Masa bercinta dan awal perkahwinan, sikap panas baran tidak menyerlah sangat. Tetapi, bila sudah alam, mula nampak warna sikap yang sebenar. Pantang silap sikit, mulalah suami mengamuk dan baran. Hancur rumah tangga. Sampai bila isteri mampu bertahan?
(Cr.) Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga turut mendedahkan bahawa suami baran atau pemarah adalah ibarat parasit atau racun yang akan merosakkan kebahagiaan hati seorang wanita yang bergelar isteri. Kemudian, ia akan berjangkit kepada anak-anak sehingga mengalami tekanan perasaan. Isteri dan anak-anak akan merasa tidak selamat, mudah mengalami kemurungan, imej diri akan kelihatan berserabut, tidak ceria dan lemah semangat.
Suami, ayah atau lelaki yang panas baran tergolong dalam kalangan lelaki yang rendah moral dan tidak berkualiti. Kewujudannya jika tidak dibendung atau dirawat boleh menimbulkan banyak masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.
Punca
Seorang lelaki yang menjadi suami dan ayah dalam sesebuah keluarga bersikap panas baran kerana:
-
Dia tidak berilmu dari aspek sahsiah seorang suami.
-
Dia mungkin ada pengetahuan, namun dia tidak amalkan.
-
Dia pentingkan diri sendiri. Lebih suka memenuhi hawa nafsu sendiri dari segi makan minum, fesyen dan hiburan. Akibatnya hatinya mati. Maka terbentuk jiwa yang keras, tidak berperi kemanusiaan dan mudah mengamuk di dalam rumah jika ada sesuatu perkara yang mengguris hati dan meniriskan duit poketnya.
-
Dia sedang alami dua penyakit merbahaya. Satu sakit poket, kedua sakit penyakit misalnya sakit jiwa, sakit hati, sakit pinggang, sakit kulit dan seumpamanya.
Dengan banyak isu yang berupa krisis dan konflik rumah tangga menyebabkan sikap suami berubah kepada:
- Pukul isteri
- Maki hamun isteri
- Tekan perasaan isteri di rumah
- Panas baran
- Terlalu kuat buruk sangka
- Dera anak
- Maki hamun anak
- Boros berbelanja
- Utamakan kawan-kawannya berbanding keluarga
- Banyak skandal
Suami dan isteri boleh amalkan:
- Adakan solat sunat hajat. Mengadulah kepada Allah akan belas rahmat bantuan dari-Nya. Pesan Nabi Muhammad saw yang bermaksud “ Pergilah pada hamba, lalu aku timpakan pelbagai ujian kepadanya kerana aku ingin mendengar rintihannya kepada-Ku” – Hadis Qudsi Riwayat Tabrani).
- Baiki, bina dan latih hati sendiri untuk menjadi insan bertakwa. Makanan hati ialah mengaji Al Quran dan baca tafsirnya, banyakkan bersedekah, berbuat baik kepada ibu bapa dan guru-guru, menghadiri majlis-majlis ilmu agama di surau/masjid, membaca buku yang bagus-bagus, melihat keindahan alam berupa air lautan dan hidupan flora dan fauna yang pelbagai di dalam hutan.
- Berdoa terus minta Allah buka hati suami menjadi insan yang soleh/bertakwa. Orang soleh dia tidak panas baran. Namun, atas sifat manusia yang lemah, tidak sempurna, maka dia jua mudah lupa. Ibarat kata “ I’m not perfect, I know that. I make mistakes, I know I do…and I know that I will always love you…….”.
- Orang lelaki yakni suami kelemahannya ialah pujuk rayu. Gunakan skill pujuk rayu tahap bidadari di syurga. Selangi kata-kata pujuk rayu anda itu dengan pelukan dan usapan kasih sayang di tubuh suami anda.
- Tingkatkan daya ketundukan dan penghormatan isteri terhadap suami khususnya tatkala meraikan kepulangan suami daripada bekerja. Elak sikap suka buruk sangka, membebel dan mengungkit-ungkit.
Amalkan Perkara Mahmudah
- Hati yang sahih (Qalbun Sahih) yakni hati yang suci, bersih dan bebas daripada segala gangguan yang menyebabkan terhalangnya manusia melaksana perintah Allah dan bersikap lemah lembut terhadap isteri dan anak-anaknya.
- Kemudian, akan bebaslah seseorang suami atau insan itu daripada dua jenis hati berikut iaitu;
- Hati yang mati ( Qalbun Mayyit) yakni hati yang bersifat degil, angkuh dan mudah marah (amarah). Orang yang miliki hati begini adalah orang yang malas untuk laksanakan solat dan amalan ibadah.
- Hati yang sakit ( Qalbun Maridh) yakni hati yang masih mempunyai harapan untuk hidup bahagia namun dalam hatinya itu masih wujud benih-benih penyakit amarah atau panas baran. Mereka begini iman dan sahsiahnya tidak mantap.