‘Poligami Itu Bukannya Mudah’ Suami Ini Lulus Ujian Cinta Untuk Isteri-Isterinya

Share

Suami ini, Fais Al-Hajari berkahwin dua. Sungguh, tak mudah untuknya melalui fasa mendapat keizinan berkahwin lagi daripada isteri. Namun, dia bersabar. Sehingga isteri benar-benar rela barulah meneruskan niat.

Dan setelah mendapat keizinan, cinta dikongsi sama adil. Agar setiap daripada mereka disantuni hatinya dengan penuh rasa cinta. Baik isteri pertama, mahupun isteri kedua itulah amanah untuk suami ini pertanggungjawabkan.

7 Tahun Untuk Isteri Pertama Merelakan Poligami

Isteri pertama aku memerlukan masa 7 tahun untuk merelakan aku nikah lagi satu. 7 tahun bang, bukannya 7 bulan.

So kalau perkahwinan tu baru masuk bulan kedua dah mintak nak poligami, tu memang teruk sangat la sebenarnya, tak kiralah atas alasan apa sekalipun.

Perkahwinan ni biasanya ada 3 fasa – 5 tahun pertama ialah fasa membina dan mengukuh. 5 tahun kedua ialah fasa menstabil. Selepas 10 tahun ialah fasa ketiga, iaitu fasa meneruskan kelangsungan kehidupan rumahtangga. Fasa pertama tu sangat kritikal sebenarnya dan majoriti penceraian berlaku semasa fasa itu.

Jadi kengkawan, ambillah pengajaran.

 

Beza Usia Dengan Isteri Kedua Hampir 17 Tahun

Ya, berpoligami itu bukannya mudah. Apatah lagi jika isteri kedua itu berbeza hampir 17 tahun usianya dengan si suami.

Ramai yang berbicara tentang sukarnya menguruskan perasaan isteri pertama, namun sebenarnya menguruskan perasaan isteri kedua juga sama sukarnya, apatah lagi jika si isteri itu baru menginjak usia 22 tahun – usia yang pada ketika ini rata-rata remaja sepertinya masih bergelut dengan assignment, sedang dalam fasa berlibur dengan kawan-kawan, baru hendak menyelam perasaan dan mencari kehidupan tersendiri.

Namun itulah pengorbanan yang dilakukan oleh isteri keduaku ini. Dia meninggalkan dunia remajanya semata-mata kerana aku. Dia memilih aku berbanding dunia mudanya.

Bayangkan, semuda usia 18 tahun dia dah bergelar bukan sahaja sebagai seorang isteri, namun juga seorang madu. Sedangkan insan yang jauh lebih tua daripadanya juga belum tentu mampu menerima status itu!

Menguruskan perasaan seorang remaja sepertinya tidak mudah, apatah lagi di dunia zaman maya tanpa sempadan begini. Dugaan dan godaan silih berganti tiba, terutamanya bila si suami tidak selalu berada di sisi.

Aku sendiri dah nak menginjak usia 40 tahun – bagaimana mungkin aku meraikan kemudaannya?

Maka aku terkadang harus menurunkan stail dan egoku. Aku terkadang meremajakan diriku utk meraikan keremajaannya, aku memudakan diriku demi mengelakkan dirinya rasa segan berpacaran dengan seorang yang berusia sepertiku. Namun dalam masa yang sama, aku tetap berusaha mematangkan dirinya seiring dengan statusnya kini sebagai seorang isteri dan ibu.

Pengorbanannya tidak sedikit. Sentiasa aku bersyukur kerana kau memilihku.

Terima kasih isteriku Syarifatun Najihah.

 

Semua Ini Kerana Cinta

Orang selalu bertanya, “bro, kau tak penat ke berulang alik sana sini, buat macam-macam benda.. Aku tak pernah nampak kau rehat pun..”

Rutin aku memang padat. Setiap hari aku akan berulang Gombak-Banting demi menunaikan tanggungjawab terhadap 2 keluarga. Kerjaya aku pula menuntut aku bersedia sejak jam 10 pagi hinggalah ke tengah malam. Aku juga seorang anak yang kerap menghantar mak aku ke sana sini untuk program-program dia. Aku juga kerap bersukan – futsal, bolasepak padang, badminton.. Apa jua yg boleh aku main, aku main. Terkadang seminggu 2-3 kali. Oh ye, tak termasuk memerah otak untuk tulisan-tulisan di FB dan sebagainya.

Adakah aku penat? Semestinya aku penat. Penat sangat. Terutamanya pada usia yang bakal jadi 4-series ni, kepenatannya berganda.
Namun aku sentiasa bersemangat. Sentiasa aku mampu menghamburkan tenaga yang lebih.
Kerana apa?
Kerana CINTA.

Cinta aku terhadap isteri-isteriku dan anak-anakku menaikkan semangat aku untuk terus berulang setiap hari merentas 4 lebuhraya. Bila aku sampai ke rumah, melihat senyuman isteri-isteriku serta tawa anak-anakku yang gembira melihat kepulangan aku menghilangkan segala keletihan.

Cinta aku terhadap mak aku memberikan kekuatan kepada aku untuk terus berkhidmat kepadanya selagi nyawa masih dikandung badan. Mak aku tak pernah merungut lelah membesarkan aku, maka mana mungkin aku merungut lelah menunaikan permintaannya? Selagi berpeluang, selagi itulah aku akan jadi khadam kepada mak aku.

 

Tanyalah Isteri-Isteri Aku..

Cinta aku terhadap tubuh badan dan kesihatanku menunjangi tenaga aku untuk terus bersukan. Aku bukannya muda lagi, maka aku bertekad untuk terus aktif selagi mampu. Aku tak mahu disulami perasaan menyesal tak mampu lagi bersukan dan beriadah sedangkan aku sebenarnya mampu berbuat demikian. Hak tubuh badan aku wajib aku tunaikan. Aku tak tau sampai bila Allah akan berikan kekuatan kepada aku untuk terus aktif dan cergas. Selagi mampu, selagi itulah aku akan terus menyarung sarung tangan penjaga golku.

Dan cinta aku kepada kehidupan dunia inilah yang memastikan aku terus melangkah gagah menunaikan setiap tanggungjawab dan kewajiban. Bisnes aku adalah nyawa aku, yang membantu aku menghirup secebis rezeki yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Bukankah kita dituntut untuk bekerja seolah-olah kita akan hidup seribu tahun lagi?

Dan terutamanya, cinta aku kepada Allah yang memberikan aku tujuan dan matlamat. Hidup aku ini sementara je. Akhirat itulah negeri yang abadi. Selagi aku berpeluang, aku akan cuba menunaikan segala tanggungjawab aku demi memenuhi amanah yang telah Allah pertanggungjawabkan kepadaku. Mudah-mudahan, Allah menerima segala amalku yang picis ini.

Tanyalah isteri-isteri aku – setiap kali lepas subuh confirm aku terlelap lama. Dan biasanya mereka takkan kejut aku melainkan terpaksa. Susuk tubuh yang tidur itu sedang cuba memulihkan sedikit tenaga untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dan semua ini, aku lakukan demi Allah kerana keluargaku.

Semoga mereka redha, dan semoga Allah redha.

 

Isterimu Ialah Amanah Allah

Para suami, isterimu bukanlah seperti Touch n Go – bila nak, baru disentuh dan sentuhanmu hanyalah untuk melepaskan dirimu ke tempat lain.

Para suami, isterimu bukanlah seperti test drive car – hanya dipandu untuk diuji, kemudian kau bebas menguji pandu kereta lain.

Para suami, isterimu bukanlah seperti pinggan arcopal – hanya dibeli untuk dijadikan perhiasan sedangkan bila kau makan, kau guna pinggan lain.

Para suami, isterimu bukanlah seperti hotel – hanya menjadi tempat kau melepaskan lelah namun bila berlibur, kau pergi ke tempat lain.

Para suami, isterimu bukanlah seperti kinder joy – kau beli hanya untuk mendapatkan isi yang dikandung kinder joy itu, namun lepas mainan itu kau dapat, kinder joy itu kau campak ke tepi.

Para suami, isterimu ialah amanah Allah, bukan Amanah Saham Bumiputra yang kau boleh simpan dan keluarkan duitmu sesuka hatimu. Lepas tu kau biarkan akaun kau tergantung dengan baki RM2.50 – nak bagi dividen, sikit sangat tapi nak tutup, masih berbaki.

Para suami, sayangilah isterimu sebanyaknya. Sebab pastinya kau akan marah jika ada lelaki lain menyayangi isterimu di saat kau mengabaikannya.

Jadilah engkau Pencinta Unggul, bukannya Perosak Ummah.

Sumber/Foto : Faiz Al-Hajari, abam bekam –

Published by
Netty Ah Hiyer