Petua Cinta Untuk Orang Lama, Boleh Elak Si Dia Dari Buat Perangai

Share

Bila rumahtangga dah ‘berusia’, cinta pun makin suram. Akan ada cabaran dan ujian yang selama ini kita langsung tak sangka.

Nak-nak pula bila ada diuji dengan ‘orang ketiga’ yang muncul tanpa diundang. Masa ini, golongan isteri lah makn hati. Suami pula tiba-tiba jadi ‘tersuka’ tanpa sengaja.

Parah, akhirnya rumahtangga goyang! Haa… Sebab itulah pentingnya membelai cinta walau dah lama jadi suami isteri dan anak berderet. Cuba cedok ilmu rumahtangga daripada Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ini, mana tahu cinta yang suram makin meranum.

PETUA CINTA UNTUK ‘ORANG LAMA’

Suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu, hormon testosteron akan berkurangan dan menyebabkan sering berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropaus yang mengakibatkan kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah, cepat merajuk, mudah terasa tertekan dan mood yang berubah-ubah.

Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.

Manakala dalam hal interpersonal pula, lelaki mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya yang semakin menyusut.

Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya.

Malah, lebih menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalin hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” akan berlaku curang!

Bagi kaum wanita pula mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri.

Fokusnya lebih kepada ke“aku”annya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu, ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.

Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam ialah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga.

Selagi berpegang kepada akidah, syariat dan akhlak Islamiah, lelaki  andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.

Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur.

Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu… maka kembalilah ke pangkal itu.

Published by
Nadia