Sejak remaja lagi, Baim gemar memancing. Baginya, aktiviti memancing dapat menghilangkan segala tekanan dan secara tidak langsung boleh menjana pendapatan sampingan jika kena caranya.
Mujurlah isteri tercinta amat memahami keadaan dirinya, jadi jika ada terluang, Baim akan peruntukkan waktu untuk mencari lubuk baru. Jika banyak hasilnya, banyaklah rezeki untuk keluarga kecilnya. Minggu ini, Baim dam tiga orang sahabatnya memilih untuk ke Tasik Andaman di utara tanahair.
Sedari awal, hatinya merasa cukup berat untuk meninggalkan isterinya, Naimah yang tengah sarat mengandung anak ketiga. Tetapi setelah dipujuk isterinya, dia jadi tenang untuk teruskan perjalanan. Lagi pula ibu mertuanya datang menemani isteri dan anak-anak. Terasa lega hatinya.
Usai subuh, mereka memulakan perjalanan. Setibanya di lokasi, bot yang disewa telah menanti di jeti untuk bertolak ke Tasik Andaman. Perjalanan ke sana mengambil masa satu jam. Setelah mengambil “port” terbaik, mereka mula memasang khemah. Baim selaku tukang masak meminta sahabatnya, Haikal dan Isa memasang api bagi memudahkan aktiviti memasak.
Sementara menunggu nasi masak, Baim cuba merebahkan tubuh dan akhirnya dia terlelap. Tidur yang nyenyak diganggu mimpi yang pelik. Terus Baim tersedar dan rupanya sudah maghrib. Tanpa melengahkan masa Baim mengambil keputusan untuk mandi dan solat sahaja. Ketika mengambil wud uk, dirinya tercium bau yang sangat harum.
Hatinya terdetik untuk bersuara tetapi tidak jadi apabila tersedar mereka berada di dalam hutan. Selesai solat, mereka bertiga makan malam sekenyangnya sebelum memasang jala untuk menangkap ikan.
Sekali lagi ketika memasang jala, bau harum bunga tadi menerpa lagi. Kali ini Zainal dan Isa pun turut menghidunya apabila masing-masing berpaling melihat antara satu sama lain. Namun demikian, masing-masing seakan tidak mempedulikan apa yang berlaku dan terus memasang jala.
Rezeki Tidak Dijangka
Malam itu, sementara menunggu hasil, mereka ertiga hanya bersantai sambil bercerita tentang perkembangan masing-masing. Menjelang satu pagi, Isa mengajak Baim memeriksa jala yang dipasang. Agak mengecewakan apabila ketiga-tiga jala yang dipasang di kawasan yang berbeza langsung tidak menjerat ikan.
Biar pun kecewa, mereka tidak menyerah kalah. Jam tiga pagi sekali lagi melihat jala yang dipasang, jala pertama dan kedua tiada ikan. Manakala jala yang ketiga hanya ada seekor ikan unik. Ikan kecil itu meronta-ronta minta dilepaskan. Tanpa berfikir panjang, Baim melepaskan ikan itu.
Kecewa dengan situasi itu, mereka bertiga mengambil keputusan untuk tidur sahaja dan teruskan perjalanan pada esok pagi. Dalam lena yang kurang dua jam, Baim sekali lagi didatangi seorang puteri dalam mimpinya. Puteri itu berterima kasih atas pertolongan Baim dan menjanjikan akan memberi rezeki lebih kepada Baim dan rakan-rakan.
Baim tersedar apabila telefonnya berbunyi. Setelah menunaikan solat Subuh dan bersarapan, Baim dan rakan-rakannya merancang untuk mencari lubuk lain sahaja mengenangkan masih tiada rezeki mereka di situ. Ketika ingin mengubah jala, tiba-tiba Isa menjerit kegembiraan apabila melihat jala mereka dipenuhi ikan.
Barangkali itulah rezeki berganda yang dijanjikan puteri yang muncul dalam mimpi. Bagi Baim, segalanya berlaku secara kebetulan kerana setiap rezeki datang-Nya dari Allah SWT.