Suami yang dilihat semakin mahir memberi keperluan dapur berbanding sebulan yang lalu mampu menarik nafas lega apabila PKP Fasa ke-4 membenarkan membawa seorang ahli keluarga bersama.
Ringanlah bebanan yang ditanggung ketua keluarga apabila ada peneman. Manakala bagi suami yang memiliki lebih daripada seorang isteri perlu memohon kebenaran daripada balai polis berdekatan jika ingin ke rumah madu.
Ketua keluarga yang keluar membeli makanan atau barangan keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 bermula hari ini, boleh membawa seorang lagi ahli bersamanya.
Kebenaran itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.
Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.
Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.
Pergerakan 10 KM Tetap Dikekalkan
Masa sama, warta kerajaan itu mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.
Namun, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10km jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.
Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan.
Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pada 21 Mac lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah sekiranya ada keperluan, untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.
Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP Fasa 3 yang berakhir semalam, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula hari ini hingga 12 Mei depan.
Nak Ke Rumah Madu Perlu Mohon Kebenaran Polis
LELAKI yang mempunyai lebih satu isteri perlu memohon kebenaran polis jika mahu bergerak lebih 10 kilometer (km) radius dari kediaman untuk melawat isterinya yang lain.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata pihaknya akan mempertimbangkan dan meneliti alasan permohonan itu sebelum ia diluluskan atau sebaliknya.
“Seperti prosedur operasi standard (SOP) digariskan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang awam dibenarkan bergerak lebih 10km radius atas sebab tertentu termasuk hal kecemasan namun perlu menyertakan dokumen dan bukti.
“Saya sebagai Ketua Polis Selangor tak pernah lagi berhadapan kes seperti ini (lelaki mohon nak melawat isteri lain), mungkin Ketua Polis Daerah ada (berhadapan kes sebegitu),” katanya.
Sumber: Berita Harian
MW: PKP Fasa Ke-4 dianggap lebih longgar dan tentu sahaja disambut gembira oleh masyarakat. Namun atas kesempatan yang diberi jangan pula kita alpa hingga terlupa yang covid-19 masih berada di mana-mana. Jadi terus kekalkan penjarakan sosial dan duduk di rumah.