PKP Cuti Kurniaan Allah SWT, Renung Diri Dan Tetap Bersyukur

Negara kita bukanlah satu-satunya negara yang dilanda wabak Covid-19.  Wabak ini adalah isu yang dihadapi oleh dunia hingga ramai yang terpaksa ‘cuti’ daripada melakukan aktiviti rutin harian selama ini.

Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA berkenaan isu ini.

Macam-Macam Reaksi

Wabak Covid-19 ini tidak mengenal darjat, warganegara atau umur. Justeru, bermula dari 18 Mac 2020 bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Pada awalnya ia hanya ditetapkan sehingga 31 Mac 2020.  Namun kemudian dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020.

Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh rakyat negara kita.  Ada yang berasa lega kerana ia dapat memutuskan rantaian wabak dengan pantas. Tak kurang juga yang merungut kerana ia memberi kepayahan kepada perniagaan.

Akibat Rasa Tertekan

Apabila saya diminta memberi pandangan terhadap reaksi-reaksi ini, pada saya mudah, setiap dari kita sudah mula rasa tertekan dan hasil pada tekanan itulah reaksi-reaksi ini timbul.  Justeru, biarlah mereka melepaskan apa yang terbuku di dada dan pelan-pelan ia akan dihilangkan dengan kewajaran.

Saya menerima pelbagai emosi dalam pesanan-pesanan elektronik yang dihantar kepada saya.  Ada juga yang bertanyakan pendapat tentang PKP yang diadakan. Keadaan yang menimpa dunia ini adalah satu hakikat yang perlu kita terima.

IKLAN

PKP Cuti Kurniaan Allah SWT, Renung Diri Dan Tetap Bersyukur

Manusia Punca Dunia Rosak

Berlakunya kerosakan di dunia ini adalah hasil dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Justeru, hari ini, satu dunia merasai buah dari perbuatan tangan-tangan yang sering melakukan kerosakan. PKP mungkin perkara baru pada kita. Tetapi ia bukan perkara baru bagi mereka yang pernah hidup di zaman darurat atau di zaman komunis.

Hari ini kita masih dapat keluar membeli barangan keperluan pada bila-bila waktu. Ini kerana kita hanya berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan bukannya darurat.  Seandainya kita berada dalam darurat, ia lebih memeritkan.

Banyak Kerja Tertangguh…

Pada saya secara peribadi, saya merasakan apa yang dirasakan oleh kebanyakan orang. Banyak pekerjaan tertangguh. Begitu juga dengan urusan yang lainnya. Mungkin hari pertama dan kedua, kita merasa ok duduk di rumah namun masuk sahaja hari ketiga, kita sudah mula mempunyai fikiran yang macam-macam. Ini semua berlaku kerana pintu kebosanan sudah mula terbuka.

IKLAN

Selepas seminggu ada yang sukar untuk tidur malam. Sukar tidur malam itu adalah tanda-tanda awal yang pintu tekanan perasaan atau stres mula terbuka. Inilah adalah sesuatu yang mungkin dihadapi oleh ramai orang terutamanya yang bekerja sendiri. Pelbagai perkara yang bermain di fikiran. 

Mahu Tak Mahu Kena Terima! 

PKP pada saya adalah satu cuti yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Mahu tidak mahu kita perlu menerima cuti ini biar apa pun alasan yang kita berikan. PKP ini adalah cuti kurniaan Allah SWT kepada kita.  Kita diminta bercuti dari aktiviti kebiasaan kita.  Kita diminta berhenti seketika daripada rutin harian kita, daripada kerjaya kita. 

Ini bukan bermakna kita tidak langsung melakukan kerja. Kita boleh melakukan kerja dari rumah tetapi ianya terhad tidak seperti biasa. PKP ini adalah cuti umum untuk seluruh dunia. Kita sudah biasa dengan cuti. Namun cuti kali ini, kita perlu duduk diam di rumah tanpa dibenarkan keluar bercuti atau makan angin seperti biasa.

Waktu untuk Renung Diri

Cuti PKP ini adalah cuti untuk kita membuat ‘balancing’.  Ia memberi kita ruang yang sangat besar untuk kita duduk merenungi kedudukan kita dengan Allah SWT.  Kita diberi ruang untuk membetul imbangan kehidupan dunia dan akhirat.

IKLAN

Selalunya kita sibuk untuk menguasai dunia. Kita sibuk memperlihatkan kejayaan dunia yang kita capai. Kita sibuk memberitahu dunia betapa berjayanya kita dengan usaha kita selama ini. Tetapi wabak ini didatangkan Allah SWT untuk kita memikirkan dan membetulkan kesilapan kita.

Berjaya Dengan Izin Allah

Kita sebenarnya tidak perlu memperlihatkan kepada dunia yang kita ini sangat berjaya.  Biar dunia tahu dengan sendirinya. Hakikatnya, setiap kejayaan yang kita miliki itu bukan seratus peratus hasil usaha kita.  Usaha kita hanyalah menjadi sebab.  Boleh jadi ada orang yang lebih berilmu dari kita dan usahanya jauh lebih kuat.

Namun kejayaannya mungkin tidak sehebat kita.Kita berjaya, kita mendapat untung, kita menguasai dunia, semuanya adalah izin mutlak dari Allah SWT  Izin Allah dan disertai oleh asbab yang betul menjadikan kita berjaya.

Nilaikan Kesilapan

PKP adalah waktu untuk kita merenungi kesilapan kita.  Inilah waktunya untuk kita menilai satu persatu kata-kata kita, perbuatan kita serta niat kita.  Kita dicutikan dari rutin dunia kerana Allah swt sayang kepada kita.  Lalu dibukakan kepada kita rutin akhirat.

Mungkin kita mengeluh kerana tidak dapat makan makanan yang enak. Tetapi kita perlu sedar diri kerana kita masih boleh menikmati makanan kerana dalam PKP ini adalah yang sedang mengorek tabungan hanya untuk sesuap nasi.  Justeru, ayuh marilah kita menjadi PKP satu rutin kehidupan baru untuk kita. Hidup yang lebih tenang bersama Allah SWT.  Hidup yang jauh dari kesombongan. Hidup yang sentiasa memikirkan mati.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI