Sepanjang bulan Oktober lalu, Hard Rock Hotels, Cafes, dan Casinos di seluruh dunia ‘berubah warna merah jambu’ dengan mengambil bahagian dalam usaha mengumpul dana untuk menyokong Hard Rock Heals Foundation®, cabang kebajikan Hard Rock, di mana hasil kutipan akan disalurkan kepada American Cancer Society dan badan amal tempatan.
Hard Rock Hotel Desaru Coast terus memperkukuhkan dedikasi mereka terhadap bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan mempromosikan pengesanan awal dan pencegahan dalam komuniti Johor.
Projek istimewa yang telah berlangsung selama lima tahun itu telah menunjukkan komitmen Hard Rock Hotel Desaru Coast mengumpul dana untuk ‘Prosthesis Project’ bersama Breast Cancer Support Group (BCSG) Johor Bahru, yang telah menyumbangkan prostesis yang mengubah kehidupan kepada 100 orang penyintas kanser payudara.
Gitar Tanda Tangan Sheila Majid
Salah seorang artis paling ikonik Malaysia, Sheila Majid, menunjukkan sokongan beliau untuk bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan menandatangani gitar eksklusif untuk Hard Rock Hotel Desaru Coast.
Gitar ini akan menjadi tumpuan utama kempen PINKTOBER, mengingatkan kita tentang bagaimana muzik dapat menyatukan komuniti dan menginspirasi tindakan untuk tujuan yang bermakna. Anda boleh melihat gitar ini di acara PINKTOBER Tribute Night Event.
Tetamu hotel juga berpeluang menyokong bulan PINKTOBER dengan pelbagai cara di Hard Rock Hotel Desaru Coast. Sama ada anda menikmati menu istimewa PINKTOBER di Sessions, mendapatkan barangan eksklusif PINKTOBER di Rock Shop, atau sekadar menikmati suasana, anda turut menyumbang kepada pergerakan global untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.
Kebun Komuniti
Pada tahun ini, kerjasama Hard Rock Hotel dengan BCSG menjadi lebih bermakna dengan menghasilkan resipi berkhasiat daripada kebun komuniti yang diusahakan oleh Chef Eksekutif Halim Chek Lah bersama sekumpulan penyintas kanser payudara.
Inisiatif ini bukan sahaja menekankan kepentingan pemakanan sihat untuk pencegahan kanser, malah memperkasakan penyintas dengan berkongsi perjalanan mereka melalui sajian yang menyihatkan. Buku resipi ini dijual pada harga RM40 dan semua hasil jualan akan didermakan kepada BCSG.
‘Prosthesis Project’ adalah inisiatif yang kami sertai sejak lima tahun lalu bersama BCSG. Projek ini bertujuan menyediakan prostesis yang berkualiti kepada mereka yang telah menjalani pembedahan mastektomi. Melalui hasil kutipan dana, kami telah membantu menyediakan prostesis kepada lebih 100 wanita, menjadikan hidup mereka lebih selesa dan yakin,”ujar Chef Halim.
Sebagai seorang chef, saya percaya makanan bukan sahaja mengenyangkan perut tetapi juga dapat menyatukan komuniti. Melalui projek ini, saya dapat menggunakan kemahiran saya untuk mencipta resipi yang menyokong gaya hidup sihat, khususnya bagi mereka yang sedang pulih daripada kanser payudara,”ujarnya lagi
Saya berharap projek ini akan terus memberi manfaat kepada lebih ramai pejuang kanser di luar sana. Kami juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini dengan melibatkan lebih banyak komuniti dan terus memberi inspirasi kepada mereka melalui program kesedaran dan aktiviti kulinari.
Sokongan anda, sama ada melalui pembelian buku resipi atau menghadiri acara kami, sangat bermakna. Ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga memberikan semangat kepada mereka yang sedang berjuang. Setiap langkah kecil membawa impak yang besar.
Chef Halim mengakhiri perbualan dengan harapan bahawa usaha kecil ini dapat mencetuskan gelombang perubahan positif dalam kehidupan ramai individu. Projek ‘Prosthesis Project’ adalah bukti nyata bagaimana gabungan kreativiti, komitmen, dan kasih sayang dapat memberikan harapan kepada mereka yang memerlukan.
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI