Dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin merupakan impian bagi setiap pasangan suami isteri bagi melengkapkan lagi kebahagiaan rumahtangga. Namun demikian, ada pasangan yang cepat dikurniakan anak dan ada juga sebaliknya, meskipun telah berusaha dengan pelbagai cara. Segalanya merupakan ketentuan rezeki daripada tuhan. Paling penting tidak pernah berputus asa.
Pernah dituduh mandul oleh orang sekeliling, namun siapa sangka pada usia 41 tahun wanita ini disahkan hamil dan dikurniakan cahaya mata hanya selepas 23 tahun berkahwin.
Setelah sekian lama berdepan tohmahan orang sekeliling dan dituduh mandul, kini seorang peniaga makanan, Norehan Sulaiman, 42, bersyukur apabila dikurniakan zuriat pertama selepas 23 tahun mendirikan rumah tangga.
“Saya dan suami tidak mandul kerana lepas dua tahun kahwin, kami berjumpa pakar dan pemeriksaan lanjut menunjukkan kami tidak mempunyai sebarang masalah pada sistem pembiakan.
“Namun pada masa itu kami belum ada rezeki nak timang anak sendiri. Macam-macam orang cakap tuduh kami mandul.
“Tak sangka umur dah 41 tahun baru hamil dan sekarang umur anak baharu masuk empat bulan selepas saya bersalin 8 April lalu secara pembedahan,” katanya.
Tambah Norehan, pada mulanya dia hanya mengalami simptom seperti lesu, kurang selera makan dan kitaran haid tidak teratur.
Rentetan daripada itu, dia tergerak hati untuk membuat pemeriksaan air kencing menggunakan kit ujian kehamilan dan akhirnya keputusan menunjukkan ‘dua garis’.
Norehan dan suami pergi ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut sebelum disahkan hamil dengan usia kandungan enam minggu empat hari.
“Dahulu saya tidak mampu untuk memahami cerita yang dikongsi rakan berkaitan kehamilan, tetapi kini saya dapat merasai pengalaman ‘mabuk’, lesu dan tidak ada selera makan,” katanya.
Ujar Norehan, sebelum ini ketika perkahwinan mereka menganjak 10 tahun ini, dia dan suami mengambil dua anak angkat lelaki serta perempuan sebagai penyeri hidup yang kini berusia 13 dan 14 tahun.
“Saya dan suami sangat gembira kerana kedua-dua anak angkat sangat akrab dengan adik mereka, Aisy Mateen Mikhael Sohimy,” katanya.
Mesti Baca:Perkahwinan Tak Dikurniakan Anak, Warga Emas Setia Jaga Isteri Sakit Di Wad & Tak Lekang Panggil Sayang
Baca Lagi Di Sini:14 Tahun Tak Dikurniakan Anak, Beto Kusyairy Terus Ingin Cipta Kenangan Berdua Dengan Isteri
Artikel Menarik:“25 Tahun Kahwin, Tidak DiKurniakan Anak.” Tak Menyesal, Berhenti Kerja Jaga Suami Kanser
Mingguan Wanita: Tumpang gembira dengan kebahagiaan pasangan ini yang dikurniakan anak sendiri selepas 23 tahun berumahtangga. Semuanya hasil kesabaran, kesetiaan dan tidak pernah berputus asa dengan takdirnya.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.