Sawan demam atau fibrile seizure yang terjadi di kalangan anak-anak kecil akan mengundang panik pada mak ayah. Bila mana anak alami anak mata naik ke atas, tiba-tiba tubuh menggigil mengetap gigi, mak ayah kena cepat-cepat bantu anak dan bawa ke hospital berdekatan.
Inilah yang ibu ini, Cik Puan Ammy alami bila pertama kali anak kecilnya, Mahsuri diserang sawan demam. Beliau kongsikan panduan bagaimana hadapi situasi cemas yang pertama kali berlaku dalam hidup anak bongsunya itu.
Sejak semalam ramai rakan dan ahli keluarga mesej bertanyakan tentang keadaan Mahsuri. Bila, bagaimana dan kenapa Mahsuri boleh terkena sawan demam… Bukan niat nak menyepi tapi masih dalam keadaan terkejut.
Hari ini bila perasaan dah tenang, saya cuba menceritakan apa yang berlaku dan puncanya. Di kesempatan ini juga saya kongsikan sedikit sebanyak panduan yang diberi oleh doktor jika menghadapi anak yang menghidap sawan demam.
1-2 Ogos adalah satu malam yang amat panjang untuk saya sekeluarga.. Malam yang tidak sanggup kami lalui lagi kerana setiap saat hanya berhujan dengan deraian air mata.. Mengharap doa dimakbulkan kerana sedar diri ini tidak terlalu sempurna disisiNya.. Allahu Akbar.
Ia bermula pada petang Rabu. Mahsuri tiba-tiba demam tetapi tidak terlalu panas. Dia aktif seperti biasa. Saya hanya memberi ubat demam kepadanya dan seperti selalu membawa dia berniaga. Di tempat niaga, dia juga aktif. Makan apa yang ingin dia makan dan main apa yang dia ingin main. Saya tidak terlalu risau memandangkan setiap kali Mahsuri demam ianya tidak akan lama, sehari dua ia akan ‘kebah’.
Habis niaga, jam 11 malam kami sampai di rumah. Mahsuri masih demam. Rutin harian saya, setelah sampai di rumah saya pasti akan mandikan Mahsuri apatah lagi jika dia tidak sihat. Saya pasti akan mandikannya berkali-kali dalam satu malam. Tetapi tidak pada hari ini, mungkin kerana pada waktu itu saya terlalu penat tambahan pula dia nyenyak tidur, maka saya tangguhkan untuk esok pagi.
Entah kenapa, malam tu saya rasa tidak sedap hati untuk tidur di dalam bilik. Saya bawa Mahsuri tidur di ruang tamu. Dia sedar dan minta makan. Kebetulan abangnya juga sedang makan. Setelah beberapa suap Mahsuri makan, dia minta untuk menonton ABC Song (youtube). Dia juga aktif seperti biasa.
Jam 2 pagi.. Semuanya bermula di sini.
Saya terbangun dari tidur kerana rasa seperti digigit (Mahsuri breast feeding). Selalunya dia tidak pernah menggigit. Saya alihkan mukanya dan betapa terkejutnya saya bila dapati matanya telah ke atas dan seluruh badannya kejang.
Saya menjerit sekuat hati memanggil suami yang tidur di bilik. Nasib baik menyebelahi saya kerana memilih tidur di ruang tamu kerana terang. Jika saya tidur di bilik pasti tidak nampak keadaan Mahsuri kerana gelap. Suami bergegas bangun dan mendakap Mahsuri.
Alhamdulillah badannya kembali lembut dan matanya kembali normal. Tetapi ianya bertahan selama beberapa minit sahaja, badannya yang lemah tadi tiba-tiba menggigil dan dia mengetap giginya. Tanpa berlengah lagi, kami terus membawanya ke hospital.
Sewaktu di dalam kereta, saya lihat bibirnya biru dan matanya sudah tertutup, badannya juga sudah terkulai. Ya Allah.. Pada waktu itu hanya tuhan sahaja tahu perasaan kami. Tanpa berlengah lagi, saya mencengkam mulutnya yang terkatup rapat dengan kuat dan memasukkan jari terlunjuk saya bagi membantu Mahsuri bernafas.
Terbukanya mulut Mahsuri, banyak air liur yang berbuih keluar mengalir. Mahsuri kembali kejang. Walaupun begitu kami lega kerana Mahsuri masih bersama kami. Dalam perjalanan kami tempuhi satu sekatan jalan anggota PDRM. Suami sedaya upaya bunyikan ‘hon’ banyak kali sambil kami menjerit.
“Tolong tuan… Anak saya sawan…”
Berkali-kali supaya kereta di hadapan ke tepi untuk memberi laluan kepada kami. Alhamdulillah PDRM telah memberi kerjasama yang baik dan amat kami hargainya. Sepanjang jalan, pada tiap kali Mahsuri berhenti menggigit dan terkulai, saya akan menggoncang tubuhnya sekuat hati sambil memanggil namanya berharap dia ‘respon’.
“Sayang.. gigit mama sayang.. Jangan berhenti.. Gigit kuat-kuat.”
Setiap kali Mahsuri sedar dia akan kembali kejang dan bergetar. Surah Al Fatihah tidak berhenti berkumandang dari mulut suami. Kalimah syahadah juga tidak berhenti saya bisikkan ke telinganya. Pagi itu terasa perjalanan kami ke hospital sangatlah jauh walaupun jalan raya lengang. Saya tidak tahu berapa lajunya suami saya memandu namun saya masih berasa kereta itu bergerak amat perlahan sehingga saya memaksa suami memandu dengan lebih laju.
Setibanya di hospital (HTJ Seremban), Mahsuri disambut oleh beberapa orang pegawai perubatan dan terus ke zon merah. Letak sahaja Mahsuri di katil, jari saya segera dilepaskan oleh doktor dari mulut Mahsuri. Luluhnya hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan begitu.
Saya tidak pernah melihat suami saya menggigil seteruk itu. Kasihnya seorang bapa. Melihat keadaan kami yang tidak tenang. Doktor meminta kami bertenang dan menunggu di luar sementara mereka memberi rawatan kepada Mahsuri. Kami akur.
Sepanjang masa kami berdoa mohon kepada Allah SWT agar diberi kesempatan kepada kami menjaga Mahsuri lagi. Berapa minit kemudian, kami dipanggil untuk menceritakan pada awal Mahsuri demam sehinggalah Mahsuri mendapat sawan demam atau dikenali sebagai Febrile Seizure.
Saya merenung Mahsuri yang tidak sedarkan diri. Tubuh kecil itu bergetar dan matanya pejam kemas. Saya mengusap lembut kepalanya.
“Auciii.. Auciii sakit ya.. Mama baba ada Sayang..”
Saya bisikkan ke telinganya dengan lembut.
1 jam lebih di ’emergency room’, Mahsuri kembali tenang. Tubuhnya tidak lagi bergetar. Doktor mengatakan dia sedang berehat. Mahsuri ditolak ke bilik wad untuk rawatan selanjutnya.
Semasa menunggu Mahsuri sedar saya didedahkan oleh pegawai perubatan mengenai sawan demam. Apa itu sawan demam. Apabila suami ‘up status’ di FB mohon kawan-kawan bantu mendoakan Mahsuri, rupanya ramai para kenalan mengalami nasib yang sama dengan kami.
Ada juga yang tidak berpengalaman bertanya bagaimana ia menyerang, tanda-tanda sebelum ia menyerang dan bagaimana cara untuk merawatnya sementara ke hospital. Di sini saya kongsikan sedikit sebanyak keterangan doktor kepada saya.
Sawan demam atai febrile seizure ni disebabkan oleh demam panas di kalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Berbeza dengan sawan babi (Epilepsi) ianya adalah sawan yang berulang-ulang tanpa disebabkan oleh demam.
2.5% daripada kanak-kanak normal boleh menghidap sawan demam. Tanda-tandanya,
1. Ibu dan ayah perlu bertenang.
2. Iringkan anak ke sisi badan (mengiring ke kiri).
3. Rendahkan kepalanya agar cecair yang ada dalam mulut mengalir keluar.
4. Jika anak mengetap gigi, jangan masukkan sesuatu objek atau jari ke dalam mulut anak bimbang akan tercekik atau tercucuk.
5. Lap seluruh badan menggunakan air paip bukan air sejuk bagi mengawal panas badan.
6. Jika sawan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi dan segeralah bawa ke hospital.
7. Jika demam berpanjangan. Berikan ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam. Mandi atau lap badan dengan air paip bukan air sejuk sekerap yang boleh. Bagi anak minum air sejuk, ini dapat membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.
Alhamdulillah.. 2 Ogos, jam 9 pagi Mahsuri sedar dari tidur, ayat pertama keluar dari mulutnya adalah, “Hai… Hello mama…”
Sambil melambai tangannya. “Ya Allah.. Leganya hati saya. Terima kasih Allah kerana meminjamkan Mahsuri kepada kami dan memberi kesempatan kami menjaganya lagi.”
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy