Dr Fadzilah Kamsah telah mendirikan rumahtangga selama 43 tahun. Namun selama itu dia dan isterinya tidak pernah bergaduh ! Nak tahu apa sebabnya?
“Setiap malam kami bermaaf-maafan. You maafkan I. I maafkan You. Itu yang kami buat. Setelah bermaaf-maafan barulah kita boleh tidur dengan tenang. Dan perlu diingat, jika hendak menegur wanita, jagalah emosinya. Hendak menegur lelaki, fokus kepada logiknya.”
Akuinya lagi, beliau banyak berubah disebabkan oleh isterinya.
Buat semua wanita bergelar isteri, cara-cara yang diberikan oleh Dr Fadzilah ini juga boleh digunakan jika mahu menegur suami terutamanya jika mahu mereka berubah tidak kiralah dari segi berubah penampilan, sikap dan sebagainya.
“Semua akan berubah selepas mendirikan rumah tangga. Tetapi semua kena peka apakah yang boleh dilakukan supaya pasangan tetap sayang pada diri mereka dan begitu sebaliknya
.“Selepas berumah tanga bukan Nampak kecantikan fizikal sahaja tetapi hati dan pengorbanan pasangan.
“Sebenarnya ramai orang lelaki ini dia mudah berubah kalau ditegur bukan isterinya. Tetapi oleh orang lain. Dia bukan tidak mahu dengar cakap isterinya, tetapi disebabkan rasa macho dan ego dalam dirinya. Namun jika orang lain yang menegurnya, lelaki akan mudah terima teguran tersebut.
“Perkara kedua yang boleh dilakukan adalah jika mahu menegur pasangan atau suami, carilah bahagian positifnya. Puji terlebih dahulu pasangan itu. Bila kebaikan pasangan kita sebut dan kelemahan dia kita sebut, dia akan boleh terima teguran itu.
“Apa yang pasangan tidak boleh terima adalah apabila teguran itu tidak ada yang elok. Sebab itu puji, puji dan puji terlebih dahulu sebelum menegur. Beli jiwa dahulu.
“Perkara ketiga, apabila menegur lelaki, gunakan logik. Sebabnya lelaki ini banyak guna otak kiri, fikir yang logik sahaja. Untuk lelaki kalau pakai logik dia mudah terima. Gunakan ikon sebagai contoh untuk menegur.”
Katanya lagi, orang lelaki ini boleh ditegur. Tetapi dengan syarat jangan bandingkan lelaki lain dan jangan tegur dia di hadapan orang lain.
Kepada suami pula, ini pesan Dr Fadzilah.
“Wanita ini walaupun dia bersikap introvert, cara dia menjawab Whatsapp sangat mudah. Oleh itu suami boleh mulakan perbualan dengan menulis I love You, I Miss You.
Wanita ini akan memberi respon. Mulakan dari situ, beritahu pada isteri untuk meluahkan apa sahaja yang dia mahu
Katanya lagi, wanita boleh mendengar nasihat. Tetapi lelaki jangan sesekali meninggikan suara kerana pasti wanita itu akan berkecil hati.
Keserasian Perlu Dibina
Sewaktu menghuraikan topik Peel Suami Isteri Selepas Kahwin di Mingguan Wanita Talkshow yang bersiaran dari pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang di saluran Astro Prima 105, Dr Fadzilah juga berpesan keserasian perlu dibina.
“Kepada pasangan suami, belajar untuk berubah dengan sengaja. Ertinya sebelum ini anda bujang dan sekarang ini tidak bujang mereka kena fikir secara berbeza sebab anda sudah berumah tangga.
“Kena ada undang-undang dalam rumah tangga. Sebagai contoh, kalau You marah I senyap. Dan kalau You marah I tidak akan cakap. Jangan bergaduh. Seorang marah seorang senyap.
“Paling penting kena ada bermaaf-maafan sebelum tidur. Tidur itu ibarat mati. Syurga seorang isteri itu bergantung pada kemaafan suami. Jadi isteri kena minta maaf daripada suami dan suami jika isteri tidak minta maaf, kita perlu maafkan isteri.
“Jangan tunggu raya baru hendak maafkan isteri. Ia bagus untuk kita. Tiap-tiap malam kita kena maafkan pasangan. Kalau kita tidur dalam kemaafan, malaikat rahmat sentiasa doakan kita. Kalau kita tidur dalam keadaan merajuk, malaikat rahmat lari daripada kita.
”Nak Romantik Tetapi Tidak Tahu? Ini Pesan Dr Fadzilah Kamsah.
Bagaimana hendak seimbangan tanggungjawab tetapi masih kekal romantik. Ini pesan Dr Fadzilah.
“ Kena ada ilmu dan saling berbincang. Tetapi kita perlu peka apa yang dianggap romantic oleh pasangan. Kadangkala kita tidak perasan romantik itu mungkin urut-urut dia, geletek dia, atau tolong cuci pinggan.
Romantik pasangan kita itu mungkin berbeza dengan apa yang kita faham. Jadi kita perlu tahu, buat apa yang dia suka dan elakkan apa yang dia tidak suka.”