Pesan ibu “contohilah ayah”, Allahu banyaknya kebaikan buat diri terasa kerdil dan malu. Luahan dari Ustaz Wan Ali Akbar ini menyentuh perasaan setiap insan yang bergelar anak.
Air mata mengalir membaca setiap bait ayat yang dilontarkan hingga penulis sendiri teringatkan arwah bapa.
Mana tidaknya, kebaikan yang dilakukan sepanjang hayat Allahyarham Haji Wan Abdullah Haji Wan Long yang juga ayahanda kepada Ustaz Wan Ali Akbar ini memberi contoh terbaik. Bukan sekadar melunaskan tanggungjawab yang baik sebagai seorang bapa malah arwah juga melakukan banyak amalan hariannya boleh dijadikan contoh.
Benarlah apa yang dipesan oleh ibu Ustaz Wan Ali, selepas pemergian arwah ayah berulang kali dipesan kepada anak-anak agar mencontohi sikap ayah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat masyarakat di luar sana.
“Begitulah berulang kali kedengaran pesan bonda kepada kami anak-anak. Sebenarnya pesan ini memang selalu dialunkan sejak ayahanda masih ada lagi, namun makin kerap diulang-ulang oleh bonda selepas kematian ayahanda…
“Apa amalan ayahanda sampai bonda berpesan sedemikian?
1) ayahanda menjaga kesempurnaan solat. Bukan solat ye, tapi kesempurnaan solat. Jika kesempurnaan solat dijaga, solat apatah lagi.
“Dari sudut kebersihan, ayahanda akan mandi setiap kali sebelum solat (kecuali Solat Isya’ kerana ia dikira pakej sekali dengan Solat Maghrib). Bahkan, ketika rancak berniaga catering dulu pun, ayahanda tetap akan bergegas mandi sebelum solat.
“Ayahanda juga akan memastikan dia memakai pakaian terbaik. Baju Melayu atau kurta atau jubah, satu set matching warna dari kepala hingga ke kaki, sudah disiapkan bonda dalam rak bajunya, hanya tunggu untuk disarungkan sahaja. Baju dan kain pelekat juga matching warnanya dan tidak semberono dipakainya. Walau ketika sakit, solat di rumah, ayahanda tetap menjaga bahagian pakaian ini.
“Ayahanda juga pasti akan memakai wangi-wangian. Kalau dia lalu, sudah tentu semua akan terpesona dengan bau-bauan yang terbit daripada ayahanda. Semua orang juga dah tahu, waktu solat nak masuk kerana terbau wangian ayahanda.
“Ayahanda juga bersegera untuk solat. Memang kebiasaan ayahanda akan sampai awal ke masjid atau surau. Sampaikan ada AJK surau bercerita pada saya, “Kalau nampak Ayah Wan sampai, kita dah kelam kabut sebab dah tahu waktu solat dah hampir nak masuk.” Kalau hari Jumaat, jam 12.30 adalah waktu paling lambat untuk ayahanda menuju ke masjid sebab biasanya lebih awal daripada itu. Hal ini sangat dijaga, walaupun ketika sibuk menguruskan catering dulu pun, dia akan tinggalkan kerja yang ada untuk solat.
“Dalam bab menjaga kesempurnaan solat ini, kata bonda, memang menjadi amalan ayahanda sejak muda. Allahu…
“Sebelum meninggal, terutamanya ketika saya menjaga ayahanda di wad, kerap juga ayahanda tertinggal solat. Dia tidak sengaja, tapi keadaannya yang mamai menyebabkannya dia tidak sedar. Kami anak-anak hanya mampu membisikkan ke telinganya. Tapi, jika dia sedar, dia akan solat berkali-kali walau tanpa wudhuk. Pernah juga saya wudhukkan dia dan bisikkan ke telinga dia untuk solat, juga saya lihat dia solat berkali-kali. Saya fikir, mungkin dia qadha’ solat. Moga Allah ampuni dosa-dosanya.
2) ayahanda suka baca al-Quran, walaupun ayahanda tidak mahir baca al-Quran dan baca dengan gagap. Ayahanda tidak malu belajar al-Quran daripada bonda. Ayahanda juga suka duduk dekat dengan cucu-cucu ketika mereka membaca atau belajar al-Quran.
3) ayahanda suka baca buku. Hobi baca buku ini nampak lebih terserlah sejak ayahanda ‘pencen’ daripada berniaga. Sebelum ‘pencen’, ayahanda lebih banyak membaca surat khabar. Selepas ‘pencen’, ayahanda mula beralih kepada bahan bacaan yang lebih berat. Saya sendiri, apabila berkunjung ke PBAKL, memang ada bajet khusus untuk membeli buku untuknya.
4) Ayahanda suka bersedekah.
Saya pernah tengok, selepas dia dapat payment daripada pelanggan, dia kumpul sebahagian duit itu, diletakkan dalam sampul, lalu dimasukkan dalam tabung masjid. Agak tebal juga sampul tu. Saya sendiri tidak pasti berapa yang dia sedekahkan.
Pakaian dia juga, banyak yang dia telah hadiahkan kepada orang kampung. Sampaikan songkok UIA milik saya yang selalu dia pakai, saya tanya bonda selepas kematiannya, katanya telah diberikan kepada orang lain.
Makanan juga, dia suka hantar pada jiran-jiran. Anak-anak saudara dia yang susah-susah juga, kerap dia minta kami anak-anak untuk bank-in duit kepada mereka.
Kerap juga ayahanda membeli bukan dengan niat untuk memiliki, tetapi kerana ingin membantu peniaga. “Apa beli banyak sangat ni,” kata bonda. “Kesian tengok makcik tu menjual, takde sape beli,”jawabnya.
Ayahanda juga purposely membeli di kedai saudara mara untuk membantu mereka, walaupun harganya sedikit mahal daripada kedai lain yang lebih dekat.
Dengan cucu-cucu juga, pantang dengar sesuatu pencapaian, pasti ada alokasi duit khusus untuk mereka. Masuk IPT, dapat RM 1000. Dapat keputusan UPSR, PMR atau SPM, terima habuan lagi. Dapat masuk asrama, berjaya hafal Quran, semua ada hadiah berbentuk kewangan. Sampai tahap ayahanda mengumpul duit dan berkira-kira untuk tujuan tersebut. Allahu…
Ayahanda memang sangat pemurah.
5) Ayahanda tidak lokek ilmu. Ayahanda ada banyak ilmu, terutama yang dibina daripada pengalamannya. Saya kerap dengar, ada saudara mara dan kenalan yang suka datang ke rumah untuk dengar nasihat dan tips perniagaan daripada ayahanda. Tidak kurang juga yang datang untuk mendapat resepi rahsia air tangan ayahanda. Ada saudara mara kami yang kini membuka kedai bermodalkan resepi ayahanda dan mesin juga dibekalkan oleh ayahanda. Kekal hingga ke hari ini. Alhamdulillah. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaat dan kekal buat ayahanda.
6) ayahanda tidak suka berhutang. Alhamdulillah. Ayahanda pernah ditawarkan pinjaman daripada bank untuk modal perniagaan, tapi ayahanda tolak. Ayahanda tidak suka hidup mewah berhutang, sebaliknya ayahanda lebih selesa hidup sederhana bebas hutang.
7) ayahanda sangat menjaga silaturahim. Ayahanda pernah minta saya bawa dia ziarah saudara maranya, yang sedekat sekitar Terengganu dan jauh sehingga ke Johor. Saudara mara dia juga sentiasa dalam ingatan dan dia sangat cakna dengan perkembangan saudara maranya. Jika susah, dia akan pesan agar dikirimkan duit untuk mereka. Jika mereka berniaga, ayahanda selalu pesan untuk membeli di kedainya. Saya pernah kena marah dan dipersoalkan, kenapa tidak beli di kedai saudara mara sebaliknya membeli di kedai lain. Allahu…
“Ayahanda memang support peniaga Muslim. Saya pernah dipersoal, kenapa beli jam di kedai bukan Islam, di kala ada orang Islam yang turut buka kedai jam? Allahu…
“Banyak lagi amalan ayahanda yang setiap satunya pasti akan dinilai oleh Allah.
“Ayahanda, Jannah buatmu, insya’Allah. Moga kita ketemu di sana,” kongsi Ustaz Wan Ali.
Mingguan Wanita : Semoga perkongsian ini memberi manfaat berguna buat kita sebagai seorang anak.
Sumber / Sumber Foto : Facebook Wan Ali Akbar
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
Hidup satu kaki, ibu anak 4 ini tidak sesekali mengalah.