Menjadi impian bagi setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga supaya dapat mengejar kebahagiaan di dunia dan akhirat. Bagi penyanyi yang juga anggota kumpulan K-Clique, MK, 27, tarikh 16 Jun lalu menjadi paling terindah buatnya.
Lebih dua minggu bergelar suami kepada Siti Hajaar Syeikh Nordin, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkongsi kemanisan rumah tangga dan bagaimana perkahwinan ini sedikit-sebanyak mengubah kehidupannya.
“Sekarang, saya dan isteri masih dalam fasa kemanisan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar, bahagia dan gembira.
“Perasaan saya sekarang, sukar untuk saya gambarkan. Yang pasti, saya jauh berbeza dengan saya yang sebelum ini (bujang),” katanya.
Ditanya mengenai erti perkahwinan dalam kehidupannya, MK berkata, perkahwinan itu umpama satu fasa pembelajaran buatnya dan isteri.
“Saya rasa perkahwinan ini lebih kepada mengajar kami berdua untuk mengejar satu cita-cita sama iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Masing-masing belajar benda baharu untuk menjadi lebih baik. Kami sama-sama memperbaiki diri dan menerima satu sama lain,” katanya.
Menuai pujian daripada netizen mengenai adab dan sikap sopan Hajaar, MK berkata, itu adalah perkara asas sebagai wanita.
“Adalah menjadi tanggungjawab untuk seseorang suami dan seorang wanita Muslim, menundukkan pandangan, menjaga pertuturan, menjaga adab, tingkah laku serta gerak-gerinya. Sebagai suami, saya akan menjaga benda itu juga.
“Apa yang saya tunjukkan di hari pernikahan saya, semuanya spontan dan tidak dirancang. Kalau ada tindakan kecil kami yang memberi impak besar, saya pun tak sedar.
“Alhamdulillah, bila orang bercakap mengenai pakaian isteri saya, saya rasa itu adalah benda wajib untuk seorang muslimah, yang mana tidak mengenakan pakaian yang ketat dan sebagainya.
“Ditambah pula, dalam majlis itu, jemputan kita ramai dan datang daripada pelbagai lapisan. Jadi, wajib untuk kami menjaga (aurat dan penampilan),”
katanya.Ditanya sama ada pujian yang diberikan memberikan kegusaran andai kata dia dan isteri melakukan kesilapan di masa akan datang, MK berkata, dia tidak pernah takut melakukan kesilapan.
“Saya tak pernah takut untuk melakukan kesilapan kerana dari kesilapan, kita akan belajar sesuatu. Tanpa kesilapan dan tanpa teguran, kita akan sentiasa rasakan bahawa diri kita seorang yang sempurna.
“Apabila melakukan kesilapan, saya terima teguran dan kalau orang menegur, tandanya orang sayang,” katanya.
Menurutnya, dia juga turut menitipkan nasihat dan tunjuk ajar buat Hajaar yang kini sudah mula terkena tempias populariti.
“Sebagai suami dan orang yang berpengalaman dalam dunia seni, saya berkongsi dengannya beberapa perkara. Menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan kepadanya mengenai bagaimana nak menjaga pertuturan, adab dan gerak geri. Insya-Allah,” katanya.
MK dan Hajaar diijabkabulkan pada 16 Jun lalu di Masjid Jamiul Huda, Ampang sekali gus menjawab teka-teki mengenai hubungan cintanya dengan wanita itu.
Mesti Baca:
“Doakan Kebahagiaan Kami,” MK K-Clique Syukur Dah Jadi Suami Siti HajaarMingguan Wanita:Alhamdulillah selamat melayari kemanisan rumahtangga buat MK dan isteri. Teruslah membimbing isteri di dunia dan akhirat.
Sumber: Hmetro
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.