Pernah Dihina Kerana Positif Covid-19, Akhirnya Dua Kali Jadi Penderma Plasma

Share

Sekitar Ogos lalu, berat ujian yang ditanggung wanita ini, Nur Hafiza. Disahkan positif Covid-19, malah adik perempuannya juga disahkan positif sama. Bertubi-tubi kecaman diterima dirinya dan ahli keluarga.

Biar pun, ramai sedia maklum. Covid-19 itu tidak mengenal mangsa. Siapa saja jika sudah ditakdirkan diuji pasti akan melaluinya. Maka, bermulalah episod menghabiskan tempoh rawatan yang sunyi dan terasing dari orang ramai. Dan, akhirnya wanita ini bangkit melawan Covid-19. Sehingga menjadi ‘hero’ yang tidak didendang.

Positif Covid-19, Bangkit Melawan Virus Dalam Tubuh

Tiada siapa yang meminta dan tiada siapa yang menduga. Saya disahkan positif Covid pada 4 Ogos 2020 setelah menjalani saringan disebabkan ahli keluarga saya disahkan positif pada 3 Ogos.

Sesungguhnya besar ujian ini kerana saya sendiri tidak pernah menyangka bahawa saya salah seorang daripada insan terpilih.

Bermula daripada ahli keluarga saya disahkan positif seluruh ahli keluarga kami menerima kecaman berunsur hinaan malah ada yang mengambil kesempatan menyebarkan berita yang tidak sahih ke atas keluarga.

Namun masih ada rakan rakan yang tidak putus mengirimkan doa dan kata semangat. Sewaktu saya menerima panggilan daripada pihak Pejabat Kesihatan, mental dan emosi saya sudah bersedia kerana saya menerima ini ujian daripada Allah.

Lalui 14 Hari Yang Sunyi Bersama Adik

Saya bersama adik perempuan saya disahkan positif. Fizikal saya sihat namun perasaan berdebar itu tetap ada. Ini kali pertama saya menaiki ambulans dan perasaan teruja itu ada.

Setibanya di HSB, saya agak terkejut dengan suasana di sini kerana membayangkan 14 hari saya akan berada di sini.

Ini kali pertama saya dimasukkan ke wad HSB dan persekitaran baru buat saya. Saya dibawa naik ke tingkat 2 dan wad di sini kelihatan sunyi.

Saya ditempatkan bersama adik saya di dalam satu bilik yang sama. Memang selesa dan saya bersyukur dengan kemudahan dan semuanya selesa.

Pada sebelah malamnya doctor datang untuk mendapatkan maklumat perjalanan dan juga pergerakan dalam tempoh 13 hari yang lepas.

Saya mula perasan saya kehilangan deria rasa dan bau pada pagi hari raya Aidiladha dan saya hanya menyangka ini simptom saya akan demam disebabkan cuaca yang kerap hujan.

Selama 14 hari di dalam wad, saya tidak mengalami pertambahan gejala melainkan deria rasa dan hidu. Saya tidak dapat membezakan rasa pahit mahupun manis.

Doctor akan datang melawat satu hari sekali bertanyakan khabar tahap kesihatan dan jururawat pula akan memantau tahap tekanan darah, bacaan suhu dan pernafasan tiga kali sehari.

Selebihnya saya banyak menghabiskan masa dengan mendekatkan diri dengan Allah, melukis dan menulis.

Daripada Sebar Berita Palsu, Sokong Pesakit Covid-19

Jika ditanya apakah perasaan sewaktu mula-mula masuk, saya hanya menyatakan rasa syukur kerana saya dipilih dan dirawat dengan segera di bawah pemantauan KKM.

Pesanan saya pada yang di luar sana, berikanlah sokongan dan elakkan daripada menyebarkan berita yang tidak berasas kerana ini akan menimbulkan rasa panik kepada orang lain.

Pihak Pejabat Kesihatan juga terpaksa membuat semakan terhadap berita palsu yang tidak berasas. Terima kasih yang tidak terhingga buat staff PKD yang membantu. Rasa bersalah itu tetap ada walaupun saya cuba menangkis perasaan itu…

Setelah melalui 14 hari kuarantin wajib di hospital, saya dibenarkan pulang ke rumah. Perjalanan pulang saya dihantar menggunakan ambulans disebabkan kawasan rumah saya masih lagi dalam tempoh TEMCO.

Setelah 15 hari di rumah akhirnya tanggal 31 Ogos 2020 saya bebas.

Erti kemerdekaan sebenar buat saya. Kini saya kembali meneruskan rutin harian saya bekerja seperti biasa.

Positif Covid-19, sambut ulangtahun perkahwinan ke-50, berpegangan tangan pakai alat bantuan pernafasan.

Dari Positif Covid-19, Akhirnya Jadi Penderma Plasma

Saya lebih yakin dan kuat untuk meneruskan kehidupan seharian saya.. Tanggal 17 September 2020, saya dihubungi semula oleh doctor untuk bertanyakan keadaan kesihatan saya. Seperti biasa saya sihat dan bertenaga kerana itulah saya.

Doktor bertanyakan kesudian saya sama ada bersedia untuk menjadi penderma plasma untuk diberikan kepada pesakit di ICU.

Jawapan yang diberikan saya adalah YA! Dua hari selepas itu saya diminta hadir untuk menjalani ujian darah dan swab test sekali lagi.

Tanggal 21 September saya disahkan negatif dan saya boleh menderma.

Maka prosedur pendermaan dilakukan keesokkan harinya di bawah pengawasan dan pemantauan doctor dari HSB.

Tempoh pendermaan lebih kurang 30 minit dan saya gembira kerana saya berjaya melalui dengan tenang sedangkan saya seorang yang takutkan jarum dan darah.

Kini saya telah menderma sebanyak dua kali dan saya yakin kekuatan yang ada ini adalah doa dan galakkan dari kawan-kawan dan keluarga.

Semoga kita semua rakyat Malaysia akan Berjaya melawan virus ini sampai habis. Buat doctor dan seluruh warga KKM terima kasih kerana membantu dan menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia!

Covid Fighter 9022
19 Oktober 2020

MW : Semoga lebih ramai rakyat sedar, Malaysia belum lagi bebas Covid-19. Sentiasa jaga diri, patuhi SOP. Jika duduk rumah itu pilihan terbaik, maka DUDUK RUMAH saja.

Sumber/Foto : Nur Hafiza

Follow :
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
NETTY AH HIYER