Kalau sebelum ini, ada musim-musim perkahwinan terutamanya cuti sekolah. Tapi sekarang ini setiap minggu ada saja pengantin baru yang naik pelamin. Perkahwinan yang dibina agar terus berkekalan hingga ke akhir hayat.
Dalam kesibukan membuat persiapan sebagai pengantin baru, jangan dilupa tentang ilmu-ilmu rumahtangga. Bimbangnya majlis begitu gah, tapi hanya bertahan berapa lama saja. Minta dijauhkan.
Sebab itu, pentingnya ada ilmu rumahtangga dan faham tentang tanggungjawab selepas berkahwin. Malah, ada beberapa titipan penting yang diberikan oleh peguam syarie ini buat pengantin baru.
Walau bagaimanapun, perkara penting yang dibentangkan oleh Khairul Fahmi Ramli, peguam syarie ini bukanlah rujukan pengantin baru tapi sebagai panduan juga untuk pengantin lama. Semoga perkahwinan kekal ke jannah.
Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Berkahwin Lain BUKAN Bermakna Lupakan ARWAH Suami, Tak Perlu Meratapi Kematian SETIAP Masa
Adik Beradik Bila Berkahwin, Elak Ipar Jadi ‘Seteru’, Hormatilah Cara Mak Ayahnya Besarkan
Info Lebih Menarik DI SINI
Pengantin Baru Atau Lama, Kena Tahu Perkara ini
10 Perkara Penting “Pengantin Baru” kena buat untuk elak perceraian.
Kadang kala, semasa nak jadi pengantin baru ni, ada pasangan yang mungkin tak ambil tahu tentang persiapan yang perlu selepas kahwin. Bukan terlambat, cuma jangan tidak ambil tahu langsung.
Selepas berkahwin, banyak cabaran besar bakal berlaku kepada pasangan baru. Khususnya hal yang berkaitan pengurusan dan undang-undang keluarga Islam. Jika enggan peduli tentang isu ini, pastinya akan berlaku keretakan besar istana yang dibina.
Jadi, saya nak kongsikan 10 perkara penting kepada bakal pengantin baru perlu ambil peduli selepas kahwin kelak.
1. Teruskan belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam
Selepas saja suatu pasangan diakadnikah, mereka perlu tahu bahawa mereka sudah terikat dengan Undang-undang Keluarga Islam. Jadi, mahu atau tidak, suami dan isteri perlu belajar tentang ilmu kekeluargaan Islam.
Khususnya perkara yang penting untuk diketahui berkaitan dengan hak suami isteri selepas kahwin, hak anak, hak selepas perceraian dan hak suami isteri jika berlaku kematian.
Memang kita tak mahu cerai dan mati, tapi kita perlu tahu, ajal dan jodoh atas ketentuan Allah. Mahu atau tidak, kita perlu terus belajar dan ambil peduli tentang perkara ini.
2. Suami kena sedia tempat tinggal yang selesa & berasingan kepada isteri
Rumah adalah keperluan wajib untuk suami sediakan kepada isteri. Sebaiknya, rumah ini disediakan berasingan daripada orang lain termasuk ahli keluarga suami atau keluarga isteri.
Jika suami dan isteri ‘PJJ’ atau perkahwinan jarak jauh, tidak tinggal bersama, suami tetap wajib sediakan rumah kepada isteri. Boleh sewa atau beli, yang penting disediakan tempat tinggal yang selesa dan berasingan kepada isteri. Ini termasuklah perbelanjaan rumah seperti elektrik dan air perlu dibayar oleh suami.
3. Rancang kewangan dengan bijak
Salah satu sebab terjadinya pergaduhan suami isteri sepanjang karier saya, didapati banyak pasangan yang bercerai diawal usia perkahwinan adalah disebabkan ‘duit tak cukup’ atau bergaduh ‘sebab duit’.
Pada saya, untuk elakkan pergaduhan tentang wang ringgit, mesti perlu ada budget atau perancangan kewangan yang bijak serta mesti dipatuhi suami isteri. Kalau negara kita ni pun, sampai berdebat dalam Parlimen untuk budget diluluskan, maka amat penting jugalah suami isteri bincang betul-betul budget bulanan dan tahunan.
4. Masukkan nafkah belanja isteri secara online transfer setiap bulan
Jika suami itu seorang anggota tentera, pasti tak ada isu tak dapat Nafkah sebab anggota tentera wajib ada potongan kepada isteri. Mungkin isu yang timbul adalah isu tak cukup nafkah. Itu perkara lain. Namun, contoh ini patut diteladani oleh pasangan yang lain.
Setiap bulan, suami wajib masukkan duit belanja isteri ke dalam akaunnya bagi mudah membuktikan bahawa pemberian nafkah berlaku. Sekiranya duit yang hendak diberikan suami itu termasuk duit rumah, perbelanjaan isi rumah dan anak-anak, perlulah masukkan sejumlah wang yang wajar. Janganlah masuk setiap bulan RM200, tapi duit itu jugalah untuk isteri bayar sewa, beli barang dapur, beli barang anak. Memang tak cukup sangat lah.
5. Dapatkan nasihat atau kaunseling jika berlaku perbalahan
Sekiranya berlaku pergaduhan suami isteri, segera dapatkan khidmat kaunseling di Pejabat Agama. Jangan pendam anda.
Tidak semestinya suami yang perlu mohon kaunseling, isteri secara bersendirian boleh mohon untuk kaunseling walaupun suami enggan kaunseling.
6. Adu pada keluarga sebarang masalah, jangan pendam
Setiap isu dan permasalahan yang timbul, andai perkara itu kecil macam mana sekalipun, jangan simpan sendiri. Ada yang ahli keluarga tak tahu sebarang masalah, kerana tak pernah diberitahu.
Misalnya sering berlaku pergaduhan fizikal, duit belanja tak cukup dan lain-lain. Kadang ahli keluarga bukan nak suruh cerai, tapi nak jadi orang tengah yang boleh bawak berbincang. Kalau nak nikah dulu pun pakai ahli keluarga untuk bercakap, takkan bila jadi isu, kita abaikan mereka.
7. Buang tabiat lama yang negatif
Jika semasa bujang, ada tabiat merokok misalnya, selepas kahwin patut buang kerana duit belanja harian akan bazir dan bahaya kesihatan anak isteri. Begitu juga dengan tabiat lain isteri, kalau masa bujang banyak bergaul mesra dengan rakan sekerja, maka selepas kahwin, perlu ada batasannya.
Sama juga dengan hobi yang mungkin tak bagus untuk perkahwinan. Contohnya, suami asyik main game tak kira waktu siang malam sebab biasa buat semasa bujang, hobi tu patut dibuang atau dikurangkan. Ini adalah salah satu punca pasangan muda bercerai zaman ini.
8. Siang waktu bekerja, malam waktu bersama keluarga
Kalau dulu zaman bujang selalu lepak di kedai mamak waktu malam untuk tengok bola dengan kawan-kawan, selepas berkahwin perlu ada hadnya. Khususnya ketika pasangan yang baru ada anak kecil.
Siang anda sudah spend masa untuk bekerja dan bersama pekerja, maka waktu malam apa salahnya menggunakan waktu sebaik mungkin untuk bersama anak isteri. Apa salahnya tonton bola kegemaran anda di rumah bersama anak isteri kan?
9. Jangan sembunyikan perkara penting
Tolong jangan sembunyikan apa-apa maklumat khususnya berkaitan dengan hutang, harta yang dimiliki dan tanggungan yang ada sebelum dan selepas kahwin. Kadang-kadang ada wanita yang tak tahu, rupanya suami yang dikahwini tersebut mempunyai isteri lain dan anak-anak terdahulu.
Begitu juga setiap pasangan, jangan ada meletakkan password telefon atau apa-apa password bank yang tidak diketahui kepada setiap pasangan. Meletakkan password yang tidak diketahui ini pasti akan menimbulkan rasa curiga dan boleh sukarkan pasangan untuk keluarkan duit bank jika kematian anda bagi urusan terdesak.
10. Utamakan perbelanjaan isteri dan anak sebelum diri sendiri dan orang lain
Bila dah kahwin, suami wajib meletakkan keperluan isteri dan anak lebih penting daripada segalanya sebab suami yang sanggup nak pikul amanah tersebut. Kalau tidak, apa guna nikah kalau belanja isteri pun tak mampu. Belum lagi dapat anak yang perbelanjaannya pun agak tinggi sekarang.
Kadang-kadang, ada yang tak mampu tanggung diri sendiri pun, tapi nak juga nikah.
Akhirnya, diri terbeban bukan sebab tak mampu, tapi sebab asyik ditakuk yang lama. Jangan nafkah anak dan isteri terabai sudah la.
Mingguan Wanita : Rasanya, perkara yang selalu dibangkitkan bila berlaku perceraian tentunya tentang nafkah isteri, curang dan sebagainya. Sebab itu, sebelum kahwin kena tahu ilmu rumahtangga.
Sumber; Fahmi Ramli
Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI