Tak dinafikan pandemik Covid-19 memberi kesan pada persekolahan anak-anak. Ramai mak ayah yang risau dengan kesihatan anak-anak pada yang sama bimbang anak-anak ketinggalan dalam pelajaran apabila tidak dapat pergi ke sekolah seperti biasa.
Meskipun ada khabar angin bahawa sesi persekolahan akan ditangguh lagi memandangkan kes harian covid-19 yang semakin meningkat, namun terbaru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa sesi persekolahan tetap akan bermula pada 20 Januari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat kerana ramai ibu bapa yang risau kerana anak-anak tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sempurna.
“Dengan mengambil kira keperluan untuk anak-anak mengikuti pembelajaran dalam situasi yang semula jadi di sekolah, saya ingin memaklumkan bahawa kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia akan dibuka mengikut takwim yang telah diumumkan pada 8 November 2020,”
katanya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Sambutan Tahun Baharu 2021 yang bertemakan Bersemangat Melangkah Ke Tahun Baharu 2021 pada Khamis.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pembukaan bagi institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM bagi sesi 2021 adalah tertakluk kepada kalender akademik institusi tersebut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
“Bagi yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) pula, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membenarkan pelajar tempatan kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021,” katanya.
Sementara itu, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing.
MW: Jadi mak ayah sila ambil perhatian takwim persekolahan anak-anak ini iya. Dah boleh buat persediaan sedikit demi sedikit untuk persekolahan anak-anak yang akan bermula akhir Januari nanti.
Sumber: Sinar Harian