Pisang Goreng Rangup, Bancuhan Tepung Tanpa Bubuh Kapur Pun Serdaknya Krup Krap!

Share

Kalau makan pisang goreng, pasti kita suka yang rangup. Dapat pula makan serdaknya yang rangup, tak cukup sekeping pisang itu.

Boleh Cuba Cara Buat Pisang Goreng Rangup Perkongsian Afy AL Habibi Ini.

Resipi Pisang Goreng Ore Kelate

Mari pulok dohh. Ahaa. Sebab cikgu dah rindu sangat nak balik kampung. Apakan daya diuji wabak sebegini rupa. Sama-samalah kita doakan wabak ini cepat berakhir.

Cikgu cerita balik sedikit pasal pisang goreng Kelantan. Gaya jualan orang Kelantan goreng pisang tak guna tepung segera. Penjual bancuh adunan guna gaya sendiri. Pisang pun kami pilih yang masak sedang. Bukan keras-keras dan tawar rasanya. Warna pisang sesudah goreng mesti kuning keemasan bukan pucat.

Nak jumpa pisang lemak manis goreng jarang ada kat KL. Selalu nangka je. Kalau belah negeri cikgu tu banyak lagi pisang yang sesuai digoreng. Semua rasa berbeza dan punya manis yang sedap.

Paling penting kena ada banyak ‘habuk’ nipis yang rangup. Pastinya menjadi sempurna tanpa letak air kapur pun. Selalu cikgu letak juga. Cuma resepi kali ini cikgu tak letak.
Cara makan cikgu kongsi juga. Aha ada dalam gambar cikgu tulis. Ado ore Kelate samo gayo make pise goreng mace cikgu ko? Baik oyak cepat. Buleh jadi geng kacikk cikgu.

Nota kaki: Cikgu cerita mengenai makanan orang Kelantan sahaja. Selalu dengar ramai orang luar suka bercuti di Kelantan kerana syurga makanannya. Sementara belum sampai, cikgu kongsi dulu resepinya untuk dicuba sendiri.

Mana tahu keinginannya mendalam sekali. Soal kesedapan ikut tekak sendiri tak kira asal negeri. Kalau ada perbezaan sekalipun, cikgu masih raikan keunikan itu. Bukan meletakkan ia pada tangga pertama atau terakhir tempatnya. Harap faham setiap posting cikgu dengan baik.

Resipi Pisang Goreng Lemak Manis – Untuk Sesikat Pisang Lemak Manis

Bahan-Bahan

Pisang ini mak bagi. Dia tanam sendiri. Depan pisang lemak manis. Belakang pisang jela berangan.
Tepung beras
Serbuk kunyit
Garam
Telur
Air sejuk peti

Baca Sini Lagi:
Ayam Goreng Serai Thai, Rangup & Garing, Tak Jemu Makan!
Resipi Peria Goreng, Campurkan 3 Jenis Bancuhan Tepung, Barulah Rangup!

Cara Buat

Masukkan sukatan bahan di bawah dalam satu bekas:
7 sudu besar tepung beras
1/3 sudu kecil garam
1/3 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar telur. Seeloknya putih telur sahaja lagi baik.
1/2 cawan kecil air sejuk

Kacau rata semua bahan tadi. Adunan tepung tidaklah terlalu pekat dan perlu sedikit cair.

Kopek pisang lemak manis satu persatu. Masukkan ke dalam adunan. Tidak perlu belah kerana saiz pisangnya kecil.

Tips untuk menghasilkan pisang goreng yang cantik:

– Guna minyak yang banyak
– Pastikan minyak betul-betul panas (berdesir semasa pisang dimasukkan)
– Api awalnya perlu kuat dan biar sederhana selepasnya.

Gunakan pengepit. Masukkan satu persatu pisang sambil merenjis adunan tepung yang melekat di pengepit. Pisahkan terus pisang yang melekat antara satu sama lain dalam kuali. Balik-balikkan selepas sebelah bahagian mengeras. Jika ‘habuk’ sudah kuning, boleh angkat dan toskan dulu. Jangan biar sampai hangit.

Dapat rupa pisang begini bolehlah angkat dan toskan.Inilah hasil akhirnya. Nampak sedap kan? Adunan yang sama untuk menghasilkan ikan / udang / sotong celup tepung. Fuhh rindu makan ICT tepi pantai.

Cara cikgu suka makan. Cicah sekali dengan habuk krup krap. Uishhh nikmat. Samo dop ore kelate make gini? Ko cikgu sore pelik. Ahaha

MW: Bolehlah cuba kalau hendak makan pisang goreng yang ada serdak atau ‘habuk’ rangup.

Sumber/Foto: Afy AL Habibi

Follow Mingguan Wanita
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
julie roshana Shafee