangga.
Menurut pakar, Nor Hanita Mohd Shariff, Ketua Perunding Psikologi & Kaunseling, Pusat
Transformasi Kendiri, Personaliti & Imej@TWINsTALK Studio, Shah Alam, warna mampu
meningkatkan kualiti dan keharmonian kehidupan kita. Justeru itu, salah satu cara untuk
rumah tangga ceria dan harmoni adalah melalui ‘Warna’.
Daripada perspektif rumah tangga, warna dapat membangkitkan emosi kasih sayang, keyakinan, keberanian, ketabahan, imaginatif, bertimbang rasa, fokus, bekerjasama dan sebagainya, di mana penggunaan warna sebagai salah satu medium terapi rumah tangga yang dibuktikan melalui penentuan julat frekuensi yang diukur dalam bacaan nanometer dengan menggunakan spectrum analyser.
Beberapa fungsi warna yang boleh bantu dalam meningkatkan keharmonian rumah tangga:
MERAH
* warna merah mempunyai kadar frekuensi 730 -780 nanometer. Warna ini mampu merangsang otak manusia agar lebih bersemangat, berkeyakinan, optimis, berani menghadapi cabaran, kemampuan mempengaruhi, yakin mengambil risiko, menonjolkan diri dan lebih bersifat pemimpin.
* Hiaslah rumah dengan sedikit unsur warna merah seperti bunga, gambar, kusyen, alas meja dan lain-lain bagi membangkitkan mood atau semangat positif.
INGAT!, Janganlah dihiasi semua sudut dekorasi rumah dengan warna merah kerana sekiranya berlebihan warna merah ia berpotensi menjadikan seseorang agak angkuh, keras hati atau sensitif.
MERAH JAMBU
* Bagi menyemarakkan lagi kasih sayang dalam rumah tangga, gunakan kreativiti diri untuk
dekorasi rumah dengan menggunakan warna merah jambu yakni frekuensinya ialah sama seperti
warna violet iaitu 308 nanometer – 409 nanometer.
* Hiasi ruang tamu atau bilik tidur dengan warna ini kerana ia boleh meningkatkan perasaan
positif yang membangkitkan keceriaan, kecintaan, menghargai orang lain, menenangkan
perasaan, riang, berkomunikasi secara berhemah, terbuka, tidak suka melengah-lengahkan
sesuatu perkara dan rajin menolong.
BIRU
* Warna biru boleh meningkatkan lagi komunikasi di rumah di mana frekuensinya ialah 490
nanometer – 544 nanometer. Warna biru lebih dikenali sebagai warna yang seimbang.
* Banyakkan warna biru dari segi berpakaian atau dekorasi di rumah untuk meningkatkan lagi elemen karisma dan ciri-ciri seorang pemimpin yang adil, stabil dan suka mencari jalan
penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi.
HIJAU
* Frekuensi warna hijau ialah 545 nanometer – 554 nanometer di mana penggunaan warna ini secara maksimum dapat meningkatkan ciri-ciri seorang yang bijaksana, bersyukur, pemurah, mengamalkan kesederhanaan, suka bekerjasama, seorang yang terbuka dan sentiasa berlapang dada dalam menghadapi sesuatu permasalahan, mempunyai sifat simpati dan penyerahan diri kepada Penciptanya.
* Warna hijau juga mampu mengurangkan stres dan mampu memberi ilham yang baik di samping mampu merehatkan kepada mata yang kepenatan. Bayangkan sekiranya di dalam rumah tangga, tiada langsung unsur hijau dalam dekorasi rumah, warna pakaian atau pemakanan seharian.
PUTIH
* Warna putih (frekuensi 0 nanometer – 279 nanometer) juga adalah yang sering dikaitkan
dengan sistem otak yakni kelenjar pineal sebagai kelenjar pertama yang terbentuk di dalam rahim semasa ibu melalui proses mengandung bayinya.
* Penggunaan warna putih dari segi pakaian atau dekorasi rumah boleh mencetuskan unsur spiritual yakni kelebihan mensyukuri nikmat kehidupan. Di samping itu, gelombang yang terdapat pada warna putih membolehkan merangsang ahli keluarga menjadi lebih tenang, bercita-cita tinggi, suka membantu orang lain, kuat berusaha, tabah menghadapi ujian, optimis, suka tepati janji dan mementingkan persaudaraan serta ketuhanan.
Pilih Warna Ini Untuk Aktiviti Harian
1. Warna Tema Baju
- Menjadi trend dewasa ini iaitu keluarga akan memilih warna tema baju yang hendak dipakai sama ada semasa hari perayaan, kenduri, sukan, seminar, kursus dan lain-lain.
- Warna tema ini secara tidak langsung akan mewujudkan semangat kekitaan atau bekerja secara berpasukan.
- Semua ahli keluarga bersatu hati memakai pakaian mengikut tema warna yang telah ditentukan.
2. Warna Rumah
- Pemilihan warna rumah perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana setiap warna menghasilkan gelombang yang berbeza. Seandainya terdapat ahli keluarga yang panas baran, maka kurangkanlah penggunaan warna merah dalam dekorasi rumah sebaliknya gunalah warna kasih sayang seperti merah jambu, biru, violet, hijau atau putih.
3. Warna Kereta
- Pilihlah warna kereta yang bersesuaian dengan personaliti diri anda. Jika anda
mementingkan gaya dan prestij, digalakkan menggunakan warna hitam. Jika mementingkan kedamaian dan keharmonian, pilih warna biru atau hijau. Jika suka kepada sesuatu yang lasak, maskulin atau energetic, pilih warna merah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rezeki Allah, Gaduh-Gaduh Termengandung. Shuhada Bekas Isteri Hafidz Roshdi Hamil 10 Minggu
Rezeki Allah, Gaduh-Gaduh Termengandung. Shuhada kena kuat berjuang jaga bayi dalam kandungan, Humairah & Umar. Tatkala membaca luahan yang dikongsikan Nurul Shuhada menerusi entri terbaharu dalam Instagram (IG), hati penulis tertanya-tanya bagaimanakah dia mahu berdepan dengan dugaan terbesar dalam hidup.
Sebagai seorang wanita, isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi ini perlu kuat. Apatah lagi kini sedang berdepan dengan kemelut rumahtangga.
Seperti yang diketahui umum, Nurul Shuhada dilaporkan memfailkan perceraian terhadap Hafidz di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Februari lalu, susulan keputusan dan persetujuan kedua-dua keluarga.
Sebelum itu, adik Shuhada yang hanya mahu dikenali sebagai Sofia, memaklumkan Hafidz bercerai talak satu terhadap kakaknya pada 22 Februari lalu menerusi panggilan telefon.
Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.
Rezeki Allah, Gaduh-Gaduh Termengandung
Pemilik nama sebenar Nurul Shuhada Mat Shukri mengesahkan dirinya sedang hamil anak ketiga dengan usia kandungan sudah memasuki 10 minggu.
“Saya dapatkan rawatan untuk masalah tekanan dan depresi yang dihadapi sekarang. Saya perlu kuat untuk terus jaga Humairah dan Umar. Sekarang termasuk anak dalam kandungan.
“Halangan terbesar sekarang ialah usia kandungan masih awal. Saya tidak boleh ambil ubat hospital untuk kurangkan tekanan.
“Saya takut ia akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan. Sekarang saya kena kuat berjuang tanpa ubat,” kongsinya.
Dek kerana badannnya terlalu lemah ibu kepada dua cahaya mata itu pengsan di hospital.
“Saya jatuh pengsan di hospital tadi. Doktor minta saya berbuka puasa kerana bimbang membahayakan kandungan. Saya termenung serabut, air mata tak henti mengalir.
“Saya betul-betul takut. Saya tanya pada diri sendiri adakah mampu menghadapi ini. Saya mahu terus kuat untuk anak-anak. Saya mahu melihat anak-anak membesar depan mata,” coretnya lagi.
Ramai Yang Beri Sokongan & Doa Tidak Henti
Shuhada turut bersyukur apabila masih ramai individu yang sentiasa menyokongnya.
“Allah hadirkan orang yang baik-baik. Walaupun tidak kenal, selalu komen bagi sokongan dan kekuatan. Doa yang tak henti-henti.
“Kata-kata sokongan yang banyak bagi sokongan kepada saya. ‘You know who you are’.
“Terima kasih Allah.
“Terima kasih semua. Tak dapat saya balas budi semua selain terus maju ke depan tanpa toleh belakang lagi,” luahnya.
Baca Disini : “Banyak Orang Ambil Berat Menyokong Shuhada. Contoh Tauladan Bagaimana Wanita Itu Perlu Bangkit” Peguam Nor Zabetha
Baca Disini : Shuhada Gelisah Terima Surat Saman,“Saya Baru Mula Hendak Mencari Pendapatan Sendiri”
Sumber : Instagram Shuhada
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Pengorbanan Ibu Yang Paling Diingati
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Impian Mak Ayah Nak Anak Belajar Bidang Kejuruteraan, Anak Minat Kulinari
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Impian Anak Turut Jejak Langkah
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Suasana Kerja
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
– Ummi risau –
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Impian Diri Sendiri
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Lagi artikel menarik di sini:
Akidah Anak Perlu Dipasak Dari Awal, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!
Mak Ayah Nak Kahwin Lagi, Anak Tak Patut Halang Tapi TOLONG Bincang
Ikuti MW di instagram kami:
https://www.instagram.com/mingguanwanita/
Impian Tertangguh
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Mungkin Bukan Terbaik Untuk Anak
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Buat Kajian
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Adakan Perbincangan
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Ukuran Kejayaan
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI