Permohonan Sewa Bilik DBKL RM100 Untuk Golongan Bujang Kini Dibuka!

Share

Berita baik buat golongan bujang yang baru menempuh alam pekerjaan di ibu kota, boleh menjimatkan kos sara hidup di bandar ini dengan menyewa bilik yang disediakan oleh DBKL pada kadar sewa serendah RM100 termasuk elektrik dan air.Permohonan penyewaan pula baru sahaja dibuka mulai 20 Ogos lalu.

Ia merupakan satu skim baru yang diperkenalkan kerajaan, iaitu Micro Housing. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan perkhidmatan Perumahan Bandar atau Micro Housing kepada golongan bujang yang baru berhijrah ke ibu kota sebagai rumah sementara mereka.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, dengan kadar sewa serendah RM100 sebulan, penyewa mempunyai tempat tinggal sehingga mereka mampu berdikari dan mampu mendapatkan kediaman lebih selesa.

“Peningkatan harga rumah di Kuala Lumpur adalah masalah dihadapi rakyat untuk memiliki kediaman mahupun menyewa dengan harga berpatutan.

“Golongan muda antara yang terbeban dengan masalah ini. Ada di antara mereka bukan berasal dari Lembah Klang seperti Sabah dan Sarawak tidak mempunyai saudara mara serta kenalan di Kuala Lumpur.

“Bagi meringankan permasalahan ini, DBKL mewujudkan rumah bandar yang bersifat sementara sehingga mereka dapat berdikari dan mampu mendapatkan kediaman yang lebih selesa,” katanya.

Skim Micro Housing

Sementara itu, Perumahan Bandar ini berkonsep penyewaan bilik secara berkongsi kepada komuniti muda yang belum berkahwin dan sudah bekerja. Skim Micro Housing yang bermula tahun ini terletak di tengah-tengah ibu kota, di Jalan Tunku Abdul Rahman. Ia merupakan bangunan lama DBKL yang telah diubahsuai dengan kos sebanyak RM7 juta.

  • Terdapat dua blok micro housing, lelaki dan wanita yang menawarkan 223 unit dan beberapa fasiliti lainnya – konsepnya pula bertemakan capsule hotel.
  • 323 permohonan akan dibuka
  • Dibahagikan dua fasa, fasa pertama : 188 unit dan fasa kedua : 135 unit.
  • Sewa bilik secara berkongsi samada dengan empat katil atau 6 katil berdasarkan keluasan bilik.
  • Kemudahan seperti elektrik dan air, kelengkapan seperti almari dan katil turut disediakan.
  • Kemudahan lain seperti; surau, dobi, tandas, ruang patri, ruang tempat meletak kenderaan termasuklah basikal, ruang membaca, ruang santai, pejabat penyelia, turut tersedia.

Syarat-Syarat Permohonan Penyewaan;

1. Warganegara Malaysia
2. Status Bujang (Belum Berkahwin)
3. Berumur 18 hingga 35 tahun
4. Pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan
5. Bekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (keutamaan diberikan kepada yang bekerja di dalam lingkungan 5km radius dari Perumahan Bandar)
6. Tidak memiliki rumah.
7. Keutamaan kepada mereka yang berasal dari luar Kuala Lumpur dan menetap melebihi daripada 25km radius dari Perumahan Bandar.
8. Tidak mempunyai kereta
9. Terbuka kepada golongan yang bekerja sahaja (Golongan pelajar TIDAK LAYAK).

Kadar sewaan yang dikenakan adalah RM100.00 sebulan termasuk penggunaan elektrik dan air. Cagaran sewa adalah diambil untuk dua (2) bulan. Tempoh Penyewaan adalah:

  1. 12 bulan (minimum)
  2. 18 bulan (maksimum)

Mereka yang berminat boleh membuat permohonan secara dalam talian yang telah dibuka mulai 20 Ogos 2019 di http://eperumahan.dbkl.gov.my/erumah

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Kongsikan pada yang layak agar dapat membantu mereka memulakan kehidupan dengan lebih teratur apabila mendapat pekerjaan.

Sumber: Sinar Harian, Dbkl

Published by
Suhaidah Abd Wahab