MW berjaya menghubungi Dayang Zalina yang merupakan ibu kepada pelajar istimewa, Wan Azmeen Aiman Wan Awat (14). Menurut Dayang lagi, anak bongsunya ini merupakan anak mild autism. Sejak anaknya disekolah rendah lagi, Aiman telah dididik untuk mengutamakan Allah dalam setiap hal dan menjaga hubungan baik dengan guru.
Dalam satu perkongsian di facebook, Aiman dilihat memegang dua kertas kecil berwarna kuning sambil sebelah tangannya menadah tangan. Sebelum ini Aiman juga pernah menghantar dua keping surat berbeza, kepada Mufti Wilayah Persekutuan; Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang merupakan idolanya.
Assalamualaikum..ini anak autisme saya. Sayu tengok kelibat dia lepas solat sampai bergenang airmatanya berdoa. Lama pujuk dia nak tengok apa doa dia. Moga Allah perkenankan doa nya. Rindu dengan guru….dia luahkan dalam doanya. (maaf tulisan dia kurang kemas)
Antara isi kandungan doa Aiman di dalam dua kertas kecil itu adalah…
“Ya Allah, rahmatilah semua guru-guru yang mendidik kami. Lindungi guru dan semua keluarga mereka. Semoga Allah balas semua jasa mereka. Aiman rindu dengan mereka. Moga semua ilmu yang mereka ajar, Allah berkati. Moga syurga firdaus buat mereka. Amin Ya Rabbal Alamin,”.
Macam mana akhlak anak saya?
Tambah Dayang lagi, walaupun anaknya tidaklah cemerlang pencapaian akademiknya…tiap kali bertemu guru yang mengajar anak-anaknya… soalan pertama yang diajukan kepada guru-guru, bukanlah bagaimana pencapaian akademik anak saya.
“Sejak dulu lagi, saya tidak akan bertanyakan mengenai perkembangan pencapaian akademik anak saya sebaik bertemu guru-guru mereka…terutamanya sewaktu hari mengambil kad laporan mereka di sekolah. Saya akan bertanya mengenai akhlak mereka dan kemudian barulah mengenai pencapaian mereka.
“Sejak dari darjah satu lagi, saya sentiasa berulang kali mengingatkan Aiman untuk memuliakan guru. Ini kerana tertib dan adab menuntut ilmu jika dipelihara sebaiknya membolehkan seseorang mendapat keberkatan. Walaupun akademik Aiman tidak cemerlang, Aiman selalu menjaga hubungannya dengan guru.
“Saya selalu pesan pada Aiman, sekalipun cikgu marah…jangan sesekali kecil hati. Mungkin ada perkara yang tanpa sedar kita dah buat dan ada waktunya teguran itu perlu. Sejak itu Aiman sentiasa menjaga hubungan baiknya dengan guru-gurunya baik dari sekolah rendah, hinggalah dia kini belajar di sekolah menengah,”kongsinya.
Aiman bukan ujian tetapi anugerah
Aiman ini hadirnya mendidik kami sekeluarga. Dia bukan ujian buat kami, malah kami sekeluarga banyak belajar dari dirinya. Sejak dari darjah satu hingga ke darjah enam, saya dan Aiman akan berulang alik ke sekolahnya berjalan kaki berdua. Rutin anak autism ini setiap hari harus sama dan mereka tidak boleh menerima perubahan.
“Sepanjang perjalanan kami ke sekolah, sambil dia menggenggam tangan saya…selalunya kami akan mengisi masa itu dengan berzikir. Aiman juga tak pernah marah kalau kami terpaksa berjalan dalam hujan, sebaliknya dia menegur saya supaya sentiasa bersangka baik dengan apa yang Allah berikan walaupun hujan.
“Selain itu anak autism ini perlu pandai kita ambil hatinya. Saya sendiri menggunakan pendekatan pujian dan sentiasa mengingatkan dia dengan redha Allah dalam tiap perkara yang dilakukan. Contohnya saya akan guna pendekatan lain bila part nak suruh dia pegang buku atau buat latih tubi.
“Arahan seperti anak tipikal mungkin tidak begitu sesuai untuk Aiman. Bukan mudah nak tengok dia elok je capai dan pegang buku dan keluarkan pen terutama jika memang tiada kerjasekolah untuk di buat. Sejak beberapa bulan saya akan ubah sikit tekniknya.
Saya selitkan arahan dalam bentuk doa. Contohnya: Ya Allah…aku bersyukur atas kurniaanMu anak istimewa yang soleh, rajin dan sentiasa berusaha untuk belajar. Aiman sangat baik ya Allah. Aiman anak yang rajin. Dia tidak suka sengaja membuang masa. Mama sangat gembira dia akan gunakan masa terluang untuk membuat latihtubi…”. Aamiin.
Dia yang mengaminkan doa mama..yang penting doa mama doa berirama seperti ada rentak lagu. Sebenarnya pagi ni dia sempat terjah dalam masa mama berdoa…”ya Aiman nak buat latihtubi Pendidikan Islam…”.
Bila nampak dia capai dan keluarkan buku dan pen…taburlah bunga pujian dan kucup dahinya. Alhamdulillah minima hampir 1 jam pun syukur. Mama sangat yakin bila kita sebagai ibu mulakan pujian kepada Allah swt…insha Allah..Allah akan bantu,”.
Terlalu banyak sisi menarik yang kita sebagai orang dewasa boleh mencontohi pekerti Aiman walaupun usianya baru 14 tahun.
Antaranya sentiasa menjaga wudhu dan berwudhu, menyantuni pekerja am yang mengangkut sampah dan memuliakan mereka dengan panggilan ‘orang mulia’. Selain itu Aiman juga mengisi masa lapangnya dengan banyak membaca Al-Quran, buku tauhid dan apa-apa saja bahan bacaan yang menceritakan tentang kekuasaan Allah.
Sering berjaga untuk menunaikan solat tahajud dan juga solat dhuha setiap hari. Dia juga akan pastikan dirinya dalam berwudhu setiap kali pergi sekolah dan membaca al-Quran. Rutin ini tak boleh tinggal…..walau lambat macam mana pun nak ke sekolah.
Tambah ibu ini lagi, kerana Aiman dia menjadi manusia lebih sabar, lebih menjaga tutur katanya, lebih dekat pada Allah. Bukan niat nak mendabik dada, tetapi Allah kirimkan Aiman kepadanya bukan sia-sia.