Bagi wanita cukup sensitif untuk memperkatakan isu poligami. Ramai yang tak rela untuk berkongsi kasih suami dengan wanita lain. Bukan itu sahaja,jika ‘terpaksa’ bermadu ramai yang kerap makan hati berulam jantung dan sering bertelingkah. Jarang sekali jumpa madu yang boleh menjadi kawan baik apatah lagi mampu tinggal serumah!.
Tinggal Serumah & Jadi Rakan Karib
Mungkin satu kisah dalam seribu.Bukan saja rela berkongsi kasih, malah Khadijah Beladin, 29, dan Sufainah Goh Ai Peng, 41, sanggup tinggal sebumbung dan menerima suami mereka, Mohd Zanishuhaizal Izham Md Akhir, 41, seadanya. Lebih membanggakan kedua-dua mereka tidak menjadikan status madu sebagai alasan untuk bersengketa sebaliknya memilih menjadi rakan karib antara satu sama lain.
Bercerita lanjut, Khadijah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zanishuhaizal pada Mac 2012 dan dikurniakan tiga zuriat iaitu Mia Zahra, berusia enam tahun, Nia Zafirah, berusia lima tahun dan Ummar Shahid, berusia empat tahun.
Yakin Suami Mampu Berlaku Adil
Menurutnya, selepas dua tahun melayari bahtera rumahtangga, suaminya menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.Katanya, dia tidak membantah kerana yakin suaminya mampu berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Sepanjang perkahwinan, hubungan kami tidak berdepan masalah malah ketika menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi, saya tidak sedih sebaliknya akur kerana percaya dengan kemampuannya.
“Lagipun, saya sudah bertemu dan berkenalan dengan Sufainah sebelum dia berkahwin dengan suami jadi tiada masalah untuk menerimanya sebagai madu serta tinggal serumah.
Ads
“Malah, hubungan kami tidak hanya sebagai madu malah saya sudah menganggapnya seperti rakan karib dan sekiranya ada masalah, kami akan bincang serta mencari penyelesaian bersama,” katanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
Dapat Bantahan Keluarga
Sementara itu, Sufainah yang juga bekas pramugari berkata, niatnya berkahwin dengan Mohd Zanishuhaizal mendapat bantahan keluarga pada mulanya disebabkan perbezaan adat dan agama.
Ini menyebabkan hubungannya dengan keluarga menjadi renggang, namun mereka kembali menerimanya selepas dia melahirkan cahaya mata, Tia Ummaira yang kini berusia setahun sembilan bulan.
Ads
“Dulu, saya tidak menyokong poligami tetapi siapa sangka, takdir Allah SWT menentukan saya menjadi isteri kedua.
“Segelintir masyarakat mungkin memandang negatif bila bercakap soal poligami namun sepanjang tinggal serumah dengan isteri pertama, semuanya lancar tanpa ada masalah.
“Malah, kami saling bertolak ansur dan saya bersyukur kerana Khadijah banyak membantu menguruskan kerja rumah dan menjaga anak ketika saya serta suami bekerja,” katanya yang memeluk Islam pada 2006.
Beliau dan suami kini mengusahakan perniagaan kecerdasan diri dan memiliki gimnasium sendiri.
Ads
Syukur Kedua-Dua Isteri Tinggal Bersama
Bagi Mohd Zanishuhaizal pula, dia bersyukur kerana kedua-dua isteri dapat tinggal bersama di bawah satu bumbung selain menerima dirinya seadanya.Beliau berkata, sebagai suami, dia cuba berlaku adil dan melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan sebaik mungkin.
“Dulu, saya seorang yang keras kepala dan sentiasa merasakan diri sendiri betul namun kehidupan saya berubah 360 darjah selepas berumahtangga.
“Boleh dikatakan, hidup saya lebih sempurna dan bahagia sejak berumah tangga kerana adanya anak sebagai pelengkap serta dua isteri yang boleh menerima satu sama lain.
“Rasa seperti mendapat peluang kedua dalam hidup dan tidak sangka kini saya ada perniagaan sendiri selain anak serta isteri yang sangat memahami,” katanya.
Mw: Semoga keluarga terus berbahagia. Bersetuju untuk berpoligami, syarat utama paling penting adalah keredhaan isteri serta sikap suami yang mampu berlaku adil pada kedua-duanya, barulah ia dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Diuji Rumah Tangga Musnah Di Tengah Jalan
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Alasan Sibuk Belajar
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Diuji Hadirnya Cinta Baru
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Diuji Suami Berkahwin Lagi
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Ibarat Roda
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Buat Analisis Dulu
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Ada Kekuatan
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Biarpun pendapatan suami lebih kecil daripada gaji isteri, jangan sesekali diperlekehkan rezekinya itu. Kerana tidak siapa tahu suatu hari nanti, rezeki suami itulah yang boleh beri bahagia untuk seisi rumah.
Walau tak dinafikan dalam hati isteri akan ada libang libung nya. Lagi-lagi bila isteri kena bayar bil waima barang keperluan dapur lebih dari suami.
Bisikan jahat menghasut dalam hati agar kurang rasa sayang pada suami juga tak habis-habis nak menerjah dalam fikiran.
Jadi, sebelum emosi tak best itu melarat lebih jauh. Sebenarnya ada tip yang boleh buat isteri kekal bertenang walau suami cuma bergaji ciput.
Tip Hati Tenang Walau Suami Bergaji Lebih Kecil Daripada Isteri
1. Isteri Bila Terima Gaji, Terus Buat Ini..
Apa pun dalam prinsip kewangan diri mahupun keluarga, bila terima gaji kena buat simpanan untuk diri sendiri. Jadi isteri, kena asingkan siap-siap simpanan peribadi itu.
Belen dari duit simpanan itulah nanti baru bantu untuk top up kewangan suami.
Alasannya kenapa tau. Sebab kita sudah sedia tahu suami takkan mampu nak reward kita. Jadi, kitalah kena reward diri sendiri dulu.
Bila hati sudah bahagia, barulah kita akan lebih bahagia untuk membantu ketidak cukupan suami. Walau keluar tak seperti yang dibayangkan pun, hati kita dah tenang sikit. Sebab sudah ada simpanan untuk diri.
Simpanan ini, jangan dikongsi dengan suami. Itu adalah hak peribadi yang amat privasi untuk kita. Kalau boleh suami pun tak boleh tahu nilainya.
2. Belanja Dan Lupakan
Bila sudah beli barang keperluan dapur dengan wang gaji isteri, jangan sesekali isteri mengungkit. Tapi kena jelas dengan suami.
Kalau suami kata pinjam, maka bila tiba masa suami kena pulang. Bila tak pulang, tak salah untuk isteri buat buku hutang.
Sebab apa kena buat macam ini, sebab sifat isteri memang berbolak balik hatinya. Bila emosi tak terkawal, boleh diungkit semua perkara.
Jadi, bila ada buku hutang tidaklah nanti timbul pergaduhan yang tak sepatutnya pun terjadi.
Jika isteri ikhlas berbelanja, ingat! Jangan diungkit lagi kisah itu selepas 10 tahun perkahwinan. Pantang suami tu.
3. Isteri Kena Jadi Menteri Kewangan Yang Cermat Lagi Bijak
Bila gaji isteri lebih besar, bermakna dia ada kelebihan untuk membuat simpanan lebih banyak. Mungkin suami hendak menyimpan pun tidak cukup.
Jadi isterilah kena main peranan.
Simpanlah walau RM10 sebulan secara konsisten. Tapi kalau gaji RM4000 simpanlah paling tidak RM400 bersamaan 10% pendapatan. Itu matematik penyimpan yang wajib orang rumah hadam.
Ada duit lebih, asingkan pula simpanan untuk anak-anak. Dan seterusnya kecemasan. Supaya jika berlaku satu-satu hal, misalnya anak masuk sekolah, anak sunat, anak nak pergi lawatan sekolah, anak kemalangan (minta dijauhkan) semua simpanan itulah nanti berguna untuk mereka.
Jangan sesekali melayan emosi keterlaluan bila suami bergaji lebih kecil dari isteri ya. Doakanlah suami dalam setiap solatmu wahai isteri.
Minta agar Allah murahkan rezekinya, lapangkan setiap urusannya. Kerana bila suami murah rezeki, isteri jugalah nanti yang akan terima bahagianya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selalu bersembang mengingati kematian, isteri hamil 7 minggu reda, ingat pesan arwah suami walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa.
Dirinya yang kini hamil tujuh bulan meluahkan bayi yang dikandung adalah peninggalan berharga suaminya biarpun arwah pergi dahulu sebelum sempat menatap wajah anaknya.
Isteri Hamil 7 Minggu Reda
Nur Syahirah Abdullah reda dengan kejadian menimpa suaminya dan berjanji akan menjaga anak dalam kandungan yang kini sudah memasuki tujuh minggu.
“Ini peninggalan berharga suami untuk saya selepas hampir dua tahun berkahwin,” kata Nur Syahirah, 25.
Nur Syahirah adalah isteri kepada Mohd Nur Hisham Hassan, 29, yang meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan enam motosikal di Kilometer 4 Jalan Kampung Acheh-Sitiawan, Perak.
Kejadian pada 5.30 petang itu turut menyebabkan Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22 meninggal dunia.
Selalu Bersembang Mengingati Kematian
Ketika kejadian Mohd Nur Hisham menunggang sendiri motosikalnya, manakala Hasrandy serta Mohd Suhail pula menaiki motosikal sama dan ketiga-tiga mereka maut di lokasi kejadian.
Nur Syahirah berkata, dia kini hamil tujuh minggu anak sulung mereka dan arwah suaminya teruja serta gembira apabila dia disahkan hamil, Julai lalu.
“Suami gembira sehingga mengalirkan air mata sebaik tahu saya hamil dan dia teruja menunggu kehadiran anak sulung kami.
“Saya sedih tetapi reda kerana suami selalu berpesan supaya kuatkan semangat kalau dia sudah tiada nanti, malah kami selalu bersembang mengingati kematian dan dia kerap cakap sayangkan saya sampai hujung nyawanya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM), hari ini.
Ingat Pesan Arwah Suami
Pada hari kejadian dia berasa tidak sedap hati dan bertambah risau apabila suaminya masih tidak pulang walaupun sudah habis waktu bekerja.
“Saya rasa sayu dan tiba-tiba menangis. Saya cuba hubungi suami apabila dia masih belum sampai rumah tetapi panggilan tidak berjawab sebelum mak minta saya ke rumah kawan untuk mendapatkan bantuan pada 6.30 petang.
“Kawan suami ketika itu sedang melihat video kemalangan berkenaan, namun masih tidak tahu yang suami terbabit kemalangan itu. Kami terus ke lokasi dan luluh hati saya apabila melihat topi keledar dan tempat duduk motor suami di situ.
“Melihat keadaan lokasi dan barang suami saya dapat rasakan yang suami saya sudah tiada,” katanya yang baru tinggal bersama suaminya Januari lalu selepas tamat pengajian di Pasir Gudang, Johor Bharu.
Nur Syahirah berkata, suami tidak menunjukkan perubahan ketara cuma dia menyedari Mohd Nur Hisham yang tidak pernah memancing sebelum ini menunjukkan minat melakukan aktiviti itu dan mula membeli peralatan serta menonton cara memancing di YouTube sejak tiga minggu lalu.
“Biasanya setiap pagi suami akan pegang perut saya serta bacakan doa untuk kandungan tetapi semalam dia tak buat macam itu.
“Sebelum pulang kerja suami ada hantar gambar ‘selfie’ dan beritahu mahu balik pada jam 4.55 petang. Dia juga beritahu dia sayangkan saya dan ada beri lagu Hanya Satu nyanyian BPR di telegram,” katanya memberitahu mereka berdua berasal dari Kuantan, Pahang dan jenazah suami akan dikebumikan di Batu Lima, Kuantan.
Dua Lagi Mangsa
Sementara itu, Jufry Rustam, 37, yang juga sepupu kepada Hasrandy berkata, adik sepupunya berasal dari Inanam, Sabah itu masih bujang dan mereka tinggal bersama di Sitiawan.
“Sepupu seorang anak yang bertanggungjawab dan dia yang membantu keluarganya di Sabah termasuk masih menanggung persekolahan seorang adiknya,” katanya. Seorang lagi mangsa, Mohd Suhail berasal dari Sepanggar, Sabah.
Mingguan Wanita : Team MW merakamkan ucapan takziah kepada isteri mangsa dan mendoakan agar keluarganya datang menerima ujian ini. Al-Fatihah.
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...