
Isi Kandungan
ToggleBila masuk alam perkahwinan, suami isteri akan lalui fasa tertentu. Ada zaman susah dan ada zaman senang, tetapi tak semua yang berjaya lalui dengan sabar.
Nak-nak pula kalau salah seorang pernah berada dalam keluarga yang senang. Macam yang saudara Firdaus Shakirin kongsikan ini, setiap orang pasti akan hadap.
Fasa Perkahwinan
Perkahwinan ni ada fasanya.
Fasa pertama, masa beberapa tahun kita mendirikan rumahtangga. Masa ni, kita baru nak kenal siapa sebenarnya pasangan kita tu. Apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Cara dia, tabiat dia, masa ni juga, kewangan kita “cukup-cukup makan.”
Tak ramai lelaki yang mampu sediakan serba serbi masa mula-mula kahwin.
Kalau kena menyewa dulu, maka sewa lah dulu. Kalau kena naik motor dulu, maka naik lah motor dulu. Isteri kena faham, suami yang dikahwini tu bukan datang dari anak orang kaya. Anak orang biasa-biasa yang kerja biasa-biasa je, yang tengah merangkak-merangkak untuk bina kehidupan dia.
Tunaikan Kehendak Isteri
Dan suami pula, walaupun tengah tak stabil, walaupun tengah merangkak-rangkak, kena cuba juga untuk tunaikan apa yang sepatutnya seorang suami tunaikan. Jangan lari dari tanggungjawab yang utama tu. Fahamkan isteri tentang kemampuan kita, setakat mana yang kita boleh bagi dan sediakan untuk dia.
Kalau masing-masing boleh lepas fasa ni, kenal perangai masing-masing dengan baik, boleh sesuaikan diri dan kehidupan dengan kemampuan yang ada tu, insyaAllah rumahtangga tu boleh pergi jauh selagi masing-masing masih ada untuk satu sama lain disaat mereka memerlukan, masing-masing masih tak berubah hati, nawaitu masih sama dan masih sedar dengan diri sendiri.

Jangan Cepat Melatah
Ada yang tak lepas fasa ni sebab tak boleh susah sama-sama, ada suami yang tak sediakan apa yang sepatutnya disediakan, ada yang masih terbawa-bawa cara hidup bujang dia dalam rumahtangga. Ada yang asyik bergaduh disebabkan masalah kewangan dan perangai pasangan… jangan kata tak ada, ada sebab banyak yang bercerai setahun dua selepas mendirikan rumahtangga.
Apa-apa pun, dalam kehidupan rumahtangga ni tak boleh cepat melatah. Apa yang kita dengar, kena nilaikan dulu baik-baik. Apa yang disampaikan kepada kita, tak semestinya semuanya betul. Elakkan bergaduh akan hal yang remeh temeh, dan bila pasangan tegur, nasihat, cuba untuk dengar dan terima.
Then berubah ke arah yang lebih baik lagi untuk hubungan kita tu.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sedih Dalam Diam Jadi Mangsa Fitnah Biras Yang Kuat Cemburu

Isi Kandungan
ToggleSedih! Hati tertanya-tanya, mengapa dirinya menjadi mangsa fitnah? Bukan orang lain, biras sendiri yang selama ini dianggap umpama adik sendiri. Ikuti perkongsian daripads seorang wanita dan luahan hatinya telah dijawab oleh Hajah Maimunah Mohamad, kaunselor dan kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/mingguanwanita/?ref=bookmarks
Miliki Keluarga Bahagia
Assalamualaikum puan. Suami saya mempunyai tiga orang adik beradik yang kesemuanya lelaki. Dia anak yang tengah. Saya bersyukur kerana keluarga suami menerima saya dengan baik.
Ketika saya dan suami berkahwin, abang long sudah pun berkahwin terlebih dahulu dan sudah mempunyai dua orang anak. Manakala adik bongsunya, Zam, berkahwin setahun selepas kami berkahwin. Waktu itu saya sedang mengandungkan anak kembar saya yang kini berusia enam tahun. Di antara dua orang biras saya itu, saya lebih rapat dengan isteri abang Long, kak long.
Mungkin kerana kami sama-sama bekerja sebagai guru, jadi banyak perkara kami kongsikan bersama. Lagi pun kami turut memiliki hobi yang sama iaitu memasak dan sering kali bertukar resipi. Entah kenapa, isteri Zam iaitu Anne, kurang mesra dengan kami. Mungkin kerana dia berasakan gajinya lebih daripada kami, sering bertugas ke luar negara. Setiap kali ke luar negara, macam-macam hadiah akan dibawa untuk ibu dan ayah mentua. Untuk yang lain, diberikan key chain. Kami tak kisah dan tak rasa cemburu langsung. Dapat cenderahati pun kami dah rasa syukur sangat. Ingat juga dia pada kami.
Dingin
Pada Aidilfitri tahun lalu, saya perasan tiba-tiba saja kak long dingin dengan saya. Ketika itu giliran kami beraya di rumah mentua. Manakala Anne beraya di rumah orang tuanya. Kak long tak mesra seperti biasa. Sepatah saya tanya, sepatah dia jawab. Malah sering kali cuba melarikan diri daripada saya. Dek kerana rasa ada sesuatu yang tak kena, saya bersemuka dengan kak long.
Mulanya dia enggan bercerita tapi bila lihat saya bersungguh hendak tahu, dia buka mulut. Katanya dia sedih kerana saya sering mengata dia di belakang dan sering memburukkan dia di depan saudara mara lain. Terkejut saya bukan kepalang. Bila masa pula saya bersikap begitu? Bila saya desak lagi, akhirnya dia mengaku yang Anne memberitahunya. Ya Tuhan, saya rasa sedih, bingung, kecewa dan marah mendengarkan penjelasan kak long.
Sampai Hati Anne, Sedihnya…
Sampai hati Anne tuduh saya begitu sedangkan selama ini saya tak pernah bersikap begitu. Kenapa saya nak burukkan orang lain sedangkan diri saya sendiri pun tak sempurna. Kami umpama satu keluarga, kena terima baik buruk masing-masing dan bukan menjaja keburukan orang lain. Bila saya bersumpah, kak long dapat terima penjelasan saya. Memang dia tidak begitu percayakan Anne kerana dia tahu bukan sikap saya begitu. Tapi biasalah manusia, lama-kelamaan akan termakan juga.
Kata kak long, selama ini macam-macam Anne berkata buruk tentang diri saya tapi dia hanya diamkan saja. Dia minta saya berhati-hati dengan Anne kerana Anne seperti cemburu dengan diri saya. Cemburu kerana sepasang anak kembar saya sering jadi perhatian ramai kerana kecomelan dan kepetahan mereka. Saya tak pernah terfikir begitu. Tak pernah saya anggap anak-anak saya lebih comel dan bijak daripada anaknya yang berusia empat tahun. Mungkin sebab itu juga dia tak pernah layan anak saya dengan baik walau pun saya layan anak dia seperti anak sendiri. Rupanya dia cemburu! Sedihnya…
Suka Bandingkan
Kata kak long lagi, Anne sering membandingkan barang-barang yang saya beli. Katanya saya suka membazir membeli barang yang berjenama saja. Sedangkan saya tengok barang-barang dia jauh lebih berjenama daripada saya. Tapi saya tak pernah ada niat nak berlumba-lumba.
Kalau mampu dan saya suka, saya akan beli. Bukan niat nak menunjuk-nunjuk. Rasanya kehidupannya jauh lebih baik daripada saya. Miliki rumah besar, kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. Berbanding diri saya yang serba sederhana. Tapi hidup saya gembira di sisi suami dan anak-anak yang menyayangi saya.
Sedih Sering Diburukkan
Saya kecil hati dan sedih dengan sikap Anne. Walau pun selama ini banyak sikap Anne yang kurang saya suka tapi saya terima saja dan tidak pernah burukkan dia depan orang lain. Tapi mengapa dia sengaja nak fitnah saya? Bila saya ingat, memang ada sepupu-sepupu sebelah suami yang rapat dengan Anne seolah-olah tidak sukakan saya. Apakah Anne telah memburukkan saya di depan mereka? Selama ini saya tak pernah nak bermusuh dengan dia, sering cuba menjaga hubungan baik kami, tapi mengapa dia seolah-olah menganggap saya ini musuhnya? Apa patut saya buat?
Risau juga kalau dibiarkan, Anne boleh memporak-perandakan hubungan saya dengan orang lain pula. Patutkah saya menegurnya secara terus terang? Perlukah saya luahkan pada suami saya? Nasib baik Aidilfitri tahun ini tak boleh rentas sempadan. Tak perlu saya jumpa mereka.
Keliru dan kecewa
Perak

SARANAN KAUNSELOR
Bercerita tentang biras dan adik-beradik merupakan satu perbincangan yang menfokuskan kepada tingkah laku yang berbagai. Kelebihan wanita adalah menghuraikan segala-galanya secara terperinci dan menyimpan segala perlakuan dalam bentuk emosi seterusnya dizahirkan dalam bentuk konflik yang berpanjangan. Konflik yang dicipta boleh menyebabkan kedua-dua pihak menjeruk rasa serta mencipta persepsi yang berbagai-bagai hasil daripada tidak berkomunikasi secara terus.
Jika dibiarkan berterusan boleh merosakkan hubungan serta menjarakkan perhubungan kekeluargaan yang terjalin. Kisah yang puan paparkan menunjukkan puan sangat terkesan daripada sikap cemburu biras puan yang membina persekitaran yang dingin dalam hubungannya dengan puan. Hati kecil puan ingin berbicara bersemuka tetapi tidak cukup kuat untuk menghadapi situasi ini. Puan semakin gelisah kerana jika dibiarkan takut puan akan berbalah dengan semua orang dalam keluarga akibat daripada fitnah ini.
Kegagalan Komunikasi
Fitnah terjadi hasil daripada dendam, buruk sangka, benci, tidak suka, dengki, cemburu serta berbagai idea negatif untuk menjatuhkan lawannya. Semua keadaan ini berlaku akibat komunikasi yang gagal serta penuh dengan persepsi sahaja. Gambaran yang sebenar tentang perlakuan dan hubungan tidak berlaku dan hasil daripada berdiam diri, mengasingkan diri atau “avoiding” maka semua keraguan tidak dapat jawapannya yang sebenarnya. Semua terjadi hasil daripada persepsi negatif dan disusuli dengan dendam kesumat yang mendalam.
Landasan kepada semua ini adalah kegagalan komunikasi yang sebenar dan iman yang semakin nipis di dalam hati. Semua ini menjadikan setiap hubungan manusia bermasalah dalam mempertahankan keegoan masing-masing. Penyelesaian kepada semua ini adalah merungkaikan jurang komunikasi dan membawa kepada perbualan atau penjelasan kepada kedudukan sebenar tentang apa yang diragui selama ini.
Mulakan strategi puan untuk mendepani masalah ini dengan bersemuka dengan Anne dan mendapatkan maklumat sebenar serta merungkaikan segala keraguannya.
Jangan Sedih, Bersemukalah!
Hindari bercakap-cakap atau memperbesarkan isu serta cuba sebaik mungkin untuk menanti masa yang sesuai untuk bertemu Anne. Jika puan mampu boleh juga berjumpa secara privasi atau berdua sahaja dengan Anne. Sebenarnya Anne belum mengenali puan dengan lebih rapat dan belum menerima puan sebagai birasnya secara keseluruhan.

Cuba bina “rapport “ dengan Anne dan fahami semuanya dengan hati yang terbuka. Terima kelebihan dan kekurangannya dan berlapang dada dengan segala yang berlaku. Anggap sebagai satu orientasi untuk mengenali biras dengan lebih dekat lagi. Mulakan dengan diri puan dan yakinlah bahawa apabila puan membuka ruang dalam hati puan untuk menerima, mengasihi, memberi kasih sayang, berkongsi dan sebagainya maka biras puan juga akan membuat perkara yang sama.
Beza Dengan Lelaki
Maka, cuba berfikir dan memberi fokus kepada masa kini seperti suami atau ipar puan menangani dan bersaudara sesama mereka. Kaum wanita terlalu memfokuskan kepada emosi dan sangat terasa dengan emosi tetapi kaum lelaki lebih melihat perkara sekarang dan akan datang. Mereka jarang membandingkan atau mengungkit masa lalu, maka hubungan kekeluargaan mereka lebih baik dan lebih realistik.
Oleh itu sesama biras puan cuba bangunkan hubungan sebegitu iaitu fokus kepada perkara sekarang dan akan datang dan kurangkan membanding-bandingkan apa yang ada sebaliknya cuba berpakat untuk kejayaan dan kecemerlangan bersama-sama. Secara tidak sedar puan dan biras membawa amanah mengasuh, membesarkan, mendidik serta memberi kasih sayang kepada generasi daripada keturunan yang sama iaitu keturunan suami puan dan biras-biras puan.
Oleh itu wajar puan dan biras-biras puan bincangkan bagaimana boleh dikongsi serta dipelajari pengalaman dan kasih sayang agar keturunan puan dan suami dibina untuk menjadi contoh kepada generasi yang seterusnya.
Fikirkan Perkara Berfaedah
Puan juga perlu berfikir kepada perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat kepada masa depan puan daripada memikirkan segala kata-kata biras puan. Tingkatkan pengetahuan puan dan bina pekerti mulia dalam diri puan dan anak-anak puan agar menjadi contoh kepada manusia yang lain. Usah bazirkan masa puan memikirkan perkara yang meracuni perhubungan persaudaraan puan dan biras.
Tanpa puan sedari konflik ini akan ditiru oleh anak-anak puan dan boleh menyebabkan anak-anak puan juga akan mempunyai konflik sesama sendiri. Akhirnya puan akan berbalah sesama sendiri dan kehidupan berkeluarga sudah tidak indah lagi. Puan perlu bijaksana dan keluar daripada kemelut emosi puan untuk bertoleransi dalam hubungan sesama biras ini.
Kawal Dan Bentuk
Tingkah laku manusia adalah hasil daripada gaya asuhan serta apa yang difikirkan untuk melahirkan tingkah laku tersebut, oleh itu segala yang puan fikirkan perlu dikawal dan dibentuk agar menjadi contoh teladan kepada orang lain. Yakinlah bahawa jika satu sangkaan buruk dibalas dengan seribu kebaikan maka ia akan jadi penawar kepada perhubungan. Oleh itu puan sewajarnya “stay cool” dan biarkan tingkah laku puan yang baik dan menerima segala-galanya dengan hati terbuka akan mengubah suasana ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Isteri Berebut Balik Raya Sampai Ada Yang Nak Bercerai Berai

Isi Kandungan
ToggleSuami isteri berebut balik raya sampai ada yang nak bercerai berai. Setiap kali menjelang Aidilfitri, satu topik yang sering mencetuskan perbincangan malah kadang-kadang pertelingkahan dalam kalangan pasangan suami isteri adalah soal giliran balik kampung.
Suami Isteri Berebut Balik Raya Sampai Ada Yang Nak Bercerai Berai
Tidak kira sama ada pasangan baru mendirikan rumah tangga atau yang sudah sekian lama bersama, topik ini tetap menjadi isu yang perlu dihadapi. Ya, menentukan destinasi hari raya bukanlah perkara mudah. Malah, ia boleh mencetuskan ketegangan yang tidak dijangka dalam hubungan suami isteri.
Pertelingkahan: Ujian Emosi Dan Kesabaran
Walaupun menyakitkan, pertelingkahan sebenarnya boleh menjadi ruang untuk pasangan saling mengenal hati budi dan memperkukuh kematangan dalam perhubungan.
Namun, jika tidak dikawal, konflik kecil boleh menjadi besar sehingga membawa kepada perpisahan. Emosi yang tidak terkawal, perasaan kecewa yang memuncak, boleh mengakibatkan isteri meminta cerai, atau suami mengucapkan lafaz talak dalam keadaan marah.
Semuanya berpunca apabila kedua-dua pihak enggan bertolak ansur dan terlalu mengikut ego masing-masing. Dalam situasi lebih buruk, ada juga kes melibatkan kekerasan fizikal.
Bagaimana Mengurus Pertelingkahan Dengan Bijak
Untuk mengelakkan konflik berpanjangan, berikut beberapa panduan berguna:
1. Elakkan Buat Keputusan Tergesa-gesa
Apabila bertengkar, jauhi tindakan drastik seperti meninggalkan rumah atau menjauhkan diri tanpa berbincang. Perbuatan ini hanya akan memburukkan keadaan dan membuat pasangan rasa terabai. Jika anda mempunyai anak, keadaan ini turut akan menjejaskan mereka.
2. Cari Tempat Luahan Yang Sesuai
Jika emosi terasa membuak dan tidak dapat dipendam, carilah seseorang yang dipercayai seperti ibu, sahabat rapat atau ahli keluarga terdekat untuk berkongsi perasaan. Yang paling baik, luahkan terus kepada pasangan dengan cara berhemah.
Jangan sesekali mencari orang asing atau rakan berlainan jantina sebagai tempat bergantung, kerana dari situlah sering tercetusnya hubungan sulit yang tidak diingini.
3. Ambil Masa Untuk Tenangkan Diri
Usai bergaduh, emosi pasti bercelaru. Dalam keadaan ini, jangan terlalu memikirkan masalah secara terus-menerus. Berehat seketika dan beri ruang kepada diri untuk bertenang sebelum cuba menyelesaikan isu yang berlaku. Keputusan yang dibuat ketika marah selalunya tidak rasional.
4. Dekatkan Diri Kepada Allah
Islam mengajar kita agar mendekatkan diri kepada Allah ketika sedang berdepan dengan ujian emosi. Ambillah wuduk dan lakukan solat sunat agar hati menjadi lebih tenang. Doakan kesejahteraan rumah tangga dan mohon agar pasangan turut berubah ke arah yang lebih baik.
5. Jangan Panjangkan Isu
Ingat, keluarga pasangan adalah juga keluarga kita. Jangan biarkan isu kecil seperti giliran beraya menjadi punca perpecahan. Jika tidak dapat pulang beraya ke kampung salah satu pihak, berlapang dada dan terima keadaan seadanya.
Jadikan cabaran ini sebagai ujian yang mendewasakan. Jangan menuding jari, sebaliknya muhasabah diri dan cuba perbaiki kelemahan masing-masing.

Tolak Ansur Kunci Keharmonian
Dalam rumah tangga, sikap bertolak ansur amat penting, termasuk dalam soal balik kampung. Mungkin ada masanya kita perlu beralah, dan ada ketika pasangan pula yang memberi laluan. Apa yang penting ialah saling memahami dan menjaga keharmonian bersama.
Jangan biarkan emosi yang tidak stabil merosakkan kebahagiaan rumahtangga hingga memberi kesan buruk kepada anak-anak. Hadapilah setiap cabaran dengan tenang dan rasional. Setiap pertelingkahan pasti mengandungi hikmah, jika kita bijak mengambil pelajaran daripadanya.
Baca artikel lain juga: Balik Raya Anak Menantu Tidur Di Hotel/Homestay, Ustazah Asma Harun Nasihat Ibu Bapa Jangan Tuduh Melulu
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
TONTON VIDEO MENARIK DI SINI:
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Momo Challenge’ Galak Kanak-Kanak Bunuh Diri, Mak Ayah Sila Rajin Check Handphone Anak!

Aduh lepas satu persatu trend yang membahayakan menjadi ikutan. Kini,selepas ‘Keke Challenge’, satu cabaran baru telah mula popular di kalangan kanak-kanak iaitu ‘Momo Challenge’. Pihak berkuasa di seluruh dunia telah mengeluarkan amaran kepada ibu bapa berhubung cabaran baharu itu kerana ia dikatakan menggalakkan kanak-kanak membunuh diri.
Akhbar Daily Mail melaporkan, Momo Challenge mula mendapat perhatian sejak kebelakangan ini dan ia mencabar pengguna berkomunikasi dengan individu tidak dikenali.Cabaran itu meminta pengguna menambah kenalan dan menghubungi seseorang digelar ‘Momo’.
Ia kemudiannya menghantar imej menakutkan dan mesej ganas yang menggalakkan keganasan atau bunuh diri. Imej avatar dengan wajah perempuan agak menyeramkan itu menggunakan patung artis Jepun, Midori Hayashi yang tiada kaitan dengan permainan tersebut.
Menurut Buenos Aires Times, cabaran itu juga didakwa ada kaitan dengan kematian kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Argentina yang dipercayai membunuh dirinya sendiri. Jika perkara itu disahkan polis, budak terbabit merupakan mangsa pertama Momo Challenge. Cabaran itu dilaporkan telah tersebar secara meluas menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook.Sehingga kini, pihak berkuasa tidak tahu motif sebenar pelaku.

Jadi buat mak ayah, mohon tidak terlepas pandang perkara sebegini. Rajin-rajinlah periksa handphone mahupun gajet yang diberikan pada anak-anak agar mereka tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif mahupun trend yang membahayakan ini.
Sumber: Daily Mail & Astro Awani
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI