Pressure Cooker atau Periuk Tekanan antara peralatan memasak di dapur yang menjadi idaman kebanyakan mak-mak. Manakan tidak penggunaan periuk ini cukup memudahkan urusan memasak pelbagai jenis masakan untuk hidangan anak-anak dan keluarga tersayang.
Punyalah banyak masa mak-mak yang dapat dijimatkan dengan menggunakan periuk ini kerana ia mempercepatkan proses memasak. Sebagai contoh, jika selama ini merebus daging sehingga empuk di periuk biasa, memerlukan masa 1 hingga 2 jam. Tetapi dengan menggunakan periuk tekanan, daging biasanya akan empuk dalam masa lebih kurang 30 minit sahaja.
Namun jika pertama kali menggunakan periuk tekanan ini, mak-mak perlu lebih berhati-hati dengan cara penggunaannya. Ini kerana tekanan udara dan wap panas daripada periuk boleh mengundang bahaya dan akibatkan kecederaan pada diri jika tidak tahu cara menggunakannya dengan betul.
Cara menggunakan pressure cooker mungkin agak berbeza dari segi tetapan untuk setiap jenama periuk tekanan, tetapi asas penggunaan periuk tekanan adalah sama. Periuk tekanan juga ada dalam bentuk periuk tekanan elektrik dan juga periuk tekanan dapur gas. Harga periuk tekanan elektrik biasanya lebih mahal berbanding harga periuk tekanan dapur gas.
Contoh Periuk Tekanan Elektrik:
Antara jenama popular untuk periuk tekanan elektrik adalah Noxxa dan Philips.
Contoh Periuk Tekanan Dapur Gas:
Antara jenama yang popular untuk periuk tekanan dapur gas adalah Butterfly, Trio dan Tefal.
1.Bagi menggunaan periuk tekanan elektrik, perlu baca manual penggunaan kerana kebanyakan model datang dengan butang pilihan mengikut jenis masakan.
2.Masa masakan biasanya telah ditetapkan. Berbanding periuk tekanan dapur gas, semuanya perlu dilakukan secara manual.
3.Pastikan penutup ditutup dengan betul dan ketat. Perkara ini adalah penting untuk memastikan tekanan udara tidak keluar daripada periuk semasa proses memasak.
4.Pastikan punat wap dipasangkan sebelum memasak menggunakan periuk tekanan dapur gas. Punat wap ini adalah bertujuan untuk mengawal tekanan di dalam periuk agar tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah.
5.Setelah cukup masa memasak, matikan api dan cabut punat wap untuk melepaskan wap di dalam periuk tekanan.
6.Jangan buka dahulu! Tunggu sehingga sejuk atau sehingga tiada wap keluar dari punat wap. Jika terus buka tutup periuk, kebarangkalian besar periuk tekanan akan meletup!
7.Jika daging masih belum empuk, tutup rapat semula periuk tekanan tersebut, pasang punat wap, hidupkan api dan masak lagi daging tersebut 5 ke 10 minit lagi. Kemudian matikan api, cabut punat wap dan tunggu semua wap keluar.
Antara kesilapan besar yang sering dilakukan serta sangat berbahaya adalah membuka periuk tekanan tanpa melepaskan wap terlebih dahulu. Ini akan menyebabkan ‘letupan’ dan boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
Penggunaan periuk ini ketika memasak memang cukup mudah jika tahu cara betul menggunakannya.Namun, sentiasalah beritahu kepada anak-anak dan keluarga tentang cara betul penggunaan periuk tekanan ini. Pantaulah cara mereka menggunakannya, apatah lagi jika tak biasa menggunakan periuk ini kerana ia boleh mengundang bahaya dan mendatangkan kecederaan pada diri.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat.
Baca Juga disini: Dugaan Sebulan Sebelum Kahwin, Wajah Wanita Ini Melecur Akibat Pressure Cooker Meletup
Sumber: Wikicara