Bergelar seorang guru mungkin bukan kerjaya utama yang diimpikan Nurul Su’aidah Othman, 30 tahun. Tapi atas saranan keluarga dan berkat impian ibu bapanya diturutkan jua, tambahan pula ramai antara ahli keluarganya yang menjadi guru, maka kerjaya ini seakan sinonim dengan kehidupan mereka sekeluarga.
Walaupun begitu, wanita yang mesra disapa dengan nama Nurul ini akur dengan takdir yang tertulis untuknya. Meskipun pada mulanya rasa terpaksa, lama-kelamaan kerjaya ini bagai sebati dengan dirinya, malah dia juga semakin bersemangat dan teruja untuk mendidik anak bangsa.
“Tahun ini merupakan tahun ketujuh saya bergelar seorang guru. Memang pada mulanya kerjaya ini bukanlah pilihan saya tapi lama-lama saya rasa seronok. Setiap tahun saya tak sabar untuk memulakan sesi persekolahan yang baru kerana bagi saya setiap tahun keletah anak-anak murid saya berbeza-beza. Dari situ saya dapat mengenali dan belajar tentang sikap dan kelakuan para pelajar saya,” ujar wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Nurul ditugaskan di Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana Jaya, Subang Jaya. Menurutnya itulah pertama kali dia berjauhan dengan keluarga tercinta, namun demi tugas yang dipertanggungjawabkan, dia reda dan menerima dengan hati yang terbuka.
“Sekolah pertama saya bertugas adalah di SK Perdana Jaya, SS19 Subang Jaya. Itulah pertama kali saya berjauhan dengan keluarga. Sebelum ini saya membesar dan belajar di utara sahaja. Tapi demi tugas saya akur dan syukur sehingga kini saya betah tinggal di perantauan. Empat tahun saya berkhidmat di SK Perdana Jaya, sebelum saya berpindah ke SK Seksyen 19, Shah Alam sehingga kini,” ujarnya lagi.
Cabaran Dan Dugaan
Dari bujang hingga kini Nurul sudah dikurniakan tiga orang cahaya mata yang comel, guru muda ini tidak pernah jemu mendidik anak-anak bangsa untuk menjadi orang yang berguna suatu hari nanti. Baginya setiap kerjaya mempunyai dugaan dan cabaran yang tersendiri. Tapi itu semua dijadikan pembakar semangat untuk menjadi guru terbaik kepada para pelajarnya.
“Setiap kerjaya sememangnya mempunyai dugaan dan cabaran,bagi seorang guru, cabaran kami ialah kesukaran dalam membentuk generasi yang bijak beserta baik budi pekerti. Tambahan pula, silibus kini tak sama macam silibus dulu, lebih mudah dan ringan. Silibus terkini agak berat untuk dibawa walaupun cuma kepada murid tahun 1. Dari segi budi pekerti pula, sememangnya sangat berbeza berbanding dulu. Kalau dulu saya rasakan murid-murid lebih hormatkan guru berbanding pelajar sekarang.
“Selama tujuh tahun penglibatan saya sebagai seorang pendidik yang mengajar generasi Z iaitu generasi teknologi di hujung jari memang sangat berbeza dengan pelajar generasi terdahulu atau lebih tepat ketika saya masih bergelar seorang pelajar sekolah. Bagi saya itu semua cabaran yang perlu guru seperti saya pandang secara positif dan cari penyelesaian bagaimana untuk menarik minat pelajar generasi Z khususnya.”
Mempunyai seorang anak Autism dan turut mengajar anak-anak seumpama ini di sekolah membuatkan Nurul menyimpan cita-cita untuk membuka sebuah sekolah untuk anak Autism. Baginya selagi dia bergelar seorang guru, menjadi tanggungjawab supaya murid yang diajar pandai mengeja, pandai membaca, pandai menyelesaikan masalah dan dapat membesar menjadi orang yang berguna suatu hari kelak.
“Once you are a techer, forever you are a techer. Selagi saya bergelar seorang guru, saya akan terus mengajar pelajar-pelajar saya. Saya ingin berbakti kepada masyarakat. Saya ada terfikir untuk membuka pusat tuisyen dan sebuah sekolah untuk murid Autism. Kalau ada yang tak mampu saya nak ajar kelas membaca secara percuma sahaja. Itu antara impian saya, Insya Allah, doakan semoga ada rezeki nanti. Buat masa ini saya perlu lebih fokus untuk besarkan anak-anak saya dahulu. Tambahan pula, saya mempunyai seorang anak Autism. Kehadiran anak Autism membuatkan saya lebih peka dan cakna terhadap setiap perkembangan murid,”ujarnya.
Menjadi seorang guru tiada yang lebih menggembirakan hati tatkala melihat anak didik mencapai kejayaaan. Turut berkongsi pengalaman manis sepanjang berkhidmat, menurut Nurul melihat murid yang lemah berjaya memperolehi keputusan cemerlang adalah satu kepuasan untuknya.
“Pengalaman paling manis sebagai seorang guru ialah apabila murid lemah yang saya ajar, akhirnya skor A dalam peperiksaan UPSR. Itu satu kejayaan buat saya dan semestinya pelajar tersebut bagaikan “from zero to hero”, mengajar murid lemah ini sangat berat bagi saya. Emosi kena kuat dan pastinya sabar harus berlipat-ganda daripada mengajar murid yang sederhana cemerlang atau cemerlang. Tapi seperti yang saya katakan tadi, itu juga cabaran untuk saya menjadi seorang guru yang terbaik buat anak-anak murid,’ tambahnya lagi.
Dia juga mempunyai cara pendekatan tersendiri terhadap para pelajarnya, Nurul yang mengajar tahap satu dan dua di sekolah rendah, memang cukup disenangi para pelajarnya. Walaupun tegas, ada kelembutan dalam setiap perwatakan. Baginya setiap perwatakan yang dibawa harus sesuai dengan tahap perkembangan murid yang diajar.
“Cara saya mendekatkan diri dengan murid-murid berbeza-beza. Jika untuk tahap satu iaitu darjah 1, 2 dan 3 saya lebih menjadi seorang ibu yang garang. Bagi tahan dua pula saya bertindak sebagai kakak yang tegas. Setiap perwatakan yang dibawa harus sesuai dengan tahap perkembangan murid,” katanya akhiri perbualan.