Pesan Ustazah, Buat Cara Ini Cegah COVID-19 Bila Berjumpa Orang Ramai

Share

Penceramah bebas, Ustazah Asma Harun pun sama terkesan dengan bahaya wabak Covid-19 ini. Atas sebab itulah, sebelum memulakan mana-mana kuliyah atau ceramah, ustazah lebih senang lakukan langkah berjaga-jaga ini.

Semoga mak ayah pun lebih prihatin dengan situasi yang sedang melanda negara. Dan ambil prihatin dengan nasihat yang ustazah berikan ini.

Jadikan Rutin Ini Elak Covid-19

Sekarang menjadi rutin, apabila selesai kuliyah atau ceramah saya akan buat pengumuman, elakkan bersentuhan jika tidak perlu, contohnya bersalaman dan lebih lagi peluk cium pipi. Kita tidak kenal siapa dan datang daripada mana.

Saya juga tidak mahu menjadi penyebab kepada penularan wabak ini. Bayangkan jika ada jemaah yang hadir ada kontak dengan mana-mana kes, kemudian bersalaman peluk cium dengan saya, kemudian saya pula bersalaman peluk cium pipi dengan lebih ramai yang hadir. Bagaimana kita nak jejak semua kontak ini.

Saya lebih selesa mengangkat tangan di dada sebagai tanda hormat, sayang dan mesra. Cukuplah dengan kita dah saling berkasih sayang di hati walaupun daripada jauh.

Siapa yang sudah biasa, memang daripada sebelum berlaku wabak ini, saya suka berpesan kepada yang ingin bersalam tak perlu berpeluk cium pipi atas banyak faktor, ianya akan mengambil masa yang lama, saya akan lenguh leher bila pusing kiri dan kanan dengan kadar kekerapan beratus kali, mungkin ribu kali dalam satu-satu sesi, ramai yang gelak bila saya sebut begini kerana mereka juga tahu penat.

Baca sini :’Tak sempat makan, terdedah heat stress..’ Realiti petugas khemah saringan Covid-19.

Ustazah Bimbang Bawa Penyakit Ke Rumah

Sebenarnya ia lebih kepada faktor kesihatan dan keselamatan, saya sendiri kerap sakit, adalah lebih bimbang jika saya bawa balik penyakit ke rumah sedangkan ada anak kecil. Kekerapan bertemu dengan ratus atau ribu orang dalam sehari, menyebabkan suami saya memberi peringatan dan arahan yang lebih jelas dan ketat demi kebaikan semua.

Saya mohon maaf jika ada yang berkecil hati dengan pengumuman yang selalu dibuat dihujung ceramah atau kuliyah, memang ada yang mengatakan saya sombong dan kurang mesra alam.

Jika ikut sunnah, kita dituntut memberi ucapan salam dan berjabat tangan. Namun memang benar, ada ketikanya Nabi SAW memeluk para Sahabat apabila telah lama tidak bertemu, tetapi ia bukan rutin sepertimana menjadi budaya masyarakat kita hari ini.

Sebenaranya, pesanan ini bukan hanya khusus dalam situasi saya sahaja. Kita semua harus berhati-hati dalam apa jua keadaan sekarang ini. Sepulang daripada mana² tempat berjumpa orang ramai, maka ambil langkah berjaga-jaga.

Berusaha, berhati-hati dan berdoalah semoga wabak Covid-19 boleh dibendung dengan efisien oleh semua pihak. Doakan kesembuhan mereka yang dijangkiti, dan ketenangan semua pihak yang terlibat dengan pesakit.

Ya Allah.. Kami berdosa, kami lemah, kami tiada daya tiada upaya melainkan semuanya datang datang daripadaMu semata. Bantulah kami ya Allah, berilah petunjuk dan pertolongan Mu, semoga kami semua kembali kepadaMu dalam Husnul Khatimah…
#UAHSahabatDuniaAkhirat

MW : Semoga ahli keluarga mak ayah dilindungi dari bahaya Covid-19 ini.

Baca sini : Elak penularan virus Covid-19, suasana bertukar aneh di Masjidil Haram

Sumber/Foto : Asma Harun

Published by
Netty Ah Hiyer