Prof. Muhaya Dan Anak Kedua, Berkongsi Persamaan Kehilangan Anak Lelaki Pertama

Share

Ibu anak empat ini, Dr Noor Atiyah Azmi merupakan anak kedua Pakar Bedah Mata terkenal, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad. Pertengahan Disember lalu, ibu ini diuji kehilangan anak lelaki pertama, Muhammad Ahmad Aiman, 2 tahun.

Allahyarham Aiman mengalami masalah semilobar holoprosencephaly iaitu kecacatan dari lahir yang menggangu perkembangan otak.

Menerusi instagramnya, Dr Noor Atiyah (Mama Tiyah) berkongsi rupanya, 20 tahun lalu ibunya juga mengalami kehilangan yang sama. Anak ketiga Prof Muhaya, kembali ke rahmatullah pada usia 11 tahun.

Coretannya benar-benar menjentik hati. Betapa naluri seorang ibu merasai kesedihan anaknya. Dan begitulah sebaliknya.

Kongsinya.

Diuji Kehilangan Anak Lelaki Pertama

Mama Tiyah ni anak kedua daripada tiga adik beradik, atas Mama Tiyah seorang kakak, dan bawah pula seorang adik lelaki. Adik lelaki telah ke Rahmatullah 20 tahun yang lepas pada usia 11 tahun.

Mak dan Ayah adalah 2 insan yang sangat Mama Tiyah sayang. Tak terkata dengan perkataan. Kami kini kongsi persamaan yang sama iaitu anak lelaki pertama kami kembali bertemu Allah di usia yang kecil.

Kerana itu, Mama Tiyah rasa sayu dan terharu mereka memahami perasaan anak mereka. Bayangkan perasaan kita apabila anak kita mengalami cabaran, ibu dan ayah yang merasainya lebih. Begitulah agaknya perasaan mereka apabila baru-baru ni Mama Tiyah bersedih dan menangis kehilangan (sementara) anaknda Muhammad.

Persoalan Ini Bermain Di Kepala

Sebagai anak, Mama Tiyah selalu terfikir yang kita selalu inginkan anak kita menjadi pencen kubur kita dan bantu kita di Hari Kiamat nanti. Namun adakah kita terfikir benda yang sama dari sudut anak.

Adakah diriku ini soleh/ solehah?
Adakah aku yang akan membantu Ibu dan Ayah pada saat setiap manusia sangat tercari-cari amalan kebaikan?
Adakah kita yang usaha menghafal Quran agar mereka dianugerahkan mahkota di padang mahsyar atau kita hanya fikir kita inginkan kelebihan itu?

Banyak lagi Mama Tiyah fikir, dan sedar tidak akan pernah dapat membalas jasa Ibu Ayah setimpal dengan apa yang mereka lakukan.

InsyaAllah, semoga kita semua menjadi anak yang menyejukkan mata Ibu Ayah, menjadi anak yang beriman dan bertaqwa dan sentiasa berusaha untuk berbakti kepada mereka sebelum mereka minta pun.

Untuk Ibu Yang Diuji Anak Sakit

Khusus buat para Ibu yang mengandung anak yang diuji dengan penyakit, atau Ibu yang ada anak yang sakit atau istimewa. Mama Tiyah nak kongsikan beberapa nasihat orang lain buat Mama dulu terutama ketika mengandung dan mula-mula bersama Arwah Muhammad.

Semoga bermanfaat:

“Kita tidak tahu apa-apa, hanya Allah yang tahu segalanya”
“Selagi anak berada dalam rahim anak itu berada sepenuhnya dalam jagaan Allah dan kita tidak tahu apa-apa. Yakin dengan kuasa Allah”
“Anak yang bakal dilahirkan ini akan menarik kasih sayang dan rezeki InsyaAllah buat rumah dan sekeluarga”
“Ingat cinta kita kepada Allah, dan tidak sabar bertemu anak ini bukan kerana cinta kita kepada anak itu tetapi kerana cinta kita kepada Allah”
“Atiyah tak rugi apa-apa, kalau anak ini hidup dapat pahala menjaga anak istimewa, kalau Allah izinkan tidak hidup dapat anak syurga menanti di sana”

Banyak lagi pesanan penuh hikmah dan memberi semangat pada Mama Tiyah, tetapi ini antara yang cukup menyentuh jiwa Mama.

Alhamdulillah. Mama Tiyah mendoakan agar Ibu yang sedang berjihad seikhlas hati menjaga dan mengandungkan anak-anak istimewa ini dikurniakan kekuataan, ketaqwaan dan ketabahan.

It’s okay, dunia ni sekejap je dan jangan persoalkan kenapa kita diuji begini tetapi fokuslah pada segala kenikmatan yang Allah dah bagi sebelum ini. InsyaAllah tidak sempat untuk komplen. Mereka bukan musibah, tetapi nikmat untuk kita.

 

 

Gambar-gambar ni antara selfie terawal dengan Arwah Muhammad. Masa ni berdebar dan gembira, berdebar sebab takut tak beri yang terbaik pada Muhammad dan gembira kerana Allah pilih kami.

Alhamdulillah.

Sumber/Foto : dratiyahazmi

Published by
NETTY AH HIYER