Pertama kali dipertemukan, penulis tidak menyangka pemilik nama sebenar Muhammad Azlan Abdullah @ Ali, 32, merupakan seorang usahawan berjaya yang telah pun bergelar jutawan. Dia yang hadir bersama isteri dan anak-anak kelihatan cukup sederhana. Bahkan, sepanjang sesi fotografi berlangung, Muhammad Azlan ternyata sangat ramah dan bersikap rendah diri.
Ikon Usahawan Muda yang kisah hidupnya dibukukan dengan judul ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’ ini memegang prinsip, menjadikan kemiskinan sebagai motivasi manakala kekayaan sebagai inspirasi.
“Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti. Saya juga bersyukur apabila kisah pengalaman hidup yang berasal dari keluarga miskin tegar dan kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada bagaimana hubungan kita dengan Allah S.W.T. Jika kita ada masalah hubungan dengan Allah, rezeki sempit. Sememangnya sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun Allah melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” kata peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini, membuka bicara.
Digelar ‘Kasut Mulut Buaya’
Anak kelahiran Besut, Terengganu ini, akui hidupnya sejak kecil sangat susah. Namun ibu dan ayahnya tidak pernah lelah untuk menghantar mereka seramai 16 adik beradik ke sekolah.
“Saya sangat menghargai jasa emak iaitu Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan.
“Saya masih ingat sewaktu zaman sekolah rendah biasanya bila tak mampu bayar yuran, pihak PIBG akan tolong bayarkan. Maklumlah saya ni murid miskin jadi sering kena buli dengan murid yang hidup senang. Saya ke sekolah dengan memakai kasut koyak, kami adik beradik cuma ada sepasang kasut sekolah. Dalam setahun kami hanya akan pakai sepasang kasut itu saja dan saya akan pakai walaupun kasut saya itu koyak sehinggakan kawan-kawan panggil saya dengan gelaran ‘kasut mulut buaya’,”
ungkap Muhammad Azlan yang tidak pernah patah semangat untuk meneruskan alam persekolahan walaupun kehidupannya susah.Emak Menangis, Ulat Jatuh Daripada Poket Baju
Fasa kehidupan paling menyedihkan apabila dia bekerja sebagai pengutip sampah dan daripada situlah yang membuatkan Muhammad Azlan mula mengorak langkah untuk menjadi seorang yang berjaya. Bapa kepada empat orang anak ini juga sentiasa mengingati pesanan ibunya walau di mana dia berada mesti menjaga tiga perkara iaitu yang pertama jaga solat, kedua jaga al-Quran dan ketiga bersikap jujur serta amanah.
Tatkala diminta mengulas mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan dalam fasa kehidupannya yang sukar iaitu menjadi pengutip sampah, Muhammad Azlan begitu bersemangat untuk berkongsi dengan pembaca.
“Saya bekerja di bawah sebuah syarikat kontraktor pembersihan selama enam bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005 ketika usia saya sekitar 19 tahun. Saya selalu bawa balik makanan kurang elok yang dah diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam, ikan dan sayur untuk keluarga.
“Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis. Saya tanya kenapa menangis, dia cakap dia melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh baju saya itu.
“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya yang menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar. Kemudian saya berhenti kerja. Saya datang ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah restoran makanan segera yang terletak di Ampang. Selang beberapa bulan kemudian saya bekerja sebagai buruh binaan di Taman Melawati. Kemudian saya pulang ke kampung dan sambung pelajaran,” ungkapnya.
Nekad Berhenti Belajar
Ketika menyambung pelajaran di Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Bachok, Muhammad Azlan, sudah mula mencari wang poket sendiri. Malah dia juga pernah mengusahakan kebun jagung.
“Saya pernah mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar secara bersendirian berhampiran KIST sewaktu saya belajar di sana. Apabila kebun jagung itu membuahkan hasil, saya nekad untuk berhenti belajar supaya dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada bisnes kebun jagung. Namun takdir Allah mengubah segala-galanya. Ribut kuat melanda Bachok lalu memusnahkan segalanya dengan sekelip mata.
“Pada waktu itu, jagung-jagung sudah mula menguning. Saya terduduk. Harapan saya untuk meraih untung hancur berkecai, satu-satunya motosikal buruk yang saya miliki terpaksa dijual untuk melunaskan hutang sewa tanah. Selepas itu, saya hanya berjalan kaki jika nak ke mana-mana.
“Pada waktu itu, hanya Allah SWT saja yang tahu perasaan saya dan saya rasakan berada di titik paling bawah dalam roda kehidupan. Saya hilang kebun, hilang status sebagai pelajar dan tidak miliki pekerjaan. Hanya Allah disisi saya. Saya pujuk hati, mempercayai takdir Allah,”
luah Muhammad Azlan.Titik Perubahan
Muhammad Azlan menerangkan pada waktu itu hanya ibunya saja yang tidak memarahi dirinya.
“Bila mak dan ayah tahu saya berhenti belajar, hanya mak yang tak marah saya, tapi mak mahu saya berikan yang terbaik, Saya beritahu mak, saya kena keluar merantau. Saya beritahu pada mak saya tak akan pulang jika saya tak berjaya kecuali mak sakit.
“Saya tak akan lupa, segalanya bermula pada Ramadan 2010. Saya bertekad meninggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 yang diberikan oleh mak, dengan harapan dapat mengubah nasib diri dan kelurga. Ketika itu saya meminta mak agar jangan sedih dan selalu doakan kejayaan saya. Saya yakin, sebelum diberi nikmat, pastilah akan diuji oleh Allah SWT terlebih dahulu.
“Selepas melangkah keluar, kawan saya telah berikan motor dan saya lari ke wakaf sawah padi. Tak tahu nak buat apa, saya pergi ke sebuah kedai dan perhatikan siapa yang boleh belanja saya makan.
“Tatkala itu saya nampak seorang yang saya kenal. Saya tengok Cikgu Halim Md Saman (bekas cikgu saya), saya ceritakan semuanya pada dia. Cikgu minta jualkan tanah miliknya. Pada hari pertama, saya berjaya jual dua lot tanah dan ketika itu saya dapat RM4,000. Saya ambil RM2,000 untuk belanja bekerja dan RM2,000 pula saya infak pada orang,” ungkap Muhammad Azlan yang kemudian membina kehidupan baru selepas bertemu dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan yang membuka jalan rezeki kepada dirinya dalam bidang hartanah.
Amalan Jemput Rezeki
Muhammad Azlan akui terdapat beberapa amalan yang membantunya untuk mendapatkan rezeki yang luas. Antaranya, dia mengakui bahawa dia tidak akan memulakan sesuatu kerja selagi belum bersedekah.
“Alhamdulillah, rezeki dating mencurah-curah.Kisahnya, saya mendapat panggilan telefon daripada seseorang yang mahu menjual tanah seluas lima ekar di Kg.Raja Besut dengan harga serendah RM428,000. Saya memecahkan tanah itu menjadi beberapa lot dan menjualnya semula. Urus niaga itu bernilao RM1.5 juta. Dalam masa setahun itulah, seorang budak miskin Berjaya jadi jutawan,” kata Muhammad Azlan yang menjadikan Cikgu Ramli iaitu orang yang bertanggungjawab mendidik dan mendorong dirinya dalam bidang perniagaan sebagai mentor.
Tujuh Tip
Muhammad Azlan juga turut berkongsi tujuh tip amalan yang dilakukan agar rezeki sentiasa dekat dengan diri.
“Pertama saya sangat menjaga kebajikan mak dan ayah saya serta keluarga terdekat. Kedua, tak tinggalkan al-Quran walaupun sehari dalam hidup saya. Yang ketiga, istiqamah dalam amalan sedekah tak kira sedikit atau banyak wajib dilakukan setiap hari. Keempat, rutin Solat Dhuha setiap hari, kelima berbaik sangka, keenam memanjangkan silaturrahim dan ketujuh bersikap pemaaf terhadap kawan atau lawan,”
kongsinya.Terangnya lagi disebalik kejayaan dirinya sebenarnya ada dua wanita dalam dirinya yang amat penting.
“Pertama ialah ibu saya yang sentiasa mendorong saya untuk pergi ke depan. Kedua, isteri saya Nurul Fitriyah Mohd Sabri, 32, yang sentiasa menyokong penuh gerak kerja saya, memberikan sokongan dan tidak pernah letih bersama saya,” terang bapa kepada Nurul Natasya Al Humairah, 6, Nurul Athirah Al Athiyah,5, Mohamad Athiqullah Al Amin, 4 dan Nurul Syahirah Al Afiah,1 tahun.
Buku Motivasi Rahsia Kejayaan
Ikon usahawan berjaya ini juga menerangkan kini dia hadir dengan sebuah Buku Motivasi dengan tajuk ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.
“Buku ini mengisahkan seratus peratus kehidupan realiti yang saya bermula dari bawah sampai sekarang. Dimana saya melalui liku-liku hidup dan turut berkongsi rahsia-rahsia bagaimana untuk berjaya. Semuanya diabadikan dalam buku ini,” terang Muhammad Azlan.
Buku motivasi ini berharga RM35 senaskah dan RM10 kos penghantaran. Boleh dibeli secara Online di laman web muhammadazlan.com dan hubungi di nombor telefon 013 288 9442, 013 240 9443 dan 013 226 9442 . Buku ini mengandungi 360 mukasurat sarat dengan gambar dan kisah. Boleh didapati di semua kedai buku. Selain itu mereka yang berminat juga bolehlah layari Facebook Muhammad Azlan Al-Amin.
*******************************************************************
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Ikon Usahawan dan jutawan muda ini, baca sambungannya didalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.
Penyelaras: Norhayati Suboh & Nur Syazwani Mehat
Teks: Norhayati Suboh
Solekan: Ann Karim
Pakaian: Ooi Couture Malaysian Designer
Baca Di sini: 7 Amalan Rezeki Melimpah, Lelaki Pengutip Sampah Kini Jadi Jutawan!