Pernah Berkahwin & Berpisah, Takdir Jodoh Cinta Berputik Kembali Selepas 44 Tahun! Sesungguhnya ajal, maut dan urusan jodoh adalah ketentuannya. Siapa sangka hubungan perkahwinan yang pernah terlerai dahulu, kini bertaut kembali pada usia emas.
Hubungan Mustafa Mohd Akhir dan Zainon Mohd Yusof pernah kecundang di pertengahan jalan 44 tahun lalu namun jodoh menyatukan semula mereka sebagai suami isteri walaupun usia kedua-duanya sudah mencecah lebih separuh abad.
Mustafa, 70, dan Zainon, 60, diijabkabulkan sebagai suami isteri dalam satu majlis akad nikah di rumah mereka dekat Kampung Parit Lima di sini pada 29 April lalu.
Kisah penyatuan mereka mendapat perhatian selepas Suzana Sueb, 41, iaitu anak Zainon Mohd Yusof hasil perkahwinannya dengan suami terdahulu memuat naik video di TikTok.
Bercerita lanjut, Mustafa berkata, dia kali pertama berkahwin dengan Zainon ketika berumur 23 tahun.
Manakala, Zainon ketika itu berumur 13 tahun namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama tiga tahun saja sebelum berpisah dan tidak dikurniakan cahaya mata.
“Kami tak bergaduh dan berpisah dulu pun secara baik, malah reda kerana jodoh setakat itu saja.
“Selepas berpisah, kami tak berhubung dan saya berkahwin lagi pada tahun 1980 kemudian dikurniakan 13 anak namun ditakdirkan isteri meninggal sembilan tahun lalu (2014).
“Jadi sejak itu, saya menduda manakala isteri sekarang pernah berkahwin pada 1978 dan dikurniakan enam anak sebelum suaminya meninggal dunia, Ogos tahun lalu.
“Ditakdirkan, kami berjumpa secara kebetulan pada Disember tahun lalu dekat kedai makan di Jitra, Kedah dan itu titik permulaannya kami berhubung semula,” katanya.
Menurut Mustafa, mereka pada awalnya sekadar berhubung menerusi telefon untuk bertanya khabar satu sama lain.Tanpa disangka, kemesraan dan cinta antara mereka berputik semula hingga sepakat untuk mendirikan rumah tangga.
“Waktu jumpa, saya tak ambil nombor telefon isteri pun, tetapi cuba minta daripada ibu saudara yang ada bersama ketika pertemuan berkenaan.
“Oleh kerana kerap berhubung, timbul rasa sayang dan akhirnya saya luahkan perasaan kemudian beritahu hasrat untuk melamarnya.
“Kami tak berbincang sesama kami saja, tetapi tanya juga pandangan anak-anak dan Alhamdulillah, tiada halangan daripada kedua belah pihak malah mereka gembira.
“Jujurnya, saya tiada niat nak kahwin lagi kerana sedar umur sudah berapa, tetapi kita hanya merancang dan mungkin Allah sudah tentukan dia jodoh saya awal dan akhir,” katanya.
Sementara itu, Zainon juga tidak menyangka akan berkahwin semula kerana tidak fikirkan soal jodoh pada usia emas namun dia mengakui gembira dengan perkahwinan itu.
Mesti Baca:Jodoh Masih Panjang, Linda & Beego Bercerai 2 Minggu, Rujuk Semula Dalam Tempoh Iddah
Baca Lagi Di Sini:Lesti Kejora Dikatakan Hamil Anak Kedua Usai “Rujuk” Semula, Lupakan Kisah Dipukul Separuh Nyawa
Artikel Menarik:Tak Pernah Berkahwin, Wanita Warga Emas Bertemu Jodoh Pada Usia 83 Tahun!
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, kalau dah jodoh, walaupun pernah terpisah namun tetap bersatu kembali.
Sumber: Hmetro
Follow kami di Facebook , Website , Instagram, YouTube , Twitter , Telegram MW dan TikTok Mingguan Wanita untuk mendapatkan info, berita terkini serta artikel-artikel menarik.