Sebut saja nama penyanyi, pelakon, model dan ratu cantik Miss World Malaysia 2008, Dr. Soo Wincci sudah pasti ramai yang kagumi. Wanita berketurunan Cina yang popular menerusi industri seni Melayu kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Sepanyol.
Kesempatan bertemu dengan figura ini di Program Budi@Seni Town Hall anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Universiti Multimedia (MMU) baru-baru ini, Soo Wincci akui dia tidak pernah berasa penat menimba ilmu.
“Bila saya mohon sambung pelajaran untuk PhD kedua, pihak universiti anggap saya gila. Mereka ambil masa selama lima bulan untuk periksa kesahihan sijil-sijil akademik yang saya miliki. Mereka seolah-olah tidak percaya. Akhirnya mereka terima dan saya sangat bersyukur.
“Sekarang ini saya ulang alik dari Sepanyol ke Malaysia. Walaupun ambil masa lebih kurang 16 jam untuk sampai ke tanahair namun saya sanggup terutamanya demi memberikan mesej terbaik dan perkongsian ilmu kepada pelajar-pelajar di sini,” tutur Soo Winnci sambil tersenyum manis.
Selepas diterima belajar dan mendapat biasiswa untuk menyambung pengajian kali ini, Soo Wincci akur bila dia tidak dibenarkan pulang ke tanah air dan biasiswa akan ditarik semula jika keputusannya tidak cemerlang.
“Ramai yang bertanya kenapa saya harus berterusan belajar sedangkan saya begitu cemerlang dalam akademik. Apa yang mendorong sebenarnya impian saya bukanlah sesuatu yang biasa.
“Secara jujur saya tak nak sambung PhD kedua tapi bila nampak industri seni pun sudah berubah saya perlu ikut rentak dengan pelbagai teknologi moden. Apa yang saya boleh bawa balik dari apa yang saya belajar adalah ilmu pengetahuan yang saya akan kongsikan dengan anak-anak muda,” sambung Soo Wincci yang sebelum ini pernah mengimpikan mahu menubuhkan sebuah akademi atau universiti sendiri.
.
Walaupun dirinya begitu popular di tanahair namun wanita ini menyifatkan segala penat lelah dan pengorbanannya meninggalkan seketika apa yang dimilikinya di Malaysia berbaloi dengan apa yang dicapai hari ini.
“Saya melepaskan semua di Malaysia untuk mengejar impian. Ini merupakan satu risiko yang amat besar. Daripada seorang artis yang hanya fokus dalam persembahan kepada penerbit yang perlu dilengkapi dengan ilmu teknologi, ia merupakan satu langkah besar yang perlu diambil.
“Selain itu, dengan tahap yang tinggi dan latihan yang bertubi-tubi, saya hampir putus asa. Tapi dengan keazaman dan kerja keras, pada tahun lalu iaitu 2018, saya berjaya mendapatkan ijazah sarjana yang kedua di sini. Pada saya, populariti tidak akan kekal lama, paling penting timbalah ilmu terutamanya pada golongan wanita,” sambung Soo Wincci yang turut pernah mencipta sejarah peribadi untuk Malaysia apabila sekali lagi tersenarai untuk mendapat dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR).
“Pengiktirafan tersebut terdiri daripada Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist. Sehingga kini, Wincci telah memiliki lima ijazah yang diperolehi dalam masa 15 tahun. Selain dua Ijazah Sarjana yang diperolehi di Sepanyol, Wincci juga memiliki Ijazah Undang Undang dari University of Reading, UK, Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (University of Sunshine Coast, AUS) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Universiti Terbuka Malaysia.
Famili Mahu Saya Kahwin
Soo Wincci mengakui di sebalik kejayaan yang diraihnya selama ini, terlalu banyak cabaran yang dugaan yang dilaluinya. Biarpun ada kalanya dia sendiri berasa tidak mampu untuk melalui kesukaran tersebut, namun dalam masa yang sama ia menjadi penyuntik semangat untuk berusaha lebih keras bagi mengatasi apa sahaja masalah yang ada di depan.
“Orang mungkin nampak seperti segalanya mudah bagi saya. Namun di sebaliknya itu ramai yang tidak tahu betapa saya melalui fasa jatuh bangun dan struggle sepanjang perjalanan saya untuk meraih apa yang di peroleh ini.
“Bukan sahaja tentang wang ringgit, tetapi banyak pengorbanan yang telah saya lakukan termasuk berjauhan dengan keluarga demi menggapai cita-cita saya yang ingin menimba ilmu setinggi yang mungkin, selain impian untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang muzik di luar negara.
“Mengenangkan susah payah itu, saya sentiasa ingatkan diri agar sentiasa fokus dan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja yang dilakukan dari sekecil perkara sehinggalah yang besar,” ujarnya. Tambah Soo Wincci pernah satu ketika dia berdepan konflik dengan kedua ibu dan bapanya yang berat hati untuk membenarkannya melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Berklee, Valencia, Sepanyol.
.
Malah katanya, dia mengambil masa yang agak lama untuk memujuk dan meyakinkan mereka tentang hasrat untuk menambah ilmu mencari pengalaman di luar negara.
“Memang pada mulanya keluarga terutamanya bapa saya, tidak menyokong hasrat saya untuk sambung belajar dalam bidang muzik di Sepanyol.
“Bapa tidak mahu saya susah dan berjauhan dengan keluarga lagi. Dia kalau boleh mahu saya kahwin sahaja. Namun saya seorang yang keras kepala dan tekad dengan apa yang saya mahukan dalam hidup saya.
“Berdebat jugalah dengan bapa sampai dia merajuk. Tapi lama-kelamaan dia boleh terima, apatah lagi bila nampak saya bersungguh-sungguh,” kata Soo Wincci yang sememangnya menjaga batasan pergaulan sebagai seorang wanita dan sentiasa menjaga nama Malaysia ketika berada di luar negara.