Kalau ikutkan, kita yang dah tua pun ngeri nak buang tonsil! Tetapi andai anak asyik demam dan sakit, apa pilihan yang ada?
Sebenarnya tonsil bagus untuk badan, itulah barisan pertahanan pertama untuk melindungi badan kita dari jangkitan. Tapi kadang-kadang dia sendiri boleh dijangkiti dan menyebabkan kita sakit.
Lagi sedih bila anak demam, mak ayah kena hadap keadaan macam mana si kecil susah nak bernafas, siap berdengkur malah tidur pun kena bukak mulut.
Jadi patut ke anak yang ada masalah tonsil kena buat pembedahan? Jawapan ini ada dalam perkongsian daripada Dr Ezairy M.Sallih
kali ini, moga mak ayah dapat buat keputusan sebaiknya demi kesihatan anak-anak.Ramai antara kita yang tertanya-tanya apa keperluan untuk membuang tonsil? Perlu ke anak kita dibuang tonsil? Sakit tekak yang kerap ini sebab tonsil ke? Kalau dah dibuang, ada apa-apa risiko?
Semua persoalan-persoalan ini mesti ramai antara anda yang nak tahu jawapannya. Sebab anak-anak kita, kalau penyakit atau masalah diri sendiri biasanya kita tak kisah sangat. Segala yang melibatkan anak-anak ini yang selalu lebih membimbangkan ayah dan ibu. Betul?
Doktor akan melakukan pembedahan membuang tonsil atau dipanggil sebagai ‘tonsillectomy’ dengan beberapa sebab.
1. Serangan sakit tekak akibat jangkitan tonsil melebihi enam kali dalam setahun.
2. Terlalu kerap mengalami masalah tonsil sehingga mengakibatkan serangan sawan.
3. Saiz tonsil yang terlalu besar sehingga mengganggu pernafasan yang kritikal.
4. Masalah tonsil sehingga mengakibatkan pengumpulan nanah di sekitarnya, dipanggil juga ‘peritonsillar abscess’.
5. Dan beberapa sebab yang lain.
Apa komplikasi pembedahan yang akan dilakukan ini?
1. Pendarahan. Ini saya letak dalam poin nombor satu sebab risiko pendarahan adalah antara yang biasa boleh berlaku dalam pembedahan ini. Ia boleh berlaku semasa atau selepas pembedahan dilakukan.
2. Jangkitan kuman juga boleh berlaku beberapa hari selepas pembedahan. Sekiranya ia berlaku, pendarahan daripada kawasan pembedahan juga boleh berlaku.
3. Sakit. Ini bukanlah salah satu komplikasi yang nak saya sampaikan. Risiko sakit adalah perkara biasa sebenarnya yang boleh berlaku apabila kita menjalani apa-apa pembedahan. Istimewanya, pesakit yang menjalani pembedahan ‘tonsillectomy’ perlu mengunyah selepas pembedahan dilakukan bagi mengurangkan risiko pendarahan. Oleh itu sekiranya sakit dialami terlalu kuat, perlu beritahu doktor untuk ubat bagi mengurangkan sakit. Ramai yang datang semula berjumpa saya akibat pendarahan disebabkan pesakit tidak mulai makan atau mengunyah selepas pembedahan.
Jika anda ada sebarang masalah, boleh dapatkan nasihat dan pemeriksaan bersama doktor.