“Pernah DiTampar Ketika Bertugas.” Mak “Guard” Ini Tak Pernah Serik Fokus Cari Rezeki

Share

Biar pun pernah ditampar ketika bertugas, mak “guard” ini tak pernah serik, hanya fokus cari rezeki untuk anaknya. Memang kental sungguh hatinya walaupun baru berusia 20-an.

Zaman pandemik ini membuatkan mak ayah akur dengan ketentuan Allah SWT. Segelintir kita ada yang diuji dengan kehilangan orang tersayang dan ada juga yang kehilangan pekerjaan.

Jadi apa saja peluang yang muncul di depan mata terpaksa disambar demi kelangsungan hidup. Pedulikan apa saja kata orang, jalan terus!

Fokus Cari Rezeki

“Memang ada yang pandang rendah, gelarkan pekerjaan saya ‘low class’ (kelas bawahan) dan kata ia tidak sesuai dengan saya, namun saya anggap sudah ditakdirkan mencari rezeki dalam bidang ini,” kata pengawal keselamatan, Nurul Nazifah Zahari, 23.

Ibu tunggal anak dua itu berkata demikian sebagai reaksi kepada pertanyaan orang mengenai kerjayanya dalam bidang yang dipelopori lelaki.

Dia yang tinggal di Bukit Setongkol, Kuantan, Pahang, turut berkongsi kisahnya di TikTok yang mendapat perhatian pengguna media sosial, malah membuat video menjawab pertanyaan orang ramai mengenai pekerjaannya yang meraih lebih 360,000 tontonan.

Pernah DiTampar Ketika Bertugas

Malah menurut Nurul Nazifah, yang kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gudang Rasa, dia tidak pernah malu hanya kerana mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan sebaliknya seronok dengan pekerjaannya itu.

“Saya baru sebulan lebih bertugas di sekolah itu, tetapi sebelum ini pernah menjadi pengawal keselamatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selama dua tahun.

“Pengalaman dahulu amat membantu, cuma ada beza suasana kerja di hospital dan sekolah.

Mak “Guard” Ini Tak Pernah Serik

“Di hospital lebih mencabar malah saya pernah ditampar pelawat yang enggan mengikut peraturan waktu melawat. Ia pengalaman yang tidak pernah buatkan saya serik,” katanya.

Menurut Nurul Nazifah, waktu kerjanya adalah 8 pagi hingga 8 malam setiap hari kecuali Ahad, dan dia ditugaskan mengawal pintu pagar hadapan dan memeriksa suhu guru yang masuk ke kawasan sekolah.

“Tugasan di sekolah kini tidak begitu berat kerana pelajar belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara bersemuka.

“Akan datang mungkin lebih mencabar terutama apabila pelajar kembali memulakan sesi persekolahan.

“Apa pun, saya bersyukur kerana ada pekerjaan ketika ramai dibuang kerja akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Tidak Pedulikan Pandangan Orang

Jelasnya, ramai yang memandang hina sebaik tahu dia bekerja sebagai pengawal keselamatan termasuk orang terdekat dengannya, tetapi dia tidak mengambil serius pandangan itu sebaliknya mengambil sudut yang positif.

Tambah Nurul Nazifah, dia hanya mahu aura positif mewarnai kehidupannya bahkan pengawal keselamatan adalah pekerjaan halal yang tidak perlu dipertikaikan sesiapa.

“Menjadi pengawal keselamatan menuntut saya untuk menghadap pelbagai kerenah dan ragam manusia walaupun segelintir orang luar fikir ia kerja yang santai.

“Itu hakikatnya dan kepada wanita di luar sana yang berminat lakukan pekerjaan ini, teruskan saja. Jangan malu dan persiapkan fizikal serta mental.

“Dorongan saya untuk terus bekerja adalah dua anak yang masih kecil, jadi saya perlu berusaha keras. Saya juga menjual kek dan kuih termasuk secara siaran langsung di Bigo dan TikTok bagi menambah pendapatan,” katanya.

Baca Juga Di Sini :

Rajinnya Cari Rezeki, Pendapatan RM10 Saja “Jangan Sedih, Pakcik Kena Kuat Demi Keluarga”

Ikhtiar Cari Rezeki, Berniaga Tisu, Face Mask Dibahu Jalan Terpaksa Bawa Anak Kecil

“Sayunya Tengok Muka Suami, Sakit Pun Dia Gagahkan Juga Mencari Rezeki” Isteri Atu Zero

Elak Mangga DiCuri, Suami Isteri Nekad Upah 4 Pengawal Keselamatan & 6 Anjing

Gigihnya Cari Rezeki “Isteri Tolak Van Uzur Sampai Meniarap Atas Jalan, Enjin Pula Pernah Jatuh Kat Parkir Niaga” Abang Am

Mingguan Wanita : Semoga kisah wanita ini menjadi inspirasi kepada orang lain. Paling penting dia tidak menyerah kalah dan berusaha sebaik mungkin untuk mencari rezeki untuk anaknya. Semoga berjaya!

Sumber/ Foto : myMetro

Published by
Nur Syazwani Mehat