Pendakwah selebriti, PU Azman dihukum penjara 24 tahun, terlibat amang seksual dengan remaja bawah usia. Dikenali dengan panggilan nama abah di kalangan peminatnya, pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Noridah Adam membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Memetik laporan Harian Metro, Mahkamah menjatuhkan masing-masing 12 tahun penjara dan satu sebatan bagi dua pertuduhan yang berjalan berasingan.
Mahkamah juga menetapkan Azman Syah, 43, menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Pada 26 Disember tahun lalu, Azman diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, Azman Syah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berumur 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang, di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Februari serta 29 Jun 2022.
Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man turut berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :– PU Azman Berdepan 4 Lagi Pertuduhan Jenayah Seksual
Panggil Isteri ‘Ibu, Mama, Ummi’ & Hukum Zihar, Ini Penjelasan PU Azman
PU Azman Mengaku Tidak Bersalah, Mohon Jaminan Rendah Alasan Pendapatan Terjejas Sejak Direman
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE