Bayangkan duit simpanan yang selama ini disimpan bertahun-tahun hilang sekelip mata! Memang ralat apatah lagi jika kita tak perasan pun duit itu hilang sekian lama. Bukan apa sekarang ni, macam-macam cara orang ambil kesempatan nak kaya dengan jalan mudah. Termasuklah melakukan penipuan ‘scammer’ dan mencuri secara dalam talian dengan cara yang cukup licik tanpa kita sedari!
Itulah sebabnya pesan peguam ini ada baiknya amalkan kerap semak baki dalam akaun bank selalu. Sekurang-kurangnya kita dapat bertindak awal dan mengelak duit hilang tanpa disedari jika ditakdirkan berlaku.
Amalkan kerap semak baki akaun bank anda!
Semalam ada individu yang mesyuarat untuk dapatkan khidmat nasihat firma kami. Tiba-tiba duit simpanan dalam akaun banknya hilang sejumlah RM25,000.00. Selepas semakan dibuat memang ada berlaku pindahan tetapi BUKAN dibuat oleh pemilik akaun atau ahli keluarganya.
Kejadian ini berlaku sewaktu cuti panjang Tahun Baru Cina yang lalu. Selepas seminggu hendak buat pindahan wang baru dia perasan. Dia buat laporan polis. Dia bertemu dengan pihak bank untuk mendapatkan maklumat akaun penerima tetapi prosesnya agak rumit dan panjang kerana pada peringkat ini, pihak bank tidak akan dedahkan nama atau kad pengenalan penerima akaun kerana bank adalah terikat dengan kerahsiaan dibawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Melainkan pihak bank dapat arahan untuk siasatan dari pihak polis atau arahan dari Mahkamah.
Nasib baik juga dia sedar seminggu selepas hilang, jadi dia ambil tindakan segera. Sila berhati-hati. Anda boleh ambil langkah berjaga-jaga seperti berikut untuk elakkan kejadian begini:-
Semak akaun bank selalu! Terutama bagi mereka yang ada 3 4 akaun bank. Kalau boleh pada kadar harian supaya boleh ambil tindakan segera.
Kalau semak akaun bank melalui telefon janganlah dilakukan ditempat awam. Janganlah hendak semak sewaktu sedang menunggu teksi atau Grab yang memang berada dikawasan menunggu. Jangan semak sewaktu dalam keretapi kerana orang ramai. Kawasan-kawasan begini banyak pemangsa yang sedang memerhati aktiviti anda. Tanpa anda sedar, pemangsa nampak akaun anda sewaktu anda semak dalam telefon, dia ekori anda balik. Bahaya. Semak ditempat yang lebih privasi.
Kalau ada duit lebihan yang rasa tidak digunakan simpan dengan kaedah yang lebih selamat dan susah hendak dipindahkan atau apabila dikeluarkan memerlukan prosedur yang susah. Contohnya simpan dalam ASB atau apa sahaja cara yang memang tidak ada pindahan pengeluaran online dan sewaktu pengeluaran memerlukan kehadiran anda.
Elak simpan duit simpanan dalam akaun bank. Contohnya anda ada duit simpanan 5 ribu, 10 ribu atau berapa sahaja. Banyak juga kes, perompak tahan mangsa dengan senjata dan bawa mangsa ke bank untuk pengeluaran atau buat pindahan wang. Jika tidak ada baki yang banyak lebih selamat. Simpanan dengan cara begini mengurangkan risiko kecurian.
Dikongsikan oleh Nor Zabetha. Share untuk manfaat. Sebarkan ilmu walaupun sebaris ayat.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Amalkan selalu periksa baki akaun bank dan hati-hatilah ketika melakukan urusan secara perbankan online.
Sumber: Nor Zabetha