Susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, tak dinafikan ramai mak ayah menzahirkan kebimbangan sama ada anak tetap perlu datang ke sekolah mengikut takwim persekolahan pada 20 Januari ini.
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)
Terkini dimaklumkan semua murid sekolah rendah dan Tingkatan Satu hingga Empat di kawasan (PKP) akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Januari ini.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, ketetapan itu juga terpakai kepada pelajar Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 di Kolej Vokasional.
“PdPR akan dijalankan mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Sesi Persekolahan Bersemuka Melibatkan Murid Menduduki Peperiksaan
Kenyataan turut menyebut, sesi persekolahan hanya diadakan secara bersemuka melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Pelajar DVM tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara turut mengikuti pembelajaran secara bersemuka,” katanya.
Surat Kebenaran Khas
Menurut kenyataan itu, murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang akan menduduki peperiksaan tersebut dibenarkan pulang ke asrama mulai 16 Januari ini.
“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan murid merentas negeri atau daerah untuk pulang ke asrama,” katanya.
Ads
KPM berkata, calon berdaftar bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan Satu akan mengikuti pentaksiran antara 20 dan 29 Januari 2021.
Sementara itu, bagi kemasukan ke Tingkatan Empat pula, pentaksiran akan diadakan di antara 15 dan 25 Februari 2021.
“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh KPM bagi membolehkan calon merentas negeri atau daerah untuk hadir ke pusat pentaksiran yang ditetapkan,” katanya.
Bagi tujuan pengoperasian sekolah, KPM menjelaskan, semua guru dikehendaki kembali ke stesen tempat bertugas sebelum 20 Januari ini.
“Guru yang terlibat dengan peperiksaan SPM, SVM, SKM, STPM, STAM, DVM tahun 2020 dan 2021 di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksanakan PdP secara bersemuka.
Ads
“Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir ke sekolah,” katanya.
Bagi pelajar kolej matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di situ untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.
“Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di kawasan PKP, pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian akan dilaksana secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.
“Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka,” katanya.
Negeri PKPB, PKPP Ikut Takwim Institusi Masing-Masing
Menyentuh mengenai negeri dan kawasan yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), KPM berkata, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM dan semua kategori Institusi Pendidikan Swasta (IPS) yang berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa adalah berdasarkan takwim institusi masing-masing.
Ads
“KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.
“KPM akan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu selaras dengan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu, Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi dalam Norma Baharu serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pemantauan pengoperasian institusi pendidikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan semua warga institusi pendidikan sentiasa diutamakan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
PKPB pula akan melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terangganu dan Kelantan, sementara PKPP akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.
Pelaksanaan PKP itu dilakukan untuk tempoh 14 hari berkuat kuasa Rabu ini.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah yang ada anak-anak masih bersekolah, sila ambil perhatian atas garis panduan yang ditetapkan ini.
Satu persatu isu dibangkitkan oleh penyanyi nasyid Suhaimi Saad, 40 ini menimbulkan kontroversi dan reaksi kurang senang ramai pihak. Lantaran sering memiliki pendapat berbeza terutama dalam isu tidak mengambil vaksin untuk anak-anak, tidak menghantar anak-anak ke sekolah dan terbaru mendakwa Bumi berbentuk rata.
Lantang menyuarakan pendiriannya yang tersendiri, penyanyi ini juga ada mencabar Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor untuk bersumpah dengan nama ALLAH SWT bahawa teori bumi berbentuk bulat sfera.
Penjelasan Fakta Sebenar
Ramai mengetahui bahawa Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menggunakan roket Soyuz TMA-11 buatan Rusia pada 10 Oktober 2007. Beliau merupakan Angkasawan Islam yang ke 9 menerokai angkasa lepas dan merasakan menjadi tanggungjawabnya menceritakan fakta sebenar daripada pengalamannya 12 tahun yang lalu.
Walaupun tidak menujukan kenyataan tersebut kepada sesiapa, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tampil memberi penjelasan mengenai bentuk sebenar bumi didalam posting terkini beliau di laman Instagram.
“Adakah Bumi ini rata? Hati ini terdetik untuk menjawab desas desus mengenai persoalan tersebut. Dengan nama Allah, penjelasan ini datang dari sudut hati saya.
“Bumi ini berbentuk sfera atau lebih tepat Geosfera. Tertumpu di kutub dan bonjol di Khatulistiwa. Bukan macam bola tapi lebih kepada seperti bentuk telur.
Kongsi Perasaan Di Angkasa Lepas
Dr Sheikh Muszaphar juga ada berkongsi perasaannya ketika melihat kebesaran Allah SWT ketika di angkasa lepas.
“Mengelilingi Bumi sebanyak 16 kali sehari, setiap 45 minit matahari terbit dan terbenam, mengelilingi Orbit dengan kelajuan 27000 kilometer per jam, laungan Azan kedengaran seketika, bibir terkumat kamit terpegun dengan kebesaran Illahi.
“Melihat Bumi dengan mata sendiri, degupan jantung berhenti seketika, meremang bulu roma, mata tidak terkebil melihat kebesaran Maha Pencipta. Amat sukar untuk digambarkan suasana di angkasa lepas.Bergetar jiwa sepanjang 12 hari di sana.MasyaAllah..SubhanAllah..
Ubah Persepktif Kehidupan
Menurut beliau lagi, pengalaman menyaksikan kebesaran Allah tersebut akan mengubah perspektif sesiapa terhadap kehidupan secara keseluruhannya.
“Setiap manusia harus pergi ke angkasa sekiranya diberi peluang.Ia menjadikan anda lebih beriman dan yakin pada Sang Pencipta.Pengalaman itu sangat mengagumkan dan menakjubkan.
“Sukar sebenarnya untuk mengubah fikiran orang yang percaya Bumi itu rata. Tetapi saya berkongsi disini pengalaman tentang apa yang saya lihat.”
MW: Semoga persoalan mengenai bentuk sebenar muka bumi ini terjawab. Ia merupakan penjelasan dan pengalaman daripada angkasawan sendiri yang pernah meneroka angkasa lepas.
“Mengaku cacat, cari rezeki dengan mengemis.” Wanita ini malu rahsia sebenar terbongkar. Tangan yang dikatakan cacat rupanya berfungsi dengan baik.
Dia hanya berpura-pura cacat bagi mencari jalan mudah bagi meraih rezeki dan simpati orang ramai agar bersedekah setiap hari.
Wanita Ini Malu Rahsia Terbongkar
Seorang wanita di Jakarta, Indonesia, yang berpura-pura cacat dan mencari nafkah dengan menjadi pengemis tular di media sosial selepas penipuannya itu terbongkar, lapor laman berita Suara.com.
Kejadian itu dikongsikan oleh pemilik akaun TikTok dengan nama @me9541 dan sehingga kini telah ditonton lebih 460,000 kali dengan 20,000 tanda suka.
“Malu kerana terbongkar pura-pura cacat,” demikian keterangan ditulis bersama video tersebut.
Mengaku Cacat, Cari Rezeki Dengan Mengemis
Dalam video tersebut, seorang wanita dilihat sedang mengemis di hadapan sebuah warung menjual makanan dengan tangannya diikat dan disembunyikan di sebalik sehelai selendang.
Dia mengaku dirinya cacat dan akan mencari rezeki dengan meminta sedekah. Namun, seorang lelaki berjaya membongkar penipuan itu ketika wanita tersebut meminta sedekah kepadanya.
Lelaki itu yang curiga melihat tangan wanita itu dibalut selendang kemudiannya meminta untuk melihat keadaan tangannya, namun dia enggan berbuat demikian.
Lelaki tersebut kemudiannya melihat tangan wanita itu dan mendapati bahawa ia tidak cacat dan berfungsi dengan baik.
Mengaku Berpura-Pura Cacat
Wanita berkenaan akhirnya mengaku bahawa dia telah menipu dan berdosa kerana telah berbohong.
Netizen yang menonton video tersebut kemudiannya meninggalkan pelbagai komen.
“Saya juga berasa malu apabila melihatnya (wanita itu),” komen seorang netizen.
“Lakonan yang hebat,” komen seorang netizen lain. – AGENSI
Mingguan Wanita : Dalam kesempitan hidup, ramai yang sanggup bertindak di luar kewarasan untuk mencari sesuap nasi. Namun niat tidak menghalalkan cara, apatah lagi dia menipu orang ramai agar bersimpati dengannya.
Pemandu wanita ditumbuk anggota tentera, keluarga ‘rayu’ saksi kejadian tampil beri keterangan. Keluarga kepada wanita yang memandu Perodua Axia dan menjadi mangsa serangan oleh seorang anggota tentera dalam kejadian di Senawang pada 29 Mac lalu, menyeru agar individu yang menyaksikan insiden itu tampil memberikan keterangan.
Pemandu Wanita Ditumbuk Anggota Tentera, Keluarga ‘Rayu’ Saksi Kejadian Tampil Beri Keterangan
Umar, 33 tahun, abang sulung mangsa, memaklumkan bahawa saksi tambahan diperlukan bagi memperkukuhkan kes pendakwaan di mahkamah.
“KAMI MEMANG SUDAH ADA RAKAMAN VIDEO SEWAKTU KEJADIAN BERLAKU DAN INDIVIDU YANG MERAKAM JUGA SANGGUP MENJADI SAKSI. NAMUN, KAMI PERLUKAN LAGI SAKSI MATA LAIN BAGI MENGUATKAN KES INI DI MAHKAMAH,” JELASNYA.
Beliau turut menyatakan bahawa peguam keluarga telah menasihatkan agar mereka mencari saksi-saksi lain, justeru mereka amat berharap agar sesiapa yang berada di lokasi ketika insiden berlaku dapat tampil memberikan bantuan.
Selain itu, keluarga mangsa juga bercadang untuk memfailkan saman terhadap suspek sebagai pengajaran serta usaha menuntut keadilan untuk mangsa.
Menurut Umar, terdapat wakil pihak suspek yang datang menawarkan pampasan kepada keluarganya, namun mereka menolak tawaran tersebut.
“WAKIL DARI PIHAK PELAKU DATANG BERJUMPA KAMI DAN MENYATAKAN KESEDIAAN UNTUK MEMBAYAR PAMPASAN, TETAPI KAMI MENOLAK KERANA KEUTAMAAN KAMI ADALAH MENDAPATKAN KEADILAN, BUKAN WANG.
“Lagipun, suspek telah menumbuk adik saya yang merupakan seorang wanita dan langsung tidak bersalah dalam kejadian itu,” katanya lagi.
Umar turut menegaskan bahawa sebagai anggota tentera, individu terbabit seharusnya berperanan melindungi orang awam, bukan bertindak ganas hingga mencederakan seorang wanita.
Mengulas mengenai keadaan adiknya, Umar menyatakan bahawa mangsa kini dalam proses pemulihan, namun masih mengalami trauma.
“ADIK SAYA KINI BERASA TAKUT SETIAP KALI INGIN KELUAR MEMANDU. KADANG-KADANG DIA MENANGIS APABILA TERKENANG SEMULA KEJADIAN ITU,” UJARNYA.
Terdahulu, tular sebuah video menunjukkan seorang lelaki menumbuk seorang wanita yang memandu Perodua Axia di kawasan Senawang.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas lelaki berkenaan naik marah kerana mendakwa wanita tersebut telah melanggar anaknya yang sedang melintas jalan.
Susulan kejadian, suspek berusia 35 tahun telah dibawa ke Mahkamah Majistret dan didakwa atas pertuduhan menyerang mangsa serta merosakkan pintu hadapan kenderaan wanita berkenaan.
Namun begitu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.