Suami isteri itu datang dari ‘planet’ yang berbeza. Masing-masing dibesarkan dengan cara yang berbeza. Bila mana suri rumah itu satu pilihan yang isteri perlu buat, maka berdepanlah dia dengan seribu satu macam persepsi dengan pilihannya itu.
Oh! Bertambah sakit hati, bila ada kata-kata ‘duduk rumah cuma goyang kaki’. Seakan tidak memahami betapa 24 jam itu sebenarnya tidak pernah cukup untuk suri rumah yang duduk rumah.
Hadamkan luahan ini. Puan Syahirah Omar memperjelaskan 6 punca inilah yang sebabkan depresi terjadi di kalangan suri yang duduk rumah.
Betapa tak mudah untuk melaluinya. Lagi-lagi jika tiada sokongan, orang yang paling dicintai.. iaitu SUAMI.
6 Sebab Inilah Punca Suri Rumah Depresi
Aku terpanggil untuk menulis depressi di kalangan suri rumah. Sebab harini ramai tag aku rasa nak marah jiran, bila jiran kata mereka tak pandai jaga anak. Kata jiran, dok rumah “kangkang” saja. Ada yang mula dengar suara suruh bunuh anak, ada yang rasa nak kelar diri sendiri.
Allah Allah Allah
Aku rasa aku perlu tulis ni untuk luahkan apa yang mereka rasa. Ya, aku faham benar apa kau rasa. Aku minta maaf, aku tak dapat tulis bagi yang bekerja. Jadi kita focus pada yang suri rumah saja ya?
Aku enjoy bekerja. Tetapi bekerja, kita memerlukan jadual kerja supaya hidup kita sangat teratur. Kita banyak betul bermain dengan masa. Tetapi yang tinggal di rumah, kami bermain dengan emosi, terlalu penat mental, fizikal.
Kenapa dengan emosi suri rumah?
#1 DILABEL SEBAGAI ” GOYANG KAKI”
“Kerja apa?” Soal makcik Senah jiran depan rumah.
“Oh, saya suri rumah Cik Senah,”
“Oh tak kerja, seronoklah duduk rumah tak penat sangat,” Cik Senah mula cari gaduh.
Terus Timah berlari masuk rumah menangis sebab rasa sangat “loser”.
Bayangkan kalau 10 orang, 20 orang atau lebih dari tu cakap benda yang sama? Rasa seperti tak berfungsi dan tak memberi manfaat.
Suri rumah ni satu pekerjaan yang sangat mulia. Lubuk pahala tau? Kenapalah masyarakat tak faham benda ni? Sudahlah kerja non stop, tiada rehat untuk diri sendiri. Makan, solat, kelam kabut. Tambah tambah anak masih kecil umur rapat-rapat. Cuba bila dengar je orang kerja suri rumah respon terus begini.
“Subhanallah, hebatnya! Banyak pahala yang Allah nak beri pada awak. Awak memang isteri dan ibu yang hebat! ”
#2 PENAT MENTAL FIZIKAL
“Abang, hari ni anak kita jatuh bang. Saya tak larat betul rasa anak lasak sangat,” Timah mula mengadu.
“Awak ni merungut begini nanti Allah tarik nikmat anak baru tahu! Cubalah bersyukur!” Seman naik berang sambil scroll facebook.
Gais, isteri cuma mahu bercerita. Dia bukan tidak bersyukur. Cubalah kau peluk dia dan cakaplah,
“Biar sini abang jagakan Talib, awak pergilah mandi lama-lama, solat tenang-tenang ok? Abang tahu awak penat seharian uruskan anak-anak yang tengah melasak,” – Seman, suami dan ayah mithali.
Kadang kadang waktu rehat isteri tu biarlah dia main facebook, biarkan dia bersendiri sekejap. Ini sudahlah letih seharian, anak meragam tak berhenti, penat ke hulu kehilir hantar ambil anak anak. Suami balik kena layan suami seperti raja pula.
Ads
Ada yang suami di luar negara. Whatsapp suami cerita tentang anak-anak kadang kadang bluetick saja. Atau balas ” Sabarlah,mama. Papa jauh ni,”
Gais, mereka maklum kau jauh. Cubalah kau tanya dia harinya bagaimana. Sihat atau tidak? Sempat atau tidak makan dari tadi?
Atau yang lebih dahsyat, merekalah isteri, merekalah suami. Suami pula banyak lepas tangan urusan keluarga, perbelanjaan isi rumah. Balik, minta duit nak beli rokok lagi ada lah. Allah Allah Allah.
Sabarlah wahai isteri, segala penat lelah tu jika kita Redha, terlalu banyak ganjaran buat kita. Mohon pada Allah supaya diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan. Manusia ni, sentiasa buat kita kecewa.
Tapi Allah tak pernah pun menyakitkan kita. Allah sentiasa ada untuk kita.
Percayalah!
#3 TIADA SUMBER PENDAPATAN
Media sosial ni penuh sebenarnya gambar Peah bercuti bersama rakan rakan, company trip pergi bandung lah, honeymoon di Swiss lah. Maka Timah pun mula berdukacita.
Timah kalau dapat pergi kedai ECO pun rasa dah nak histeria punya happy tau?
Ada yang sempat bekerja dari rumah. Ada yang memang tak mampu pun nak buat bisnes dari rumah. Situasi kita semua tak sama. Ada yang anak terlalu aktif, kau baru nak reply order orang di instagram, anak dah main tepung kat dapur.
Jadi, apa yang suami beri, itu sajalah yang dia ada. Ada duit sikit, waktu ke kedai ECO, banyak yang dibeli untuk anak. Diri sendiri? 1 saja. Magic sponge. Syahirah kata bagus sangat magic sponge Timah pun belilah. Cuba nak sental dinding penuh anak conteng guna pensil warna.
Hidup dia, dunia dia, hanyalah suami, dan anak anak.
Rasa rendah diri tu memang ada. Biarpun belajar pandai, Diploma, Degree simpan saja sebagai kenangan. Kawan-kawan semua gaji 5 angka.
Sayang,
Dengar sini. Hidup ini ada yang lebih, ada yang kurang. Tak semua yang dipamerkan di media sosial tu semuanya indah belaka. Yang bekerja juga ada yang mereka struggle juga. Masalah pengasuh, masalah orang gaji curi barang, majikan zalim, rakan sekerja menyakitkan hati, masalah suami tak beri nafkah, masalah terlalu banyak komitmen. Ada yang memang suka bekerja dan tak suka tinggal di rumah. Ada yang terpaksa bantu suami kerana pendapatan suami saja tak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan.
Ads
Kita sangka baik ya? Allah beri kita masa bersama anak-anak. Biarlah kita tiada pendapatan, tetapi masih ada kesempatan untuk lihat mereka membesar di tangan kita.
Sesekali kau penat, berehatlah. Cakaplah pada suami energi kau ibarat arnab yang kehabisan bateri sewaktu berlumba lari. Beri masa untuk kau “recharge” semula diri.
#4 DIBEZAKAN MERTUA
Ini jarang berlaku tetapi antara faktor yang menyebabkan suri rumah depressi. Bila bekerja, kita ada duit poket sendiri untuk gembirakan keluarga. Bagi yang tidak bekerja ni, apa yang suami mampu sajalah.
Ada di dalam masyarakat kita terpaksa bersaing secara tidak sihat untuk menangi hati mertua dengan kebendaan.
Astaghfirullahal’azim.
Sayang, jika kau tiada duit ringgit, kau masih mempunyai hati yang baik dan tangan untuk mengembirakan mak ayah. Kau boleh bantu mak di dapur, kau boleh picit kaki mak, kau boleh berbual dengan mak. Sesekali kau masakkan makanan kegemaran mak.
Hidup ni, bukan semuanya boleh dibeli dengan duit ringgit kan? Mak tahu kebaikkan setiap menantu mak.
Melainkan memang mak tak nampak langsung effort kau. Tu kes lain lah.
Jangan rasa rendah diri. Kita kena bangga dengan tugas kita. Tak ada kita anak nak cari spender pun tak jumpa kat longgok mana tau.
#5 MAHUKAN PENGHARGAAN
“Terima kasih sayang, sebab jagakan anak-anak hari ni, abang sayang sangat sayang, banyak sangat pengorbanan sayang,”
“Sayang, hari ni pergilah mana awak nak pergi. Abang bagi awak cuti. Abang dengar ada kuliah Dhuha kat masjid depan tu, sayang pergilah topup apa yang patut,”
Ads
Tekanan isteri di rumah ni, kadang-kadang anak menangis pun dah tak mampu lagi nak dihadam. Pengisian rohani pun tak ada bila terlalu sibuk menguruskan anak-anak. Aku pasti dalam hati suri rumah semua mahu pergi ke masjid, belajar agama. Di youtube tu memang ada tapi teringin kan nak ke majlis ilmu?
Bawalah isteri dan anak-anak ke Masjid setiap hujung minggu. Suami jagalah anak-anak sekejap. Biar isteri rasa bertenang solat di Masjid. Itu yang dia selalu tak dapat waktu di rumah. Jangan pula bila cuti saja kita pilih melepak di rumah main game. Isteri tu bila yang dia rehat? Dia bukan ada cuti tau? Paling awal bangun tidur, paling lewat masuk tidur. Kalau yang menyusu tu, Allahuakbar, sakit habis badan-badan.
Isteri ni bila letih, penat sangat, makan tak setel, tak dihargai, mula dia naik hantu. Rasanya semua manusia pun begitu kan?
Cuba tengok penampilan dia. Duduk rumah pun mana yang sempat saja. Dia selekeh kerana semuanya dia terpaksa uruskan. Dia terlalu sayangkan keluarga sampaikan abaikan diri sendiri.
#6 SEMUA PERASAAN TERBUKU DIHATI
Kalau yang bekerja, kita ada masa untuk bersosial. Aku sangat enjoy waktu bekerja. Kau tahu, ada masa untuk makan, untuk solat. Yang best aku suka sangat sebab aku ada kawan nyata. Boleh bersembang, bergurau.
Tetapi yang duduk rumah ni, mereka friendlist kat facebook je 5000, tapi sangat lonely.
Tak ada tempat berbual. Buka je mata anak, tutup je mata, anak. Suami balik kerja dan penat. Tak sempat nak dengar pun apa yang terbuku di hati.
Bang, kau genggam la tangan isteri, kau tanyalah dia
“Sayang, hari awak macamana hari ni? Awak ok? Cuba luah apa yang awak rasa pada abang,”
“Pung pang bla bla bla Timah bla bla bla best tau sayang..bla bla bla! Hahahahha…ada ke patut?” Timah mula bercerita.
Gais, kalau tak faham, kau tatap saja muka dia cubalah kau respon sama. Dia gelak kau pun gelak. Letaklah telefon di sebelah. Kau tatap saja wajah dia.
Wajah tu lah yang mudahkan urusan kau setiap hari. yang uruskan makan pakai kau, uruskan rumahtangga, uruskan anak anak.
Tak ada dia, kau pergi office pakai kain pelekat agaknya.
Allah Allah Allah.
Ini Yang Suri Rumah Perlu Buat
Dalam hidup ni, ramai yang dibesarkan tanpa ada rasa empati terhadap orang lain kan? Tapi tu boleh diperbaiki. Kita cuma perlu belajar menghargai dan menyayangi selagi ada. Buatlah seperti yang Allah minta.
Suami, isteri, datang dari “planet” yang berbeza.
Dibesarkan juga dengan cara yang berbeza.
Tetapi Allah tahu yang terbaik buat hambaNya.
Semua yang diatur pasti ada hikmahnya.
Belajarlah memahami, melengkapi untuk rasa bahagia.
Banyak lagi sebenarnya.
Nantilah aku sambung lagi ok?
Apa yang suri rumah perlu buat untuk bangkit semula.
Kau tunggu ok?
Sementara aku nak karang tu,
Kau banyak baca “La hawlawala quwata illa billah,”
Tak ada daya dan kekuatan melainkan Allah saja.
Please take care ok?
MW : Faham kan? Tak mudah sebenarnya jadi suri rumah.. sebab itulah ganjaran pahalanya besar.
Hari raya bakal menjelma, pasti banyak undangan rumah terbuka untuk dihadiri. Memang seronok setiap kali hari raya dapat berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan sambil menikmati juadah enak yang dihidangkan oleh tuan rumah. Pernah tular suatu ketika keletah anak-anak kecil yang menimbulkan masalah ketika berkunjung ke rumah terbuka. Untuk ibu-ibu khususnya yang mempunyai anak-anak yang sedang membesar atau lasak, perkara sedemikian perlu diambil kira supaya keselesaan bukan sahaja oleh tuan rumah yang menjemput malah keluarga anda yang diundang ketika rumah terbuka.
Dalam hal sebegini anak-anak tidak boleh disalahkan kerana mungkin mereka belum boleh membezakan apa yang baik dan buruk. Justeru sebagai ibu atau bapa memainkan peranan penting untuk membentuk akhlak dan adab anak-anak sejak dari kecil.
Selain daripada menekankan adab-adab ketika berkunjung ke rumah orang lain, ada beberapa tip yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk mendidik dan mengawal anak-anak ketika beraya atau menghadiri rumah terbuka kelak.
Bawa barang permainan dari rumah
Anak-anak kecil memang suka berebut barang permainan. Jadi tak hairanlah kalau pergi ke rumah orang saudara mara yang turut mempunyai anak kecil, adegan berebut akan berlaku. Paling tidak pun mereka akan mencari sesuatu dalam rumah yang dikunjungi untuk bermain. Jadi bagi mengelakkan hal tersebut berlaku, bawalah barang permainan yang menjadi kegemaran mereka Bersama. Barulah anda pun boleh berborak dan menikmati hidangan enak tanpa gangguan daripada anak yang meragam.
Selalu ingatkan anak untuk berkelakuan baik
Jangan terlalu asyik bersembang sehinggakan tak ambil tahu apa yang anak anda sedang buat di rumah orang. Sesekali jelingan mata anda mungkin membuatkan mereka rasa gerun. Jika mereka buat sesuatu yang tidak baik di mata seharusnya anda menegur dan bukan membiarkan sahaja anak dengan kelakuan tersebut. Tak perlu menegur dengan kasar, sebaliknya memberitahu mereka dengan tegas supaya anak kecil anda tidak mengulangi kesalahan yang sama.
Pilih rumah yang sesuai untuk dikunjungi dan hadkan masa kunjungan
Ibu dan ayah pasti sudah arif dengan keletah dan perilaku anak masing-masing ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau teman-teman. Ada yang teruja setiap kali berjumpa orang ramai membuatkan mereka bertindak agak agresif daripada biasa. Jangan terlalu lama bertandang ke rumah orang lain kerana mungkin sahaja anak kecil anda cepat berasa bosan dan memerlukan perhatian dari anda. Rumah yang bakal anda kunjungi juga pasti sudah diketahui pemiliknya siapa, jadi jika perlu menolak undangan tersebut, berilah alasan yang baik dan munasabah. Pasti mereka faham dengan situasi anda.
Pujuk anak
Jika anak anda meragam atau mengamuk di rumah orang, jangan cepat melenting dan marah kerana itu akan membuatkan mereka lebih memberontak. Ibu dan ayah perlu pujuk si kecil dan tenteramkan mereka. Alih perhatian si kecil dengan memberikan minuman sejuk atau makanan kegemaran mereka. Jika amukan terlalu teruk, peluklah anak anda dan pujuk dengan lembut agar mereka rasa lebih tenang.
Sentiasa berfikiran positif dan sabar
Ini adalah perkara paling penting bagi yang bergelar ibu bapa. Bukan mudah untuk menangani anak yang sedang membesar. Macam-macam hal yang perlu ibu bapa perlu hadapi dengan sabar untuk membesarkan seorang anak. Jangan risau kerana semua ini boleh diatasi dengan ilmu dan kesabaran. Lagipun, perkara sebegini adalah normal bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan bukan selamanya anak-anak akan bersikap begini.
Jangan pula disebabkan anak-anak, kita berasa stress nak keluar beraya. Risau jika anak tumpahkan air, bergaduh, mengamuk, dan macam-macam hal lagi. Lagipun, perkara ini adalah normal dan ianya sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mendidik si anak agar menjaga perlakuan dan adab sejak dari kecil. Maka, didiklah anak sewajarnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dilema apabila usia makin bertambah namun jodoh belum juga sampai. Ditambah pula bila orang sekeliling desak untuk kahwin. Itu yang dialami oleh gadis ini. ikuti pengakuannya.
Dalam Dilema
Assalamualaikum puan. Saya berusia 39 tahun, berkerjaya mantap dan masih bujang. Saya sedar, pada usia ini, orang sudah ‘cop’ saya sebagai andartu (anak dara tua). Saya tak kisah orang nak bercakap apa saja tentang diri saya. Tapi apabila ahli keluarga sendiri yang bercakap, saya rasa jauh hati.
Saya anak ketiga daripada enam beradik. Semua adik-beradik yang lain sudah pun mendirikan rumah tangga. Kakak sulung berusia 44 tahun ada anak empat, kakak kedua berusia 42 tahun sudah ada anak dua. Manakala adik lelaki yang berusia 37 mempunyai anak dua dan isterinya sedang hamil anak ketiga, adik perempuan yang berusia 35 tahun ada tiga anak dan adik bongsu lelaki yang berusia 32 tahun sudah ada lima anak. Bermakna saya ada 16 anak sedara!
Tumpang Kasih Sayang
Hidup saya tidak sepi dengan adanya anak-anak saudara yang ramai. Adik perempuan saya sekeluarga hanya tinggal di sebelah rumah mak dan ayah. Manakala saya sendiri memang tinggal bersama mak dan ayah. Boleh dikatakan sepanjang masa tiga orang anak adik yang berumur 10, 9 dan 6 tahun berada di rumah mak dan ayah.
Lebih-lebih lagi bila adik dan suaminya bekerja, anak-anaknya akan makan dan bersiap di rumah mak dan ayah. Malam selepas makan malam baru mereka balik rumah. Bahkan selalu juga tidur di rumah atuk dan nenek saja. Dengan mereka bertiga saya paling rapat, umpama anak sendiri. Tempat saya menumpang kasih. Bila keluar berjalan-jalan, sering kali mereka dianggap anak-anak saya apatah lagi mereka memanggil saya ‘mummy’.
Dalam Dilema Dan Rasa Tertekan
Saya bahagia dengan hidup saya sekarang. Namun bila mak yang sejak akhir-akhir ini asyik memerli saya agar cepat kahwin, saya rasa tertekan. Saya boleh pekakkan telinga jika orang lain bercakap, tapi bila mak sendiri yang bercakap, saya tak boleh nak cakap apa. Mungkin kerana umur saya hampir mencecah angka ‘4’ buat mak rasa gusar.
Puan, bukan saya tak nak kahwin tapi belum jodoh. Bukan saya tak pernah bercinta, pernah dua kali bercinta tapi tiada jodoh. Bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih. Takkan nak cari lelaki yang muda? Setahun dua okaylah. Tapi kalau lebih lima tahun, rasa macam bercinta dengan adik pula.
Ramai lelaki yang cuba pikat tapi kebanyakan suami orang. Maaf, bukan nak riak, tapi kalau boleh saya akan elakkan kahwin dengan suami orang. Tak sanggup lukakan hati wanita lain.
Puan, bagaimana saya nak berterus terang dengan mak supaya faham dengan perasaan saya? Tidak lagi mendesak saya berkahwin? Saya buntu dalam dilema.
Gadis Pilu, KL
JAWAPAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamualaikum cik yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan semua orang mahu bahagia… bahagia dengan keluarga, pasangan dan anak-anak. Daripada ini dapat berkongsi kasih – memberi dan menerima kasih sayang daripada orang yang siginfikan dalam hidup. Namun ada juga orang yang bahagia hidup berseorangan. Mungkin dia juga mahu hidup bahagia dengan mempunyai keluarga sendiri, namun keadaan belum mengizinkan lagi. Bukan mudah utuk mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab, apatah lagi membelai isteri dengan kasih sayang yang menjadi idaman setiap wanita.
Anak Dilema, Keluarga Risau
Mana-mana ibupun mahukan kebahagiaan anaknya. Salah satu bahagianya seorang ibu adalah apabila melihat anaknya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Apabila melihat anaknya belum mempunyai pasangan, sudah menjadi kelaziman soalan-soalan atau kata- kata yang tidak sedap didengar oleh anak. Pada ibu asalkan anaknya berkahwin dengan lelaki yang baik sudah memadai. Namun pada anak mungkin tidak. Cik ada menyebut dalam tulisan cik….. “bila dah umur makin meningkat, tak nafikan saya lebih memilih.…
Perkataan memilih itulah yang mungkin dilihat oleh ibu sebagai halangan kepada cik untuk berkahwin. Cik kata cik bahagia dengan keadaan sekarang. Bagi seorang ibu tidak sama seperti apa yang dilihat oleh anaknya. Bahagia bagi cik tidak semestinya bahagia buat seorang ibu.
Ibu dikelilingi oleh masyarakat yang kerap bertanya kenapa cik tidak berkahwin lagi. Ini menyebabkan ibu tidak gemar dengan keadaan cik, walhal ibu lihat puan ada rupa, ada pekerjaan yang baik. Maka mustahil untuk sukar mendapat pasangan hidup. Walhal adik beradik lain mempunyai kelebihan dan kekurangan yang sama seperti puan. Jodoh mereka ada, walaupun tidak sempuna seperti yang diinginkan.
Cik, jika kita terlalu memikirkan “kesempurnaan” dalam memilih jodoh, maka kita akan akhiri dengan hidup membujang. Puan pada masa kini di kelilingin anak saudara yang hidup bersama cik. Di kala cik muda dan bertenaga. Cuba bayangkan apabila cik sudah mencecah umur 70-an, sakit demam. Adakah cik yakin mereka yang sudah berkeluarga sendiri akan menunggu dan merawat cik?
Inilah antara kebimbangan lain yang dilahirkan oleh ibu cik dengan kata-kata yang cik tidak suka. Pada ibu, mungkin sifat cik yang memilih menyebabkan puan tidak bertemu jodoh. Bukan tidak ada, tetapi disebabkan kesukaran dalam memilih, maka usia cik berlalu begitu sahaja. Tahukah cik bahawa peratus wanita yang tidak berkahwin kini ramai? Jika cik bahagia, maka tidak perlu gusar dengan soalan-soalan yang ditanya oleh ibu mahupun ahli keluarga yang lain.
Dilema Andai Cari Kriteria Idaman
Kesempurnaan kriteria yang diidamkan itu mungkin satu dalam sejuta. Kebarangkalian untuk dapat sukar bukan? Jika cik tidak bersifat memilih, maka cik boleh serahkan urusan itu kepada ibu untuk memilih jodoh. Asalkan cik memberi ruang dan peluang untuk berkahwin. Pastinya ibu akan mencari lelaki yang baik untuk anaknya…bukan lelaki yang menjadi idaman anaknya.
Persoalannya adakah cik masih meletakkan kriteria tertentu untuk lelaki yang menjadi calon suami? Jika masih ada, maka sukar untuk bertemu jodoh… dan jika kata-kata yang keluar dari mulut ahli keluarga puan tidak boleh terasa…kerana itu adalah kebiasaan bagi ahli keluarga kepada anaknya yang sukar untuk berkahwin.
Kerjaya setakat mana sahaja…sampai masa akan bersara…sampai masa kita akan tinggal keseorangan. Ini yang ahli keluarga cik bimbang. Namun cik tidak melihat ini sebagai masalah.
Abaikan Cakap Orang
Justeru, jika cik ingin meneruskan kehidupan tidak berkahwin, maka cik perlu ada kekuatan diri yang tidak kisah apa orang kata. Ramai juga orang tidak berkahwin yang bahagia. Cik boleh juga mengambil anak angkat seorang atau dua buat peneman di hari tua. Cik boleh saja melibatkan diri dengan pertubuhan NGO untuk membantu manusia lain. Sehingga cik merasa hidup cik penuh bermakna. Namun, jika cik kasihkan ibu, pastinya cik boleh “berkorban” sedikit kriteria yang ditetapkan untuk mendapat calon suami.
Berkahwinlah, asalkan suami itu baik dan bertanggungjawab. Jangan kisah soal pendapatan, asalkan dia mahu bekerja, hidup insya-Allah akan bahagia. Sesuaikan diri dengan keadaan dan pasangan, yang kurang dan tidak sempurna itu, berikan “sedekah” kepadanya. Insya-Allah cik akan dapat ganjarannya. Kalau tidak di dunia, insya-Allah di akhirat…bahkan apa yang cik berkorban ini sebenarnya “hadiah” buat ibu….meskipun cik tidak mahu berkahwin, namun dengan membahagiakan ibu, insya-Allah, akan memberi kebahagiaan itu buat cik…Wallahuallam.
Artikel: Hajah Maimunah Muhamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Berkebun merupakan terapi buat Siti Mariah Alias, 49 dan suaminya Abdullah Muji, 57. Bukan itu saja malah dengan cara ini juga merupakan salah satu riadah selain dapat mewujudkan jalinan kasih sayang, cinta dan rindu sesama ahli keluarga. Selain itu dengan berkebun dapat merapatkan lagi hubungan dengan anak-anak.
Inilah antara konsep yang digunakan oleh Siti Mariah dan suaminya dalam merealisasikan taman herba di laman belakang rumah. Walaupun tinggal di rumah teres lot tengah tetapi Siti Mariah dan suami tetap berjaya merealisasikan taman herba di belakang rumahnya. Lebih menggembirakan lagi taman di rumahnya pernah diiktiraf sebagai tempat pertama (Juara) di dalam pertandingan Landskap anjuran Majlis Perbandaran sepang, Kategori Rumah Teres Lot tengah 2015.
“Pada masa sama saya turut berinteraksi dengan alam dan menyedut udara segar setiap hari. Ia terapi bagi saya,” katanya yang sangat mengagumi mereka yang memiliki taman yang hebat dan penuh kehijauan.
Tetapi tidak semua orang mempunyai minat berkebun terutama individu yang tinggal di kawasan kediaman teres lot tengah kerana beranggapan ruang yang ada terlalu kecil untuk bercucuk tanam.
“Saya amat mengagumi sebuah rumah yang memiliki sebuah taman yang hebat dan penuh dengan kehijauan. Tidak semua orang mempunyai minat berkebun dan sudah pasti barang siapa yang memilikinya pasti dia juga seorang yang hebat. Apa yang saya suka tentang taman telah lahir dalam diri secara semulajadi,” sambung Siti Mariah.
Tanam Lebih 30 Jenis Tumbuhan Herba
Kadangkala dilihat, mereka yang menetap di rumah teres lot tengah sering mengabaikan halaman rumah di belakang rumah kerana beranggapan ruang sekecil itu tiada daya tarikan jika dihias cantik sekalipun kerana hanya sebuah ruang kosong yang sempit. Tetapi sungguh mengkagumkan dan berlainan sekali dengan rumah Siti Mariah dan suaminya ini mereka menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah. Usaha pemilik yang menjadikan back line yang sering dijadikan ruang yang terbiar (abandoned space) sebagai sebuah taman herba. Terdapat hampir 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam bekas seperti, pasu yang berbeza saiz.
“Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, belalai gajah dan sebagainya. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi bagi saya sekeluarga merehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi. Oleh kerana rumah berada di lot tengah, saya mengambilnya sebagai cabaran apabila bersama suami menggunakan sepenuhnya bahagian belakang rumah dengan menukar 100 peratus ruang terbiar kemudian dihiasi hampri 30 jenis tumbuhan herba yang ditanam di dalam pasu yang pelbagai saiz. Ada antaranya adalah spesis yang jarang ditemui seperti buah ajaib, mahkota dewa, jerangau dan buah letop. Pada saya taman herba ini juga umpama platform meditasi saya sekeluarga merekehatkan minda dan fizikal serta mendekatkan diri dengan alam semulajadi, katanya yang turut menanam herba popular seperti mas cotek jantan, mas cotek betina, bangun2, sabung nyawa, senduduk putih, senduduk ungu, kunyit hitam dan halia bentong,” tambah Siti Mariah lagi.
Wanita ini turut berkongsi mengenai keunikan buah ajaib yang dapat menghilangkan sebarang rasa asal contoh pedas dan menghadirkan rasa manis ketika mengambilnya. Selain herba Siti Mariah turut menanam tumbuhan untuk kegunaan harian dalam masakan seperti, selom, limau purut, limau nipis, lengkuas, cili padi, ulam raja, tomato, rosemary, basil dan lain-lain lagi yang hidup subur kerana diberikan penjagaan rapi.
“Jika hendak masak atau makan ulam-ulaman saya hanya tinggal petik sahaja di belakang rumah, jadi saya boleh jimat belanja selain menyahut seruan kerajaan untuk menanam sayur sendiri. Tanaman kontan ini mudah sahaja penjagaannya. Saya juga turut memberikan hasil kebun herba dibelakang rumah pada rakan-rakan sepejabat dan jiran berdekatan. Ini dapat juga mengeratkan silaturrahim. Pokok terbaru yang saya tanam ialah pokok letup-letup. Pokok ini digunakan dalam perubatan sebagai ubat pening, sakit pinggang dan kanser. Buahnya yang muda boleh dijadikan ulam. Buahnya yang masak boleh dijadikan jus boleh untuk merawat sakit kerongkong,” ujar Siti Mariah yang akui berkebun sama saja dengan kerja-kerja lain di mana perlu jujur, ikhlas dan disertai minat mendalam.
Perlu Konsisten
Dalam konsep penjagaan tanaman di taman herba Siti Mariah juga menerangkan seseorang itu perlulah konsisten.
“Saya dan suami selalunya akan membuang rumput, membaja, menanam yang baru dan mencantas pada hari minggu. Supaya tidak terlupa untuk membaja saya akan setkan dalam telefon bimbit tarikh yang sesuai untuk membaja. Ada sesekali anak-anak juga membantu. Di taman herba ini jugalah saya dan keluarga selalu membuat barbeku atau pun minum-minum petang sambil bersantai dan melihat anak-anak pokok herba membesar dengan sihat cukup menjadi kepuasan pada diri saya dan suami. Saya berbangga kerana mempunyai seorang suami yang memang rajin berkebun, kerana suami banyak membantu. Suami saya bukan sahaja menjaga tanaman yang berada di dalam kawasan halaman rumah tetapi turut mengambil berat ruang diluar kediaman saya. Contohnya ada kawasan tanah lapang dihujung pejalan kaki berhadapan rumah saya. Suami ada menanam pucuk ubi, serai, nenas, keladi, pisang, pandan untuk kegunaan seharian,” kongsinya.
Ditanya tentang rujukan dalam menjaga laman belakang rumahnya, Siti Mariah menerangkan, “Untuk mendapatkan ilmu-ilmu tentang penjagaan pokok-pokok herba ini pula saya selalu membaca blog-blog, membeli majalah dan di media sosial tentang penjagaan pokok. Saya juga ada memberi sedikit tip seperti cara-cara penanaman, penjagaan pokok bersama-sama kawan di media sosial. Pada saya inilah salah satu cara untuk memberikan ilmu dan sedekah secara tidak langsung. Menjaga pokok ini sebenarnya tidak susah kerana bukan membaja semata-mata menjadikan pokok kita hidup gemuk dan subur.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!