Petua kesuburan untuk isteri, keraplah main janggut suami. Kesejahteraan wanita dan kesuburan merupakan topik yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Terdapat pelbagai petua dan amalan tradisional yang dipercayai boleh membantu meningkatkan kesuburan wanita.
Petua Kesuburan Untuk Isteri, Keraplah Main Janggut Suami
Salah satu petua yang menarik perhatian adalah kerap bermain dengan janggut suami. Mungkin kedengaran aneh pada sesetengah orang, tetapi amalan ini dikatakan mempunyai pelbagai manfaat kesihatan wanita.
1. Mengurangkan Senggugut
Senggugut adalah kesakitan yang dialami oleh kebanyakan wanita semasa haid. Menurut kepercayaan tradisional, bermain dengan janggut suami boleh membantu mengurangkan senggugut. Sentuhan lembut dan perhatian yang diberikan semasa bermain dengan janggut suami boleh merangsang pengeluaran hormon endorfin, yang dikenali sebagai hormon gembira. Hormon ini berfungsi sebagai penenang semula jadi yang boleh membantu melegakan kesakitan senggugut.
2. Menstabilkan Hormon
Hormon yang seimbang adalah kunci kepada kesihatan reproduktif yang baik. Kerap bermain dengan janggut suami dikatakan dapat membantu menstabilkan hormon wanita. Proses ini melibatkan sentuhan dan komunikasi yang erat antara suami dan isteri, yang boleh mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan emosi. Keadaan emosi yang stabil adalah penting untuk keseimbangan hormon dalam tubuh wanita.
3. Menyuburkan Rahim
Salah satu faktor penting dalam kesuburan wanita adalah kesihatan rahim. Bermain dengan janggut suami dikatakan boleh membantu menyuburkan rahim wanita. Sentuhan dan kasih sayang yang diberikan oleh suami semasa bermain dengan janggutnya boleh meningkatkan aliran darah ke kawasan pelvis dan rahim. Ini boleh membantu meningkatkan kesihatan rahim dan memperbaiki peluang untuk hamil.
4. Meningkatkan Hubungan Suami Isteri
Selain daripada manfaat kesihatan, kerap bermain dengan janggut suami juga boleh mempereratkan hubungan antara suami dan isteri. Aktiviti ini melibatkan sentuhan fizikal dan komunikasi yang mesra, yang boleh meningkatkan keintiman dan kepercayaan antara pasangan. Hubungan yang harmonis dan penuh kasih sayang adalah asas kepada kehidupan berkeluarga yang bahagia.
5. Meredakan Tekanan
Tekanan adalah salah satu faktor yang boleh mempengaruhi kesuburan wanita. Bermain dengan janggut suami boleh menjadi aktiviti yang menenangkan dan menghilangkan tekanan. Apabila wanita merasa tenang dan santai, tubuh mereka berada dalam keadaan yang lebih baik untuk menyokong kesuburan dan kesihatan reproduktif.
Walaupun petua kerap bermain dengan janggut suami mungkin kedengaran luar biasa, ia adalah salah satu daripada banyak amalan tradisional yang dipercayai boleh membantu meningkatkan kesuburan wanita. Selain daripada manfaat kesihatan fizikal, amalan ini juga boleh mempereratkan hubungan suami isteri dan meningkatkan kesejahteraan emosi.
Namun, adalah penting untuk diingat bahawa kesihatan reproduktif adalah kompleks dan melibatkan pelbagai faktor. Oleh itu, sebarang amalan atau petua perlu dilakukan dengan bijaksana dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan jika perlu.
Baca artikel lain juga: Usah Salahkan Sesiapa, Suami Isteri Tidak Subur Masih Ada Harapan Dengan Rawatan IVF
Bersama 4-5 Hari Sebelum Waktu Subur, Peluang Dapat Anak Perempuan!
DR. Say Shazril Viral Setelah Terbuka Mengaku Dirinya Tak Subur
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Umur 2 Tahun Lengkaplah Gigi Susu Anak, Sebelum Rosak Ini 8 Tip Jaga Gigi Dari ‘A To Z’
Kata pakar, umur anak dua tahun gigi susunya dah lengkap. Sebab itu, ibu bapa memainkan peranan utama dalam menjaga gigi si kecil. Paling penting mulakan ia dari awal supaya menjadi rutin yang boleh diamalkan sehingga mereka meningkat usia. Nak tahu macam mana cara untuk jaga gigi anak sejak usia muda mereka? Ikuti tip di bawah ini.
- Untuk bayi yang belum tumbuh gigi, sebaiknya ibu membersihkan gusi bayi setiap kali selepas minum susu atau sekurang-kurangnya dua kali sehari.
- Bagi bayi yang menyusu pula, jangan biarkan anak-anak anda menyusu terlalu lama kerana ia boleh mengakibatkan rampant caries ( gigi berlubang dan hitam pada bahagian atas)
- Selepas minum susu (untuk bayi berumur enam bulan ke atas), berikan anak minum air putih. Tujuannya untuk membilas mulut daripada bakteria sebelum ini. Jadikan juga amalan untuk anak-anak yang lain supaya kerap minum air putih.
- Bagi si kecil yang berusia dua tahun dan lengkap gigi susunya, berikan berus gigi yang sesuai dengan usia mereka. Gunakan juga ubat gigi tanpa fluorida kerana mereka masih belum pandai meludah.
- Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. Setiap pagi selepas bangun tidur dan juga sebelum masuk tidur.
- Bawa berjumpa dengan doktor gigi setiap enam bulan sekali.
- Kurangkan makanan bergula.
* Ajar Teknik Memberus Gigi Dengan Betul:
- Dengan meletakkan berus gigi 45 darjah pada permukaan luar gigi belakang sebelah kiri, gerakkan berus gigi dalam gerakan membulat. Pastikan memberus gigi dan terutamanya di mana gigi bertemu gusi.
- Dengan gerakan membulat ini, perlahan-lahan gerakkan berus gigi sehingga ke gigi hadapan. Jangan terlalu cepat dan pastikan anda ambil masa hingga hilang semua plak dan kotoran. Teruskan memberus sehingga ke gigi belakang di sebelah kanan. Ulang cara yang sama untuk gigi bawah.
- Beruskan bahagian belakang gigi yang berdekatan lidah untuk gigi atas dan bawah.
- Seterusnya berus bahagian gigi yang mengunyah makanan
- Bersihkan berus gigi, letak pada lidah dan berus lidah secara lembut kerana lidah juga tempat banyak mengumpul bakteria.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hidup Wanita Lepas Berkahwin Lebih Sukar, Banyak Tekanan, Ini Faktanya
Isi Kandungan
ToggleHidup wanita selepas berkahwin lebih sukar memandangkan mereka mempunyai kadar tekanan yang lebih tinggi berbanding wanita bujang. Ada yang mengatakan tekanan lebih besar dirasai wanita berkerjaya kerana terpaksa menguruskan kerja di pejabat dan komitmen keluarga dalam satu masa.
Tidak kurang juga yang memperjuangkan susah payah suri rumah menguruskan anak, mengemas, memasak, melayan kerenah anak dan kehendak suami serta pelbagai cabaran lain.
Indahnya jadi seorang wanita dan isteri kerana sentiasa diangkat dan dihormati statusnya. Tapi mungkin ramai yang tidak tahu selepas berkahwin, kehidupan seorang isteri itu lebih sukar kongsi Ustazah Noor Laila Aniza ini.
Hidup Wanita Lepas Berkahwin Lebih Sukar
WANITA DAN TEKANAN
Selepas kahwin, lebih sukar kehidupan?
Jika ini sculpture yang dibuat,maka benarlah begini hidup wanita seluruh dunia digambarkan selepas berkahwin.
Kerana itu, disebutkan dalam pelbagai riwayat tentang mulianya akhlak Nabi sehingga Nabi uruskan dirinya sendiri, jahit baju,jahit kasutnya,siapkan makan keluarganya, Nabi buat kerja-kerja rumah, Nabi belai isteri-isteri baginda, Nabi bersihkan bekas haid isterinya, Nabi potong kuku isterinya, Nabi bantu ketika isteri Nabi naik unta sehingga Nabi letakkan pahanya ke tanah untuk dipijak isteri, Nabi paling banyak tersenyum, Nabi didik isteri dengan akhlak yang terbaik dengan perintah-perintah Allah, Nabi berlemah-lembut pada isteri baginda, Nabi tak pernah tinggi suara pada isterinya bahkan Nabi tak pernah menjerit-jerit atau memaki hamun.vIsteri Nabi juga diberikan pembantu untuk memudahkan segala urusan.
Bahkan Nabi orang yang paling banyak ibadah kepada Allah, paling sempurna imannya, paling rajin bekerja dan sangat jujur tidak pernah mengambil harta isterinya untuk tujuan peribadi. Allahu Akbar!
Jika sebegini high class akhlak Nabi dan layanan suami kepada isteri, selayaknya disebutkan Nabi, “Jika dibolehkan manusia sujud kepada manusia, nescaya aku perintahkan isteri sujud kepada suami”‘..
Dengan kata lain, selayaknya suami sebegini mendapat penghormatan dari isteri bukan sekadar kerana suami itu menafkahi isterinya, dan bukan sekadar kedudukan suami lebih tinggi dari isteri, tetapi disebabkan suami itu sendiri memuliakan isterinya.
Namun hadis ini disalah guna pakai untuk mengatakan kedudukan lelaki sebagai suami terlalu tinggi sehingga isteri perlu taat tanpa sempadan dan korban sehingga mati!
Satu kezaliman yang membunuh sifat kemanusiaan dalam rumah tangga itu sendiri.
Dan kesannya emosi wanita bercelaru dan sakit. Sehingga tekanan-tekanan itu membawa kegilaan dan anak tidak berdosa menjadi mangsa dibunuh, dicampak luar flat, ditikam, dikelar. Nauzubillahi minzalik.
Banyak Tekanan, Ini Faktanya
Belum lagi beban emosi wanita itu dihenyak lagi dengan suami yang mengambil duit isteri, mencuri harta isteri, menyuruh isteri berhutang, berjanji akan bayar balik, bila diminta dikata mengungkit, tak bersyukur, tak boleh sabar, menetapkan pula itu ini isteri kena bayar dengan alasan isteri bekerja kenalah bersusah bantu suami, kaki lepak, keluar masuk rumah ikut suka, curang disebabkan isteri tak pandai melayan dan macam-macam rencah kerenah kerana suami tidak diberi tanggungjawab sebagai lelaki yang perlu bersusah-payah bukan sekadar mencari nafkah untuk isteri tetapi juga mengurus tadbir keperluan keluarganya dengan baik dan sabar.
Baca artikel berkaitan di sini: Isteri Kian Hilang Rasa Hormat Pada Suami, Rumah Tangga Jadi Hambar
Isteri Sarat Mengandung 8 Bulan Meninggal, Penantian 4 Tahun Suami Tunggu Zuriat Berakhir Duka
Jika benar, seorang lelaki faham agama, pasti dan pasti akhlaknya seperti Nabi dan tiada seorang wanita akan terkoyak emosinya sebegini teruk. Dan tekanan-tekanan dari keluarga mertua, ipar duai sepupu sepapat, saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dengan pelbagai rencah hentaman, pandai cakap, tukang mengajar, kecaman, suruhan, perintah, teguran kononnya mana boleh lelaki buat kerja rumah, mana boleh jaga anak, semua benda suami yang buat, habis isteri buat apa…? Soalan yg tidak masuk akal, suami takut bini, suami kena guna-guna…isteri macam ini tak layak jadi ibu sebab tengok suami yang uruskan anak-anak..Allah…beban sangat tengok suami tu…derita sungguh suami perkasa kena buat semua kerja rumah…isteri tak tahu tanggungjawab….Isteri tak bersusah payah dengan suami. Desakan-desakan ini juga yang menambah sakit mental wanita.
Belum cerita tentang isteri ceaser belah perut yang kadang-kadang terkoyak balik jahitan dan bernanah dalamnya akibat gerakan yang banyak dan angkat benda berat, bahkan bertahun pun tak hilang lagi sakit ceaser itu. Punya bertarung nyawa untuk suami. Belum lagi cerita perut berparut seribu dan perut lembik macam kain buruk akibat mengandungkan zuriat-zuriat suami, longgar sana longgar sini dan suami hanya pandai komplen.
Belum juga kisah terkuburnya cita-cita selepas kahwin dengan ‘hukum buatan manusia’ lepas kahwin, isteri kena ikut suami. Tanpa kompromi, tanpa berbincang, ikut sahaja.
Seharusnya sebelum kahwin sudah jelas perancangan ke depan, dan kesediaan kedua-dua pihak supaya tiada sesiapa ditekan emosi. Jelas dan jujur.Jika tak sedia, janagn teruskan perkahwinan.
Nak sambung belajar, mak mertua kata tak perlu sebab perempuan lebih baik duduk rumah, mengasuh anak. Terkubur satu lagi hasrat dan cita-cita yang ditanam dgn semangat membara dari kecil hasil didikan ibu ayahnya…Anak perempuan siapa yang diperlakukan sebegini? Kezaliman apa sehingga dinafikan hak wanita untuk memperoleh apa yang dihajati dari kecilnya? Dunia apa yang dicorak untuk para isteri ini? Tekanan!
MULIA SUNGGUH MENJADI SURI RUMAH, TETAPI PASTIKAN SURI RUMAH YANG MERASA NIKMAT BAHAGIA, BUKAN DERITA STRES TEKANAN SEHINGGA SAKIT MENTAL DIBUATNYA! ALLAH…
Lalu dia diajar untuk reda, sabar, taat sedangkan tak cukup duit, ibu ayah perempuan pula yang kena tanggung bagi duit sebab suami tak cukup duit. Isteri yang tiada pemilikan apa-apa, terkulat-kulat lihat apa orang lain ada sedangkan dia juga punya angan-angan dan impian. Nak bagi duit pada mak ayah yang membelanya dari kecil juga tak mampu. Pemilikan isteri yang membunuh emosinya! Semua harap suami sedang suami tidak pula tak mampu memberi secukupnya bahkan berkira-kira pula! Ya Allah!
Ditambah suara-suara yang mengatakan isteri habiskan duit suami. Bahaya betul perkataan-perkataan jahat ini.
Sewajarnya selepas kahwin, lebih mudah hidupnya kerana lelaki meminangnya dengan janji untuk menjaganya, mengangkat martabatnya, melindunginya, meneruskan semangatnya untuk memperoleh cita-citanya dan perjuangannya.
Sama-sama bina cita-cita, sama-sama membangunkan antara satu sama lain, sama-sama bina keluarga, sama-sama didik anak…MashaAllah.
Sekalipun suami itu sangat baik, dibelanjakan hartanya untuk keluarganya,disiapkan tempat tinggal, makan pakai, dicebok anak-anak,dimandikan anak-anak, disuap makan, dibasuh baju anak isterinya, dia juga yang memasak, belum lagi dia dapat membalas jasa isterinya bertarung nyawa ketika melahirkan zuriat-zuriat untuknya bahkan zuriat-zuriat itu pula dengan rahmat Allah akan menjadi penolongnya ke syurga.
Suami juga tak pernah sekali pun gadaikan nyawa untuk melahirkan, antara hidup dan mati, tak pernah hilang kecantikannya akibat tidur yang tak cukup, bentuk badan yang dah tak sama, lelah yang tak habis menyusu dan fikirkan sakit anak dan pelbagai ragam anak siang malam yang tak pernah habis.
Bagaimana selepas selesai bersalin, isteri juga yang dukung anak bahkan isteri juga basuh baju anak dan suami. Ya Tuhan…
Bila isteri dah sihat sikit, berjalan bersama, isteri juga yang dukung anak…alasan anak nak pada ibunya..ke sana ke mari isteri gendong anak,suami jalan pegang hp di tangan.Ya Allah. Berat bawa perut pun tak pernah habis rasanya. Suami hanya bawa diri…Relak je suami. Sakit pinggang membawa perut mengandung pun tak pernah habis lagi!
Inilah realiti, apabila kita tidak menyediakan anak-anak lelaki kita sebagai hero dan penyelamat, sebagai pelindung dan sanggup bersusah payah bekorban untuk anak isterinya tapi kita cerita pada anak lelaki kita, lepas kahwin ada orang jaga dia…lepas kahwin lebih terurus hidupnya…
Berapa ramai yang bercerita lepas kahwin, kena jaga isteri dengan sempurna, isteri ini amanah, bantu isteri, buat kerja-kerja rumah, uruskan anak, jangan harap duit isteri, usaha sungguh-sungguh,jaga mak ayahnya, jadi laki-laki bermaruah, jaga solat di masjid/ surau/tempat azan dilaungkan, jaga Al-Quran setiap hari, jaga rumahtangga dan jangan khianat. Tidak ramai bukan?
Berapa ramai ambil tahu tentang impian isteri dan sama-sama usaha mendapatkannya atau setidaknya memberikan dia jalan lebih selesa untuk kehidupan rumahtangganya?
Malangnya, lelaki diajar menjadi raja, dan wanita diajar berkorban tanpa jemu. Sehingga semua pakaian suami perlu dicuci, digosok, disediakan sehingga di mana letaknya stoking pun, kalau tak jumpa, isteri juga kena marah.
Lelaki diajar makanan tersedia untuk dijamah, pinggan tak perlu cuci, rumah tak payah sapu, mop lagilah tidak, cadar katil tak payah tukar, masak tak payah, semuanya kerja orang perempuan…
Akhirnya isteri tarik muka, penat letih, tiada lembut lembut, hanya jerit pekik, marah tak tentu pasal, lalu dikatakan…oh isteri tak macam dulu, isteri derhaka, isteri tak memahami, isteri tak layak jadi ibu….
Takutlah pada Allah. Berlebih-lebihlah suami dalam membuat tugasan rumah. Berilah kerehatan dan belaian kepada isteri, penghargaan dan kasih sayang, urutan dan sentuhan, doa dan semangat, kerja keraslah untuk isteri anak-anak, bukan banayk komplen banyak marah, banyak tegur.
Takutlah kerana para suami akan menghadap Allah. Ikhlaslah dalam setiap khidmat pada keluarga. Nescaya,isteri akan jadi ibu ysng penyayang,isteri penyejuk mata ,manis wajahnya,dan lunak kata-katanya serta pasti dia menghormati suaminya. Anak-anak penuh kasih sayang dan ceria, tidak murung dan memberontak. Ajarilah isteri dengan didikan agama untuk memperbaiki Al-Quran dan solatnya.
Begitulah jika agama dipelajari, difahami, diamalkan. Tidaklah kita memandai-mandai menzalimi wanita. Jadilah wanita yang bersyukur. Sayangi suamimu dan berlemah-lembutlah, rendahkan suaramu dan janganlah dikeluarkan kata-kata yang tajam. Tetaplah dalam kesabaran, doa, solat dan peliharalah auratmu, labuhkan tudungmu, longgarkan pakaianmu dan pakailah baju berlengan panjang. Nikmat mana lagi yang mahu engkau dustakan wahai wanita?
Berdoalah supaya bahagia sampai syurga paling tinggi dan bertaubatlah bagi yang menyakiti tanpa sedar. Berbincang dan berdoalah.
Buat para isteri, tetaplah membantu suamimu untuk apa juga urusan kerja rumah dgn ikhlas dan bersyukurlah atas pemberiannya. Jangan jadikan suamimu tempat untuk ditengking jerkah, disuruh itu ini tetapi mohonlah pertolongannya dengan kata yang lunak dan baik. Bertolak ansurlah dalam urusan-urusan rumah tangga dan maafkan kekhilafan suamimu. Bertolak ansur dan belas kasihan adalah kunci untuk tidak mencari salah pasangan. Tetapi sama-sama sepakat, sama-sama membantu segala urusan rumahtangga.
Pastikan tulisan ini dibaca dengan ilmu bahawa kisah ini berkaitan wanita dan tekanan. Janganlah dengan post ini, menghilangkan hormat isteri kepada suami tetapi bawalah berbincang. Tidak ada suami yang mahu isteri yang dinikahi tertekan. Cuma mungkin si suami terlepas pandang.
Tahniah untuk isteri yang ikhlas membuat kerja-kerja rumah kerana mencari redaAllah.
Tahniah buat suami-suami yang telah menjaga para isteri tuan-tuan dengan sempurna, Allah berkati hidup tuan-tuan.
Terima kasih suamiku kerana menjadi hadiah terbaik dari Allah buat diriku dan anak-anak. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa engkau suami dan ayah yang mulia.
Sumber: Noor Laila Aniza
Kredit foto: Freepik
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Wanita Ini.. Tun Dr Siti Hasmah Akan Sentiasa Menjadi Ibu, Ratu Di Hati Kita
Isi Kandungan
ToggleMei ini bulan untuk anak-anak meraikan, menghargai pengorbanan, susah senang ibu yang melahirkan diri kita ke dunia ini. Bukan mudah cabaran yang ibu lalui untuk membesarkan kita. Walau sejahat mana pun seseorang ibu itu, dia tetap ibu yang mengandungkan selama 9 bulan dan melahirkan kita. Jadi berterima kasihlah untuk pengorbanannya yang satu itu.
Kisah Tun Dr Siti Hasmah yang MW kongsikan ini dicatatkan kira-kira 2 tahun lalu. Ketika itu, Tun Dr Mahathir tak memegang sebarang portfolio di dalam pemerintahan negara. Parti Bersatu juga belum ada namanya. Dengan berseloroh, Tun Hasmah meminta kami memberikan nama parti yang suaminya mahu tubuhkan.
“Saya susah hati, bila awak nak buat cerita ini.” Itulah kebimbangannya ketika majalah Mingguan Wanita mahu menjadikan dirinya wajah muka depan. Dan ketika itulah, beliau berkongsi rahsia dengan kami. Alhamdulillah, hasrat Mingguan Wanita ketika itu Allah mudahkan dan berjalan lancar.
Saya kongsikan kembali cerita yang pernah tersiar dalam majalah Mingguan Wanita, Bilangan 1710, keluaran 26 Ogos – 1 September 2016. Di kesempatan ini Mingguan Wanita mahu mengucapkan ‘Selamat Hari Ibu’ buat wanita-wanita bergelar ibu di luar sana. Sesungguhnya pengorbanan anda tak ternilai dengan wang ringgit. Moga perkongsian Tun Hasmah ini menjadi kekuatan untuk kita betapa isteri itu tempatnya tetap di sisi suaminya dalam susah mahupun senang.
Enam Bulan Pertama, Seharusnya Ibu & Anak Bina Bonding Bersama – Tun Hasmah
Tengah hari Jumaat itu, sama seperti Jumaat yang lainnya buat Tun Dr Siti Hasmah Haji Mohamad Ali. Rutinnya melayani suami, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anak-anak mahupun menantu makan tengah hari sementara menanti waktu solat Jumaat di Masjid Negara.
Selesai penggambaran, Rozlina menitipkan pesan. Minta kami ‘berehat’ seketika sementara Tun Hasmah mengisi waktu tengah hari itu bersama Tun Mahathir yang berkunjung ke Yayasan Albukhary.
Rupa-rupanya hari itu Tun Hasmah sedang berpuasa (puasa di bulan Syawal). Jadi masa untuk kami berbual lebih panjang lagi. Mengenali mantan wanita pertama negara selama 22 tahun ini begitu menyenangkan sekali.
Nyamannya keberadaan Tun Hasmah di ruang pejabat membuatkan kami tidak merasakan sesi bicara itu bagaikan sebuah temu ramah. Setiap tutur katanya sarat pesanan. Bagaikan ibu yang menasihati anak-anaknya yang masih mentah. Soal wanita kerjaya, nilai seorang isteri, kasih ibu dan harapan Tun Hasmah kami kongsikan dalam ruangan wajah penghias edisi istimewa ini.
“Selepas beberapa tahun belajar di universiti dengan belanja sejumlah wang ibu bapa, akhirnya wanita mula bekerja dan menjadi profesional. Apabila mereka berkahwin dan bersalin akan timbul satu lagi cabaran untuk mereka. Mahu dihantar ke mana anak-anak ini. Ini satu masalah dan saya boleh memahaminya.
“Sudahnya kita serah kembali kepada ibu tadi untuk memilih mana yang lebih penting buatnya. Sekiranya dia seorang profesional dan bertaraf tinggi, katakan ada sokongan kewangan daripada suami mahupun ibu bapa ibu perlu buat keputusan.
“Meletakkan anak di pusat jagaan boleh menyelesaikan masalah. Tapi itu membuatkan ibu hilang kemesraan dengan anak. Enam bulan yang pertama seharusnya ibu dan anak mencipta ‘bonding’ bersama.
“Sekiranya kerjaya itu penting bagi dirinya dan negara. Bertahan dahulu, usahakan cari pengasuh yang boleh diharapkan. Majikan juga boleh membantu ibu dengan menyediakan pusat asuhan di tempat kerja. Ketika tiba waktu menyusu, ibu boleh memberikan penyusuan. Keselamatan anak juga terjamin. Hati ibu senang, majikan juga tidak kerugian.
“Namun pelaksanaannya tak banyak. Mungkin kita belum sampai hal nak mengkaji tentang persediaan sebegini; majikan tidak sungguh-sungguh, ibu yang ada anak pula tidak faham apakah yang akan mereka dapati dengan kemudahan sebegini. Ini pun satu aspek yang akan memperoleh keuntungan. Sebahagian daripada tanggungjawab sosial majikan. Pasti pekerja wanita berterima kasih kerana majikan memahami apa yang mereka hadapi,” turut Tun Hasmah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-90 baru-baru ini.
Ini Rupanya Didikan Mak Ayah Tun Dr Siti Hasmah
Anak kelahiran Klang, Selangor ini merupakan doktor wanita pertama di negara ini. Beliau menamatkan pengajian perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan tahun 1955 bergelar mahasiswa perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Singapura (ketika itu).
“Mak dan ayah saya berkahwin pada usia terlalu muda. Umur mak, 16 tahun manakala ayah, 20 tahun. Apabila tiba pada saya, kata ayah ‘Hasmah, habiskan pengajian sebelum berkahwin’. Mungkin ayah melihat mak mengandung 13 kali namun 10 saja yang ‘survive’.
“Gaji ayah waktu itu minimum. Berkahwin awal pada masa yang tak sesuai membuatkan apa yang diimpikan tidak tercapai. Seharusnya, dorong mereka agar capai cita-cita. Sebab itulah anak-anak muda khasnya wanita perlu jaga diri. Beritahu mereka keistimewaan yang tuhan beri dan kenali anatomi tubuh.
“Ibu bapa tak akan beritahu anak-anak tentang pengetahuan seks. Kita masih lagi berpegang pada budaya malu untuk berkongsi hal-hal sedemikian. Tapi sekarang sudah ada Internet. Kalau ibu tak kongsi, mereka cari dari Internet. Kalau berjumpa kawan yang betul dan benar, mereka boleh menjaga keperibadian. Andai tiada siapa yang memandu, hilanglah nilai moral anak ini tadi,” jelas ibu kepada Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Ingatannya lagi, agar ustaz mahupun ustazah mengambil peranan yang benar-benar ikhlas dalam memberi penerangan perihal realiti kehidupan ini kepada anak-anak ini.
“Saya sendiri ada adik-beradik lelaki dan perempuan. Saya tahu dan faham. Bagaimana pula adik-beradik yang tiada lelaki, mereka akan bermasalah.”
Terangnya lagi seharusnya pendidikan seks ini didedahkan kepada anak-anak ini seawal usia 10 tahun. “Sebaiknya sebelum mereka didatangi haid. Lebih awal mereka didatangi haid, lebih cepat mereka alami putus haid.”
Wanita Di Sebalik Tun Dr Mahathir
Cemerlangnya Tun Mahathir menerajui Malaysia dikenali kemasyhurannya sehingga ke luar negara. Dalam mana-mana acara rasmi ataupun tidak rasmi, Tun Hasmah sentiasa tenang di sisi suami.
“Ada yang kata, ‘behind every successful man, there is a woman. Kalau kata-kata ini dibacakan depan-depan saya, saya akan kata ‘No… behind every successful man, there is a woman, not any woman but his wife. Kadangkala saya tambah, ‘not any wife but 1st wife,” seloroh Tun Hasmah dalam nada serius.
“Selepas arwah ayah saya bersara, Tuanku Sultan Selangor. Menjemputnya jadi Presiden Majlis Agama Selangor. Waktu itulah dia keluarkan arahan mengatakan mana-mana lelaki yang mahu berkahwin lagi satu mesti mendapat kebenaran isteri yang pertama. Dapatlah Selangor membendung poligami. Apabila ayah tiada, semua balik kepada boleh.
“Saya bukan keras sangat berkenaan poligami. Katakan pasangan yang sudah berkahwin terlalu lama dan inginkan anak, jika poligami caranya. Relakanlah. Kalau ada anak, Alhamdulillah. Tapi jangan salahkan isteri. Buat siasatan menyeluruh dan ketahui siapa punca masalah,” ceritanya lanjut.
Tun Hasmah sedar posisinya sebagai isteri seorang yang sarat tanggungjawab. “Kita tahu taraf profesional kita sama tapi dari segi politik, saya tak tahu apa itu politik pun.”
Perkahwinan ‘sweet couple’ ini sudah mencapai usia 60 tahun. Kemesraan Tun Hasmah mahupun Tun Mahathir sentiasa saja menjadi perhatian para netizen. Apa juga perkongsian cinta tentang keduanya begitu indah untuk dijadikan panduan.
“Kadangkala ada yang bertanya macam mana boleh sampai 60 tahun? Jawapannya kepercayaan. Kita percaya dan yakin suami kasih dan sayang. Pasangan mesti ada keyakinan sebegitu untuk suami atau isteri. Jadi tiada kebimbangan di hati.”
Nasihat beliau, para isteri tidak perlu melenting andai terjadi konflik dalam rumah tangga. Beliau sendiri ada ketikanya tergelincir juga dalam kata-kata hingga mengundang rasa kurang senang Tun Mahathir.
“Kalau suami saya tak sedap hati, dia diam saja. Kadangkala dalam motokar pun dia diam. Tak boleh buat-buat cakap. Mesti ada yang tak kena. Jadi sampai rumah kami akan selesaikan.
“Kita kadangkala ada kelemahan. Selalunya kekecewaan suami apabila saya selalu menyebelahi anak-anak. Bukan apa, anak-anak kita kecil lagi jadi dia tak boleh pertahankan diri. Bila suami tegur, saya pertahankan dan dia marah. Saya fahamkan diri dan jangan sampai tiga hari tak tegur.”
Tun Hasmah kekal menjadi ibu yang dekat dengan anak-anak. “Ketika ini Is (Mukhriz) dah keluar banyak jawatan. (Ketika artikel ini ditulis, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir tak lagi memegang apa-apa jawatan dalam politik). Anak-anak perlu sedar keadaan ayahnya tak seperti dulu. Jadi mereka juga perlu faham kehidupan tidak lagi seperti sebelumnya. Kadangkala saya tuturkan dengan anak-anak atau menantu. Kebimbangan itu tetap ada.”
Dalam Usia Ini Macam-macam Perkara Boleh Berlaku
Meniti hari-hari yang semakin melewati mengundang muhasabah diri yang dalam. Bagi Tun Hasmah sentiasa mengharapkan agar diberi kesihatan diri bukan saja untuk dirinya malah semua wanita perlu ada pengharapan sebegitu.
“Semoga dapat menjaga taufik dan hidayah daripada tuhan. Elakkan apa yang akan mencetuskan kecil hati atau apa saja yang boleh menyakitkan suami kita. Kita juga perlu sentiasa prihatin dengan kemahuan suami.”
Apatah lagi, dalam melewati usia separuh abad ini bermacam-macam perkara boleh berlaku. Apabila tiba pada saat kecemasan, Tun Hasmah tidak begitu mengharapkan suaminya mampu bertindak pantas.
“Saya tak yakin yang suami saya boleh menelefon atau keluar mencari bantuan. Dia tak pakai telefon. Segala-galanya orang lain yang uruskan. Sekarang ini saja baru dia pandai pakai telefon.
“Dulu dia perdana menteri. Arah saja. Sebab itu saya perlu ada di sisinya. Kalau dia dalam kecemasan saya ada di situ dan dapat bertindak cepat. Dalam saat kecemasan, saya tak harapkan suami saya.
“Ada satu hari saya diserang cirit-birit dan muntah-muntah di tengah malam. Saya minta dia carikan doktor untuk ambil ubat hemodium. Dia tanya saya macam mana dan bermacam-macam soalan. Akhirnya saya minta dia cari doktor yang bersebelahan dengan suite kami. Lama dia pergi. Saya fikir ke manalah dia sesat. Sampaikan saya lega sedikit dan baring. Suite yang kami duduk ini ‘special’ ada banyak pintu.
“Tak lama saya dengar pintu saya diketuk. Saya bangun dan dengar ‘who is this?’ tanya saya, ‘Dr Mahathir, I want to see Doctor Nasir’. Saya buka pintu dan tarik dia masuk. Rupa-rupanya dia cuma berpusing saja dalam suite kami jam 2.30 pagi itu.”
Tun Hasmah, Wanita Kental Di Sisi Suami
Pada 17 Januari 1989, Tun Mahathir mengalami serangan jantung dan dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Ketika itu, Tun Hasmah tidak pernah jauh dari suami tercinta.
“Apabila suami diserang penyakit, kita tidak ada lain pilihan melainkan isteri mesti bersama suami. Kita tidak pernah tahu lama mana hayatnya. Nyawa kita dipegang tuhan. Keadaan boleh bertukar sekelip mata. Hari ini kita tengok dia esok, esok belum tentu. Bimbang ada penyesalan.
“Dua minggu suami saya di hospital, dua minggu itulah saya menjadi ‘person accompany patient’. Dan selama 50 hari Tun di hospital, 50 hari itulah saya bersamanya. Waktu itu bulan puasa, angkasawan negara waktu itu naik dari bulan dan sampai dia sudah balik pun saya masih bersamanya.
“Kita tahu jururawat cukup cekap. Walaupun jururawat itu maklumkan anggap dirinya bagaikan anak. Tapi apabila tiba ke tahap membersihkan bahagian sulit, isteri perlu memainkan peranan.
“Tun lebih selesa saya yang uruskan hal itu. Yang mana, isteri-isteri segan nak buat bila suami dalam keadaan sihat. Ada kalanya dalam keadaan itu, kita tidak boleh tahu iman seseorang.
“Ketika Tun menahan sakit dan waktu dia sudah hampir putus asa, dia menulis surat wasiat di dalam beg. Saya pujuknya agar baca ayat Kursi. Katanya, dia sudah baca tapi tidak tahan sakit. Sampailah saya terpandang sebuah jurnal yang di dalamnya ada gambar Tun memakai baju Melayu biru dan bersongkok.
“Saya nampak segaknya lelaki di dalam gambar itu. Saya beri padanya dan tegaskan, ‘I brougth this man to hospital with cardial attack. I want to bring this man alive’. Dalam keadaan sebegitu kita kena kuat semangat dan tunjukkan diri tak lemah atau putus asa. Saya kira, mana-mana wanita lain pun kena begitu,” tutur Tun Hasmah mengakhiri bicara.
Alhamdulillah, Allah telah berikan kesihatan yang baik buat Perdana Menteri Malaysia ke-7 ini. Doa kami rakyat Malaysia, agar Tun Dr Siti Hasmah dipelihari olehNya dan sihat sentiasa. Kerana wanita di sisi Tun Dr Mahathir Mohamad inilah sumber kekuatan sebenar yang tuhan anugerahkan untuk Perdana Menteri kita yang disayangi ramai ini.
Selamat Hari Ibu.
Foto: Shahir Osman & Halim Wahid
Solekan: Saidatulnisa Aminuddin
Lokasi: Yayasan Albukhary Kuala Lumpur
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI