Pilih Pasangan Sekufu, Namun Perkahwinan tetap Kecundang Di Tengah Jalan

Share

Pilih pasangan sekufu, dengan harapan dapat hidup bahagia dalam rumah tangga kerana tiada perbezaan ketara dari segi gaya hidup. Namun, ternyata apa yang diharapkan tak terjadi.

Pilih wanita yang dianggap dapat susah senang hidup bersamanya, namun lelaki itu kecewa akhirnya bila dia dicurangi oleh isteri tersayang. Ikuti pengakuannya kepada Mingguan Wanita.

Pilih Berniaga Untuk Hidup Senang

Bukan senang nak hidup senang. Perlu ada kemahuan dan usaha. Aman, 30, bukan berkelulusan tinggi. Selepas SPM, dia melanjutkan pelajaran di pusat kemahiran di dalam bidang automotif. Selepas tamat belajar, dia bekerja di sebuah bengkel milik bangsa Cina. Uncle itu sangat tegas dan cerewet tapi Aman banyak belajar daripadanya ilmu tentang penyelenggaraan kereta. Sehingga akhirnya Aman menjadi orang kanannya.

Aman sedar, pada zaman serba mencabar ini, dia perlukan duit jika hendak pinang anak dara orang. Sebab itu dia kerja keras dan hidup berjimat. Dia nak selepas kahwin nanti isteri dan anak-anaknya akan hidup selesa.

Perkenalan

Aman pernah bercinta ketika mula bekerja tapi putus di tengah jalan apabila keluarganya tidak merestui perhubungan mereka. Alasan mereka kerana Aman seorang mekanik. Sejak itu Aman pasang hasrat untuk berjaya dalam hidup. Punya bengkel sendiri.

Aman berkenalan dengan seorang gadis manis yang sering berkunjung ke bengkel tempatnya bekerja untuk servis kereta. Dari hari pertama, memang dia perasan gadis itu seolah-olah menyukainya. Sehinggalah tauke bengkel sendiri yang mengusik. “Aman, saya tengok itu Amoi manyak suka sama kamu woo..”. Aman hanya tersenyum kerana dia sedar siapa dirinya. Tak berani hendak cuba ‘masuk daun’. Nama gadis itu Ayu, anak seorang ahli perniagaan. Bekerja di syarikat ayahnya sendiri.  Mereka umpama burung enggang dan pipit. Mana layak terbayang bersama.

Nak artikel lagi menarik, baca sini Impian Hidup Lepas Pencen Kena Ada, Suntik Motivasi Bahagia Suami Isteri

Niat Nasihat, TAPI Jangan Sampai Suami Rasa Isteri TAK HORMAT Dia!

Lebih banyak info di https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Pilih Gadis Kedua

Dalam masa yang sama, Aman kenal dengan seorang gadis lain, Syida yang membantu makciknya di sebuah kedai makan. Orangnya pun manis dan nampak lemah lembut. Dia pun seperti ada menaruh minat pada Aman. Anak yatim, kematian ibu. Sekarang tinggal bersama makciknya dan membantu makciknya berniaga. Aman rasakan Syida pilihan tepat untuknya kerana mereka setaraf.

Kata orang, sekufu. Dalam tempoh enam bulan, mereka bertunang dan berkahwin. Majlis perkahwinan mereka tetap meriah walau dalam keadaan sederhana sahaja. Aman tetap cuba berikan yang terbaik untuk isterinya.

Beberapa bulan pertama, Aman dan Syida hidup bahagia. Mereka tinggal di sebuah flat dua bilik yang dibeli sendiri oleh Aman. Atas permintaan Syida, Aman benarkan Syida terus bekerja di kedai makciknya. Selagi belum ada anak, boleh juga isi masa lapang Syida. Fikir Aman. Dia bukan fikirkan soal duit kerana dia mampu menanggung isterinya itu.

Ambil Alih Bengkel Bos

Aman semakin sibuk apabila tauke lamanya menjual bengkel tempatnya bekerja kepada Aman kerana tiada siapa yang hendak ambil alih dan dia berhijrah ke luar negara. Diserahkan bengkel itu kepada Aman yang dianggap seperti anaknya sendiri. Kehidupan Aman semakin sibuk. Dia tekad untuk membesarkan lagi bengkelnya itu. Malah, Aman telah membuka kedai mencuci kereta bersebelahan bengkelnya. Memang dia teramat sibuk sehingga jarang dapat keluar bersama Syida. Aman bersyukur kerana Syida masih bekerja, jadi tidaklah dia sunyi di rumah. Aman harap Syida faham dia berusaha untuk masa depan mereka juga.

Tanpa disedari, hubungan Aman dan Syida makin renggang kerana kesibukan Aman. Kadangkala pulang awal pagi lebih-lebih lagi musim perayaan.

Bocor

Namun tak sangka, Syida curang di belakang Aman. Dia bermain cinta dengan seorang lelaki yang sering makan di kedai makciknya. Mulanya sekadar teman mencurah rasa, akhirnya sama-sama jatuh cinta. Lelaki itu seorang kakitangan kerajaan dan sudah punya isteri dan tiga anak.

Aman tidak sedar apa yang berlaku sehingga dibocorkan sendiri oleh makcik Syida kerana kasihankan Aman. Bertungkus-lumus bekerja tapi isteri bermain cinta dengan lelaki lain. Mulanya Aman seakan tidak percaya, namun selepas diintip dan melihat sendiri isterinya bermesra dengan lelaki lain, dia percaya.

Syida pula berterus terang bahawa  dia sudah tidak sayangkan Aman dan minta dilepaskan dengan baik. Demi maruah seorang suami dan tidak sanggup lagi menyimpan isteri yang terang-terangan mengaku curang, Aman jatuhkan talak satu.

Berjaya

Setahun berlalu dan Aman tidak berpaling ke belakang. Syida sudah berkahwin dengan kekasihnya sebaik tamat edah dahulu dan Aman tetap sendiri. Fokusnya pada perniagaannya yang sudah semakin maju sehingga mampu membuka dua buah bengkel lain.

Aman agak fobia mengenangkan keruntuhan rumah tangganya yang putus di tengah jalan. Disangka mengahwini wanita yang setaraf, dapat memahami dirinya. Rupanya sebaliknya yang terjadi.

Tak sangka, selepas setahun, Ayu muncul di bengkel Aman. Rupanya selepas Aman berkahwin, dia membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran di sana.

Pilih untuk Hidup Solo

Kini dia kembali dan masih setia menjadi pelanggan bengkel kereta Aman. Ayu telah meluahkan rasa hatinya kepada Aman. Yang masih setia mencintai Aman. Katanya, sikap Aman yang jujur, rajin dan kuat bekerja membuatkan dia jatuh hati sejak dulu. Aman masih terasa perit dengan kegagalan rumah tangganya.

Namun dia cuba untuk membuka hati untuk menerima Ayu. Jika ada jodoh, dia tidak menolak untuk disatukan dengan gadis itu kelak. Namun, bukan untuk masa terdekat. Dia perlu merawat duka di hati terlebih dahulu..

 

Published by
Nurul Azwa