Pernah Salahkan Takdir Bila Gagal, Rupanya Bila Berbakti Kepada Keluarga Rezeki Mencurah-Curah

Share

Gagal sekali tidak bermakna kita harus patah semangat. Wanita ini juga pernah salahkan takdir bila gagal, rupanya bila berbakti kepada keluarga rezeki mencurah-curah.

Di peringkat permulaan, tentu sahaja setiap kali tersungkur terasa ingin berhenti saja dari berniaga. Tetapi tak lama, terasa ingin stop tetapi tak pernah jadi kerana berniaga sudah sebati dalam diri dan percaya bisnes adalah satu-satunya tempat menjadi sumber rezeki. Hendak atau tidak kena teruskan dan terus bangkit.

Begitulah perkongsian Nor Azila Mahmood merupakan Pengasas Kerepek Bronis Viral dalam FB Live Mingguan Wanita, Bangkit Wanita : Kisah Inspirasi dan Sukses baru-baru ini. Wanita ini telah menterjemahkan kek brownies yang pernah diusahakan sebelum ini kepada kerepek bronis yang lebih unik, menarik dan rasa yang cukup sedap.

Bekas graduan dari Universiti Islam Antarabangsa ini sejak tahun 2015 telah menceburi bidang F&B. Semestinya banyak liku kehidupan yang dilalui sepanjang mengendalikan perniagaannya.

Usahawan wanita berjaya ini akui tidak dapat lari dari menghadapi cabaran dalam menguruskan perniagaannya. Namun dia teruskan tekad untuk terus bangun dan menolak untuk berputus asa. Dirinya juga terus bangkit dan semakin hari semakin jelas hala tuju perniagannya hinggalah berjaya seperti hari ini.

Setiap kali ada cabaran, pasti bangkit dan buktikan diri mampu hadapi. -Nor Azila.

“Down sekali sekala itu biasa, apatah lagi kita perempuan mudah emosional. Paling penting kita kena pandai kawal diri dan emosi untuk bangkit kembali,” jelas Nor Azila.

Sememangnya, bukan mudah sebenarnya untuk kembali bangkit mengumpul kekuatan dari kegagalan. Cabaran dan dugaan yang dihadapi adakalanya mampu membuatkan diri rasa cukup lemah, mematahkan semangat dan menghilangkan keyakinan diri.

Wanita ini pernah salahkan takdir dan rasa diri tidak berguna suatu ketika dahulu tatkala diuji dengan kegagalan dalam perniagaan.Tidak mahu berterusan keadaan demikian, wanita ini kembali mengumpul semangat berjalan terus tanpa menoleh ke belakang.

Wanita Perlu Upgrade Diri

“Sebelum memulakan bisnes, antara ciri-ciri yang perlu ada pada seorang usahawan pertama sekali ialah minat, bagaimana kalau nak mulakan perniagaan jika tiada minat.

“Kemudian, sabar dan kental perlu ada. Serta kesemua ciri ini datang daripada praktis bukannya terus sempurna. Mahu berjaya bukan sesuatu yang mudah, bagi saya sebenarnya setelah mendalami dunia perniagaan, secara tidak langsung seseorang akan mula untuk upgrade diri, kemudian timbul pula passionate.

“Seterusnya soal duit akan datang nombor dua bila diri kita mula seronok dan berniaga menjadi sebahagian daripada jiwa. Jadi datanglah apa saja ujian dalam bisnes, anda akan berusaha dan berjaya selesaikan kerana bisnes sudah tidak asing lagi dengan kehidupan,” saran Nor Azila satu-persatu.

Tambahnya lagi, tatkala ditimpa kesusahan secara automatik seseorang itu akan mulai mencari ilmu, mencari sokongan dan sentiasa positiflah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam bidang perniagaan.

Bronis Chips yang menjadi viral.

Cabaran Berniaga Dalam Pandemik

Sesungguhnya mengharungi dunia bisnes dalam pandemik Covid-19 bukanlah sesuatu yang mudah dan juga satu-persatu pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) memberi cabaran kepada peniaga seperti Nor Azila.

“Ujian terbesar sebagai majikan yang saya lalui setakat ini ini adalah memastikan pekerja-pekerja masih boleh bekerja seperti biasa kerana saya langsung tidak membuang pekerja.

“Oleh itu, saya perlu kuatkan internel dahulu maksudnya jelaskan situasi sebenar kepada staf tentang situasi sekarang agar mereka sama-sama untuk memastikan syarikat terus kekal stabil.

“Begitu juga dengan branding dan marketing memang perlu kuatkan. Malahan dalam keadaan begini, masing-masing kena work hard dan kerja tiga kali ganda lebih daripada sebelum ini. Paling penting saling bekerjasama antara satu sama lain,” jelas Nor Azila yang mengakui pandemik Covid-19 turut beri kesan pada Bronis Chips.

Salah satu produk yang terbit kala pandemik Covid-19 melanda negara.

Tiada Amalan Rahsia

Sesungguhnya, tiada amalan rahsia bagi Nor Azila agar rezekinya sentiasa bertambah dan murah. Namun apa yang menjadi pegangan kepada wanita ini ialah sentiasa mendahulukan ibu bapa, jangan sesekali berkira dengan mereka dan tidak ketinggalan berbaktilah sebaiknya kepada ibu, bapa dan keluarga.

“Malah, jika ada ahli keluarga yang ada masalah atau sakit, saya suka menjadi orang pertama untuk ambil berat dan mengambil tanggungjawab.

“Saya juga suka berkongsi rezeki yakni bersedekah, sekiranya rezeki kita bertambah dan meningkat sudah pasti ada rezeki orang lain dalam rezeki kita.

“Jadi saya akan bersedekah dan paling utama kepada ahli keluarga dahulu terutamanya our parent. Jaga mak,ayah kita, insyallah Allah jaga kita,” katanya lagi.


.

Kongsi Nor Azila, hadiah terindah yang paling tak dapat dilupakan ketika dia mula berniaga dahulu adalah berkesempatan menghantar kedua ibu bapanya menunaikan umrah.

Kemudian melakukan “make over” rumah orang tuanya dan paling utama setiap bulan Nor Azila memang peruntukkan elaun khas buat mak, ayahnya.

Sebelum mengakhiri sesi temubual, Nor Azila berharap produknya, Bronis Chips menjadi salah satu jenama yang kuat di Malaysia dan juga luar negara.

#kisahinspirasisuksesmingguanwanita

Mingguan Wanita : Jangan lupa saksikan FB Mingguan Wanita Live Bangkit Wanita: Kisah Inspirasi & Sukses setiap Isnin pukul 3 petang.

Published by
Nur Syazwani Mehat