Pernah Berhenti Kerja, Wanita Ini Kongsi Cara Pengurusan Rumah Tangga Walau Pulun Dua Sumber Rezeki Dalam Satu Masa

Share

Ramai wanita yang menjadi superwomen apabila mereka terpaksa keluar bekerja dan pada masa yang sama masih menguruskan hal rumahtangga. Kalau tidak kerana membantu suami sekalipun, sudah pasti nak ada wang sendiri.

Begitulah juga situasi Puan Akma Emmillia Mustakim, 33 tahun, yang bekerja sebagai ekskutif jualan di Gold City Jewellery Centre, KLIA sehingga kini.

Namun apa yang menarik, ibu kepada dua orang anak yang berumur 5 tahun dan 3 tahun ini hebat di rumah dan tetap membuat kerja part time walau sibuk menguruskan hal rumah tangga.

Pernah berhenti kerja tetapi Puan Amy kembali keluar mencari rezeki disebabkan niatnya nak membantu suami yang ditimpa masalah dalam dunia bisnes. Agaknya macam mana seorang isteri boleh membahagikan masa mencari rezeki dengan keadaan anak-anak kecil ya?

Ini dikongsi dari sudut hati kecilnya sebagai naluri seorang isteri yang sebenarnya berperang untuk menjadi mak-mak yang duduk rumah menguruskan anak-anak tetapi tetap gagahkan hati mencari sumber rezeki demi membantu ekonomi rumah tangga.

Kalau ditanya kepada wanita tentang pilihan bekerja atau duduk di rumah, kebanyakan pasti lebih memilih untuk di rumah jaga anak. Namun bila disoal Amy tentang alasan keluar bekerja, wanita ini menceritakan niat utamanya sebab nak bantu suami yang diuji dalam dunia bisnes.

“Asalnya bisnes suami drop. Income berkurang. Kebetulan company lama offer kerja. Anak pun dah 2 tahun yang kecik. So saya mintak izin suami untuk kerja balik.”

Apabila bercakap soal tanggungjawab sebagai ibu, kebanyakan wanita terpaksa mengalah dengan perkara itu sebab anak merupakan anugerah yang tidak ternilai dan pastinya seorang ibu tidak akan memperjudikan nasib anak mereka.

Maka, ramailah dalam kalangan wanita terpaksa ‘berundur’ daripada kerjaya mereka buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada satu kehidupan berbeza terutama bagi mereka yang baharu pertama kali bergelar ibu bapa.

Biarpun terpaksa berhenti demi kekangan tanggungjawab sebagai ibu, jauh di sudut hati, mereka masih berharap dapat kembali bekerja seperti sedia kala apabila anak-anak mereka semakin membesar.

Situasi ini juga pernah dilalui Puan Amy suatu ketika dulu. Ikuti temubual bersamanya…

Pernah berhenti kerja? Apa beza bila tak kerja?

Pernah, berhenti kerja sebelum lahirkan anak no.2 sebab tak larat. Jadi suri rumah best sebab nampak anak-anak 24jam depan mata. Tapi buat bisnes online sebab bosan tak ada kerja. Sambil-sambil tu dapat la duit poket sendiri. Bestnya tak kerja, expenses berkurang sebab kita tak perlu isi minyak, keluar makan, shopping alat mekap setiap bulan.

Keizinan mak ayah, bila Amy keluar bekerja.

Kalau ikutkan mak suruh duduk rumah jaga anak. Tapi ayah kata, sementara muda ni kerja la selagi boleh.

Anak-anak siapa jaga?

Sebelum ni husband yang jaga sebab husband kerja sendiri dari rumah.

Bila dapat duit, guna untuk kepuasan diri tak?

Dalam keadaan tak stabil, semua benda terkawal. Hanya belanja untuk keperluan sahaja, tolak tepi dulu kehendak sebab kena ingat sebab utama kerja balik adalah untuk bantu suami yg sedang diuji.

Macam mana uruskan masa bila balik rumah?

Sampai rumah terus defrostkan bahan mentah dan masak nasi. lepas tu kemas rumah apa yang perlu. Sambung masak. Baru la mandi dan siapkan anak-anak. Lepas tu luangkan masa untuk anak sebelum tidur.

Agak-agak kalau tak ada duit sendiri best tak? Kenapa?

Tak best sebab amy jenis yang tak pandai nak mintak-mintak suami kalau nak sesuatu. Selalunya Amy akan usaha sendiri.

Bab kemas rumah dan jaga anak-anak suami tolong tak?

Memandangkan suami kerja sendiri, memang dia banyak bantu hal-hal rumah. Suami tolong jaga anak, kemas rumah, cuci dan sidai baju. Biasanya balik kerja baju dah siap lipat.

Pernah ada masalah pengasuh? Macam mana penerimaan anak bila ibunya keluar bekerja.

Buat masa ni belum pernah hantar anak ke pengasuh. Kalau suami terpaksa kerja dekat luar, dia akan hantar anak-anak dekat rumah mak. Atau tunggu amy balik kerja. Sebab sekarang kami kerja shift. So masih boleh rotate jaga anak cuma kelam kabut sikit. Anak-anak alhamdulillah semuanya ok dan memahami so tak ada masalah mummy kerja.

 

Sebenarnya banyak sebab kenapa wanita memilih untuk terus bekerja. Sebab utamanya tentu lah ekonomi. Tak semua orang bersuamikan lelaki kaya. Lepas kawin boleh duduk goyang kaki di rumah. Kalau dapat macam tu, mungkin ramai wanita yang bekerja nak berhenti dan fokus pada keluarga sahaja.

Paling ketara, biasanya wanita bekerja sebab nak bantu suami. Niat nak tingkatkan ekonomi keluarga. Nampak tak, punyalah hebat kaum mak-mak zaman sekarang!

Published by
Nadia