Raya dah raya, sekarang mak-mak mula berniat untuk puasa sunat syawal, tak kurang juga yang mula berpuasa ganti disebabkan ada hari-hari yang tidak mengizinkan untuk berpuasa dalam bulan Ramadan tempoh hari.
Ada yang berkira-kira, gantikan puasa yang wajib dulu dan barulah lakukan yang sunat. Ada yang kata boleh gabungkan sekali. Waima, macam mana sekalipun, kita buat KERANA ALLAH TAALA.
Ini perkongsian pendapat oleh Zulkifli Che Noh tentang apa yang diperkatakan tentang puasa sunat syawal mahu pun puasa ganti. Menurutnya:
Pernah suatu ketika, kami berkonvoi ke rumah seorang teman di sebuah kampung di Besut, Terengganu. Tujuannya untuk ziarah raya Aidilfitri.
Hari itu, 2 Syawal. Setibanya di sana, kami terkejut kerana suasananya seolah-olah masih di bulan Ramadan. Sunyi sepi. Pendek kata, macam tak raya lah.
Berbeza sekali dengan kebanyakan tempat, kemeriahan suasana hari raya begitu terasa terutama minggu pertama Syawal. kadang-kadang budaya rumah terbuka lajak hingga ke Zulkaedah.
“Mi, guane senyap tuppah sini, pakat gi mane belake?” (Mi, kenapa suasana senyap sunyi, ke mana semua orang pergi?) soalku kepada seorang sahabat selaku tuan rumah.
“Sinning memang gining, raya sebetor je pagi 1 Syawal, raya hok merioh, ‘Raya Kubur’!” (Kat sini memang begini, raya sekejap sahaja pagi 1 syawal, yang meriah ‘Raya Kubur’!) jawabnya.
“Raya Kubur?” Kami semua melopong, seram.
“Biasanya, orang di sini akan terus sambung ‘puasa enam’ bermula 2 Syawal. Setelah selesai, mereka akan sambut ‘Raya Enam’. Aktiviti utama, ziarah kubur, gotong royong dan makan-makan!” sambungnya lagi.
“Oh … begitu “
Hadis mengenai puasa sunat Syawal adalah hadis sahih. Berdasarkan hadis tersebut, Imam Syafie, Hambali dan Hanafi menghukumkan puasa enam hari di bulan Syawal adalah Sunat Muakkad iaitu sangat dituntut.
Ada pun menurut mazhab Maliki, terdapat satu riwayat daripada Imam Malik bin Anas bahawa beliau tidak pernah melihat mana-mana ilmuan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut, dan tidak sampai pada beliau riwayat daripada golongan salaf yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Bahkan ada sesetengah ilmuan memakruhkannya kerana bimbang orang jahil akan menganggapnya sebagai sebahagian daripada Ramadan.
Di dalam masyarakat kita di Malaysia, umum mengetahui dan menyedari tentang hukum sunat puasa syawal. Jarang sekali berpegang sebagai wajib.
Namun, kadang-kadang penekanan yang berlebihan dengan menetapkan tempoh masa yang tertentu untuk memula dan mengakhirkan amalan tersebut dibimbangi menimbulkan kekeliruan.
Tambahan pula jika ia disertakan dengan acara-acara tertentu bagi merayakannya, umpama ‘Hari Raya Enam’ atau ‘Hari Raya Kubur’.
Sebaliknya, jangan kita terlalu memandang ringan pula sehingga langsung tidak mengerjakannya. Pilihlah mana-mana hari yang kita selesa sepanjang Syawal untuk kita berpuasa. Kerana ia jelas mempunyai kelebihan yang besar iaitu seumpama berpuasa sepanjang tahun.
MW: Moga dapat dijadikan panduan untuk kita semua.
Sumber: Zulkifli Che Noh