Pilih tema gothic vampire di hari sanding, pengantin akui peminat muzik metal. Sepasang pengantin menjadi tular di media sosial gara-gara memilih tema gothic vampire di hari sanding mereka.
Ada pro dan kontra sebaik gambar itu dikongsikan oleh MUA Dib Diba di facebooknya sejak semalam kerana ramai beranggapan, pengantin seharusnya tidak menonjolkan solekan seram sebegini, dikatakan tidak mengikut adat Melayu serta lain komen yang agak keterlaluan. Namun tak kurang mempertahankan pilihan pengantin kerana itu hari bahagia mereka dan mereka bebas memilih tema disukai.
MINGGUAN WANITA menghubungi sendiri pengantin yang mahu dikenali sebagai Mek Sa Sargaroth mengenai kecaman diterimanya termasuk mengapa dirinya memilih tema gothic vampire di hari bahagianya di Dalyla Inn Bukit Kuang, Kemaman Terengganu.Jelas Mek Sa, dia dan suami, Lan Mador bernikah pada 31 Januari 2025 dan majlis sanding diadakan keesokan harinya iaitu pada 1 Februari di lokasi sama.
Pilih Tema Gothic Vampire Di Hari Sanding
Pengantin Akui Peminat Muzik Metal
Di majlis akad nikah, dirinya mengenakan dress berwarna putih sementara suami tampil dengan baju Melayu berwarna putih.”Cuma untuk majlis sanding, saya dan suami sepakat memilih tema gothic vampire kerana kami sama-sama menyukai muzik black metal. Suami seorang guru muzik dan ada band metalnya sendiri iaitu Modar Band yang ditubuhkan sejak 1989 lagi.
“Saya memilih MUA Dib yang sebenarnya berjaya merealisasikan impian saya untuk tampil gothic di majlis sanding kami. Tak mudah sebenarnya mencari baju. Ada tiga lapis perlu dipakai termasuk dress dan sebagainya. Kosnya juga tak murah, mencecah ribuan juga.
“Ikutkan saya pujuk suami untuk tampil gothic juga tapi suami memilih tampil berbaju Melayu serba hitam lengkap bersampin, umpama pahlawan Melayu. Kami menggabungkan tema, Gothic Europe vs Melayu Nusantara. Penyatuan “Timur & Barat”.
“Jujurnya saya menerima kecaman kerana penampilan itu. Ada sampai sentuh soal akidah, kami mengagungkan ajaran sesat, minum darah dan sebagainya. Banyak yang keterlaluan hingga keluarga tertanya-tanya. Tapi apa yang membuatkan kami sepakat memilih tema ini kerana ia berkaitan dengan soul sahaja.
Saya dan suami sama-sama menyukai muzik metal ini dan dari situ datangnya keserasian untuk tampil dengan tema gothic dan Melayu Nusantara.
“Tapi ada netizen yang tak memahami memberikan pelbagai kecaman. Bagi saya setiap pasangan pengantin berhak memilih hari bahagia dengan cara mereka yang tersendiri,” katanya yang menghabiskan hampir RM40,000 untuk hari bahagia mereka.
Masa yang sama, dirinya menjelaskan, di hari persandingan itu, terdiri dari ahli keluarga, rakan taulan di mana masing-masing sudah mengetahui minat mereka berdua terhadap muzik.”Tak ada apa masalah di pihak keluarga kami, cuma yang bermasalah datangnya dari netizen yang mengecam penampilan sebegitu,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu Mek Sa mengakui kos untuk mencari baju mengikut tema itu tidak juga murah tambah ianya berlapis-lapis. Dress saja memerlukan tiga lapis tetapi kerana minat,dia bersyukur mendapat apa dihajatinya dan menghabiskan hampir RM2000 untuk membeli baju mengikut tema ini.
Dia sendiri tidak menyangka gambar ini menjadi tular dan bualan netizen. Berpengalaman hampir 10 tahun sebagai MUA, Dib akui ini pertama kali pengantin meminta ditata rias tema Gothic Vampire.”Nak solek tak lama pun. Kami mula sekitar jam 9.30 pagi kerana majlis sanding jam 12. Dalam sejam lebih saja dah siap kerana kulit muka Mek Sa licin dan cantik. Nak solek pun senang saja.
“Tapi yang sukarnya ketika memakai baju sebab ianya berlapis-lapis. Untuk solekan begini, paling penting adalah pada mata dan bibir dan saya bersyukur kerana Mek Sa menyukainya. Mulanya tak sangka permintaan begini sebab biasanya orang buat hadiri event tapi ini majlis sanding.
“Ada juga saya tengok tetamu yang hadir agak terkejut berdasarkan riak muka mereka tapi ramai juga kagum kerana kelainan pilihan ini,” katanya yang turut menyolek pengantin di hari nikah.Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE