Pesakit Umur 20-an Ini Sangat Menjaga Aurat Dan Solat, Sampai Akhir Nafasnya Pun Allah Pelihara Aib Dirinya

Menutup aurat bagi wanita adalah wajib. Bersedia atau tidak bukanlah alasan yang patut diberikan namun itu semua menjadi hak masing-masing untuk mengikut suruhan Yang Maha Esa.

Kisah yang bakal diceritakan ini ternyata bakal membuka mata bahawa wanita yang menutup aurat dan menjaga hubungannya dengan Allah SWT mempunyai tempat yang mulia bukan sahaja di Akhirat kelak, malah ketika hayat akhirnya di dunia.

Suatu hari Raisya (bukan nama sebenar) berkunjung ke Hospital untuk melawat saudaranya yang sakit. Dia terpaksa menunggu sekejap kerana belum tiba waktu melawat. Kelihatan seorang jururawat lalu Raisya cuba bermesra dengan memulakan perbualan.

Syukur sekarang kebanyakkan jururawat beragama Islam menutup aurat,” tuturnya kepada jururawat tersebut. Lantas dibalas oleh jururawat tersebut, “Satu perjalanan panjang, proses yang berliku-liku tapi akhirnya Allah izinkan jua kami menutup aurat.”

Lantas dia mula bercerita bagaimana mereka mula terdetik untuk menutup rambut yang merupakan aurat buat kamu wanita beragama Islam.

Rutin Pesakit Akhir 20-an

Menurut jururawat yang dikenali sebagai Imah itu, suatu masa dahulu ada seorang wanita berusia akhir 20-an dimasukkan ke wad tempat Imah bertugas.

IKLAN

Penyakit yang dihidapi oleh wanita tersebut agak serius, tapi wanita tersebut sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak.

Paling Imah tak lupa wanita tersebut sangat menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat. Maklum sahaja berada di hospital, ada sahaja petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad tersebut.

Raisya mendengar dengan penuh minat menantikan apa yang lebih istimewa pada wanita yang diceritakan oleh Imah.

Menurut Imah lagi, penyakit wanita tersebut membuatkan dirinya sering jatuh pengsan. Apa yang membuatkan Imah dan rakan-rakan sekerja yang lain kagum padanya adalah sebaik sedar, hanya persoalan adakah sudah masuk waktu solat atau tidak yang dituturkannya selain membetulkan selendang yang menutup kepalanya.

IKLAN

Ekoran daripada penyakit yang dihidapi itu, wanita tersebut ditahan di dalam wad dalam tempoh waktu yang lama. Cerita tentang sikapnya yang menjaga solat dan auratnya itu diketahui oleh hampir kesemua petugas dan doktor yang merawat di wad tersebut.

Wanita tersebut juga baik dan hormat dengan semua orang tidak kira sama ada yang beragama Islam atau penganut agama lain.

Aurat Ditegur Doktor Bukan Islam

Ajal maut semuanya aturan Allah, setelah hampir tiga bulan bermastautin di hospital, wanita tersebut akhirnya menghembuskan nafas terakhir di hospital.

IKLAN

Ketika akhir hayatnya itu, hijab yang menutup kepalanya hampir terbuka. Beberapa helaian rambutnya terjuntai keluar.

Bayangkan seorang doktor bukan Islam segera menegur Imah dan rakan jururawat yang lain supaya segera menutup rambutnya yang terkeluar.

Peristiwa itu sedikit sebanyak membuat Imah dan rakan-rakan tersedar daripada lamunan. Seperti mana wanita tersebut menjaga auratnya ketika hayat masih dikandung badan, begitulah Allah menjaga auratnya setelah meninggal dunia sehingga doktor yang bukan beragama Islam digerakkan hatinya oleh Allah untuk membantu menutup aurat wanita tersebut.

Peristiwa itu memberikan kesan yang amat mendalam buat Imah dan rakan-rakan jururawat yang lain. Sejak itu dia dan beberapa orang rakan tekad untuk menutup aurat.

Begitulah hebatnya dakwah wanita tersebut. Walaupun dengan kondisi yang sedang sakit, wanita tersebut berjaya membuka hati wanita Islam lain untuk menutup aurat mereka dengan sikap dan akhlaknya yang mulia.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI