Program Read Namibia Dekatkan Ida Dengan Kanak-Kanak Di Sana

Share

Apabila suaminya dihantar bertugas di Republik Namibia, kerisauan melanda di hati. Bagaimana agaknya keadaan di negara yang cukup asing bagi dirinya itu. Begitulah yang dialami oleh Puan Ida Alina Salleh, 46, yang menetap di Namibia sejak Januari 2016 kerana mengikut suami yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke negara tersebut.

“Mungkin ada banyak salah faham di kalangan kita tentang negara-negara di Afrika. Benua Afrika amat besar. Namibia terletak di selatan benua, berjiran dengan negara Afrika Selatan. Penduduknya hanya 2.5 juta orang dan kawasan Savannah yang luas menjadi tempat permainan berbagai-bagai haiwan liar yang amat cantik.

“Alhamdulillah, tidak banyak masalah bagi kami untuk menyesuaikan diri di sini. Rakan-rakan kami sekeluarga tidak terhad daripada kalangan kumpulan diplomatik saja. Kami gembira kerana dapat bergaul dengan masyarakat Namibia tanpa mengira pekerjaan atau taraf hidup mereka,” ujar Ida Alina memulakan bicara.

Aktif Aktiviti Kebajikan
Menurut Ida Alina, di sana dia banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti NGO dengan penduduk setempat. “Sebagai isteri seorang Pesuruhjaya Tinggi dan ibu kepada anak yang masih bersekolah, aktiviti harian saya amat padat. Selain membantu dalam penyelenggaraan kerja-kerja keraian di Rumah Malaysia, dan mengambil bahagian dalam kerja-kerja kebajikan bersama Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) bersama-sama dengan warga Malaysia di Namibia, saya juga terlibat dengan aktiviti-aktiviti persatuan pasangan diplomat di Namibia (Association of Diplomatic Spouses in Namibia).

“Sejak kami tiba di Namibia, nasib anak-anak dan wanita miskin menjadi fokus aktiviti kebajikan kami di sini. Saya bersyukur kerana Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini juga amat prihatin dan telah memilih untuk membantu pusat anak-anak yatim dan miskin Mammadu di Otjomuise. Bersama Perwakilan, kami mengadakan program makanan sihat di mana kami menyediakan makan tengahari dan sumbangan barang makanan ruji bagi anak-anak di pusat ini sebulan sekali. Pada bulan Ramadan, kami menjalankan program ini seminggu sekali,” jelas Ida Alina.

Program Bantu Kanak-Kanak Celik Huruf
Buat masa ini, Ida Alina juga meluangkan banyak masa menjalankan aktiviti-aktiviti dengan program “Read Namibia”.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan membaca pada umumnya, serta menyediakan bahan bacaan dan aktiviti membaca bagi anak-anak miskin dan terpinggir. Program ini disokong oleh Kementerian Pendidikan,

Kesenian dan Kebudayaan Namibia, dan turut disertai oleh Wanita Pertama Namibia, Madame Monica Geingos.”Tahap pendidikan di Namibia, sama seperti di Malaysia. Sistem persekolahannya juga berasaskan sekolah rendah, menengah dan pendidikan tinggi. Memandangkan usia negara yang masih muda, masih terdapat cabaran bagi setengah-setengah anak muda untuk mencapai impian ke menara gading, sebagaimana keadaan negara kita pada satu masa dahulu.

“Buat masa ini, saya merupakan Pengerusi bagi Perwakilan Namibia dan Presiden bagi Persatuan Pasangan Diplomatik (ADS). Saya juga merupakan salah seorang daripada kumpulan pengasas bagi program Read Namibia. Saya juga sukarelawan yang menjalankan kelas membaca bagi anak-anak yang memerlukan di sekolah Combretum Trust.

“Sebagai Presiden Persatuan Pasangan Diplomatik, tugas-tugas menyelenggarakan aktiviti-aktiviti amal mengambil masa kerana ianya perlu dijalankan dengan teliti dan sempurna. Alhamdulillah, kami berkerjasama seperti adik- beradik dan pada tahun 2017, persatuan ADS berjaya menjalankan dua aktiviti kutipan amal iaitu Bazaar Antarabangsa ADS dan ADS Gala Dinner. Aktiviti-aktiviti ini berjaya mengisi tabungan untuk projek bangunan bagi anak-anak yang memerlukan di Mammadu Trust.

“Bagi Read Namibia, tugas saya banyak berkisar dalam membantu menyelenggarakan program-program membaca. Saya juga terlibat dalam melatih guru-guru di sekolah melalui bengkel-bengkel metodologi membaca dan penyediaan bahan alatan mengajar. Satu lagi tugas saya adalah membantu melatih sukarelawan-sukarelawan baru dari Namibia yang akan meneruskan usaha Read Namibia menganjurkan aktiviti-aktiviti membaca di dalam komuniti masing-masing, dan jugasebagai barisan pelapis yang akan meneruskan program Read Namibia sepeninggalan kami dari negara ini,” jelasnya lagi.

 

 

Published by
Nurul Azwa