Uncategorized

Projek Pembenihan Karang, Konservasi Penyu & Bersih Pantai Pilihan AmanahRaya Untuk Kelestarian Alam

Share

Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Anak Syarikatnya, AmanahRaya Trustees Berhad (ART) melalui Yayasan AmanahRaya baru-baru ini telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat atau CSR menerusi tajaan sebanyak dua buah meja pembenihan yang mengandungi 400 benih terumbu karang yang diusahakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Malaysia Tidal Garden Association (MTGA).

Dari (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif, AmanahRaya Trustees Berhad, Encik Zainuddin Hj Suhaimi, (tengah) Pengarah Urusan Kumpulan, Amanah Raya Berhad, Encik Ahmad Feizal Sulaiman Khan, (Kanan) Pengerusi, Malaysia Tidal Garden Association, Encik Faizan Mat Yasim

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan, AmanahRaya dan ART sentiasa komited untuk memberikan sokongan penuh terhadap
aktiviti untuk memperkasa pemuliharaan ekosistem marin taman laut dan alam sekitar.

“Kami amat berharap usaha sebegini dapat dilaksanakan secara berterusan supaya khazanah yang sangat berharga ini dapat dikekalkan. AmanahRaya dan ART menyokong penuh aktiviti pemuliharaan sebegini dan sedar mengenai keperluan untuk membiak semula terumbu karang agar ianya terus dapat menjadi habitat kepada hidupan laut dan melindungi kawasan persisir pantai daripada hakisan selain mengimbangi ekosistem laut, tambah beliau.

Tapak semaian karang yang ditaja oleh AmanahRaya Berhad dan AmanahRaya Trustees Berhad.

Terumbu Karang

Program kali ini memberikan satu kelainan kepada 65 sukarelawan kerana mereka diberi pendedahan yang meluas untuk menelusuri ilmu mengenai ‘Coral Farming’ yang melibatkan penjagaan dan pembiakan spesis terumbu karang menggunakan kaedah pembenihan ke atas dua jenis terumbu karang iaitu jenis ‘Acrophora Coral’ dan ‘Pocillapora Coral’. Jenis terumbu karang ini telah diwartakan kerajaan sebagai khazanah negara yang perlu dipelihara bagi mengelak kepupusannya.

Selain itu, beberapa aktiviti lain seperti pelepasan sebanyak 120 ekor anak penyu dan pembersihan pantai turut diadakan bagi memupuk kesedaran sukarelawan terhadap kepentingan memelihara ekosistem sumber marin dan alam sekitar.

Program ini juga telah mendapat sokongan daripada Ketua Balai Polis, Pulau Redang, Sub Inspektor Roslee Bin Yaacub bersama lebih lapan anggota yang akan bersama-sama sukarelawan sepanjang program tersebut.

Published by
Rosmah Idayu