Pernah Kutip Duit Syiling Nak Beli Keperluan Anak Buat Ibu Tunggal Ini Tekad Majukan Bisnes

Share

Mak mana yang sanggup tengok anak-anak hidup susah, apatah lagi menjadi ibu tunggal di usia 37 tahun memang tak mudah. Hati kena selalu sado, walau di belakang anak-anak kadang air mata basah di pipi tiap kali mengenangkan nasib yang menimpa.

Namun demi masa depan anak-anak, pengasas Fatihah Frozen Food, Puan Hajah Fatihah Anis Ibrahim atau lebih mesra disapa Mama, terus bangkit dan gigih mencari rezeki dengan berniaga.

“Mama pernah berniaga nasi lemak dan nasi kerabu sejak dulu hingga sekarang dan Mama tak akan lupa masa zaman susah. Siap buat creampuff setiap hari dan hantar ke restoran di Bangi setiap pagi. Demi sesuap nasi, Mama usaha.

Pernah dulu Mama kutip syiling sebab nak beli keperluan anak-anak tapi sebab tak cukup, Mama letak balik barang tu di atas rak. Belum lagi cerita nak jumpa saudara-mara dan kawan-kawan, rasa nak sorok muka dalam kain. Punyalah malu.”

Bukan mahu menagih simpati, tapi itulah kesusahan yang pernah ditelan apabila segalanya perlu diuruskan seorang diri. Namun dalam kekurangan itu, beliau dianugerahkan Allah bakat yang akhirnya menjadi sumber rezeki.

Fatihah Frozen

Hari ini, Puan Fatihah sudah boleh berbangga kerana usaha gigihnya untuk membina jenama Fatihah Frozen Food menempa kejayaan walaupun terpaksa melalui pelbagai rintangan dan cabaran.

Bila disoal tentang rahsia kejayaan, wanita ini membongkar sedikit caranya memulakan perniagaan dari rumah. “Sebelum ini ada juga buat katering kecil-kecilan. Bila dapat untung, Mama beli peralatan sikit-sikit hinggalah peralatan Mama cukup untuk tempahan 2000 orang. Alhamdulilah.”

Bayangkan bermula dengan minat bermain tepung, syarikat Fatihah Frozen Food kini mengeluarkan lebih daripada 20 jenis makanan sejuk beku seperti paratha, roti boom, samosa, cucur badak, martabak mini, gulungan sardin, popia, cakoi, aiskrim goreng, mantou (roti bantal) dan terbaru Royale Paratha Durian serta Royale Paratha Garlic.

 

Tidak pernah menjadikan status ibu tunggal dan kegagalan dalam perniagaan sebagai titik noktah dalam meneruskan kehidupan apalagi status itu sering dipandang rendah oleh segelintir masyarakat.

Hampir Bankrap

Tipulah kalau nak kata bisnes asyik mencanak tanpa mengalami zaman ‘kelat’, Puan Fatihah juga beberapa kali diduga kejatuhan. Antara pengalaman pahit itu adalah momen turun naik mahkamah dan risiko bankrap hampir tiga kali. Tapi berbekalkan prinsip ‘hidup mesti bangkit kembali’ menjadikan produknya tetap dicari.

Adakalanya beliau diuji pula dengan masalah kesihatan. Tetapi bila pandang muka anak-anak, wanita ini tetap gigih mengais rezeki. Bagi Puan Fatihah sendiri, beliau perlu berusaha lebih demi anak. Biarlah siang malam keluar cari duit, janji halal.

“Sebab Mama seorang ibu tunggal dan ini saja bisnes yang ada, jadi Mama perlu teruskan bisnes demi membesarkan anak kecil. Mama tekad teruskan sampai bertapak macam sekarang,” cerita Puan Fatihah yang jelas memecah monopoli kaum Cina dalam bisnes sejuk beku.

 

Ini sedikit pesanannya buat anda yang nak mulakan bisnes. “Mulakan secara perlahan-lahan. Cari market dan kena up branding. Lepas itu, yakinkan orang apa kelebihan produk kita dan jaga kualiti produk. Bila orang makan sedap, pasti mereka akan tetap cari dan beli.”

Walaupun harga bahan mentah semakin meningkat, tetapi Puan Fatihah tetap menggunakan bahan-bahan mentah berkualiti bagi menjaga mutu dan keenakan makanan yang dikeluarkan.

Haaa… kalau tak sedap, tentulah produk Fatihah Frozen Food ini takkan menguasai pasaran tempatan dan sampai ke negara China, Vietnam, Brunei, Singapura dan New Zealand. Hebatkan?

MAHA 2018

Ternyata, kekuatan seorang ibu memang luar biasa. Apabila memikirkan nasib anak-anak, beliau terus cekalkan hati walau pernah diduga dalam rumah tangga dan jatuh bangun dalam bisnes. Tiap kali beliau rasa tertekan, anak-anaklah menjadi pembakar semangat untuk bangkit semula.

Bagi anda yang nak merasa keenakan produk Fatihah Frozen Food, ia boleh didapati di beberapa hypermarket terkemuka di seluruh negara. Bukan itu saja, produk ini juga bakal dipasarkan di MAHA yang akan dianjurkan oleh Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MOA) selama 11 hari di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula dari 22 November hingga 2 Disember 2018.

 

Apa yang best, anda yang datang ke MAHA 2018 nanti bakal menikmati segala yang terbaik ditawarkan oleh industri pertanian dan makanan Malaysia. Ini termasuk hasil pertanian segar hidangan popular, buah-buahan tempatan dan eksotik, serta menyelami pengalaman pertanian di pelbagai laman yang disediakan.

Akhir kata, jangan menangis kalau diduga dalam kehidupan. Apatah lagi berputus asa walaupun sebagai seorang ibu tunggal, anda terpaksa bersengkang mata dan bertahan demi menanggung segala perbelanjaan harian. Mak-mak kena positif dan yakin dengan jaminan Yang Maha Memberi. Usaha dulu, insyaAllah nanti Dia beri rezeki satu demi satu.

Published by
Nadia